Ketika Allah sudah mengeluarkan doaku dari senarai menunggu, lalu memakbulkannya dengan sebaik-baik kesudahan, entah kenapa airmata ini masih terus mengalir lagi.
Mungkin kerana rasa haru, ataukah kesal yang menguasai pundak hingga mataku gagal menjadi penipu?
Ya Allah,
Mahalnya harga sebuah keinsafan. Perihnya harga sebuah kebenaran. Naifnya nilai sebuah pengajaran.
Tapi Kau lebih mengetahui akan segala sesuatu ya Allah. Sesungguhnya tidak ada yang lepas dari pengetahuanMu dan sesungguhnya, Engkaulah sebaik-baik hakim yang adil.
Terlalu banyak pengajaran yang dapat dikutip dari semua ini. Perumpaannya seperti anak-anak sekolah yang disuruh mengutip sampah selepas habis acara sukan. Masing-masing dibekalkan sebuah bakul sampah. Budak rajin sanggup berjalan ke sana-sini untuk mencari sampah. Budak malas hanya memungut apa adanya. Budak gelojoh akan memungut apa saja asalkan bakulnya penuh. Budak teliti sanggup mengorek longkang mencari sampah. Budak tanpa rasa hanya akan suruh kawannya buat kerja sementara dia cuma tolong pegang bakul sampah.
Ada macam-macam karakter budak tapi misinya tetap satu, iaitu penuhkan bakul sampah.
Dan begitulah pengajaran.
Semakin rajin kita bermeditasi, semakin banyak pengajaran yang bakal kita temukan pada setiap kesalahan dan kejadian yang kita alami. Pengajaran yang dikutip oleh setiap manusia berbeza-beza mengikut persepsi hidupnya. Tidak semua manusia mampu mengumpul pengajaran yang sama kerana setiap manusia itu berbeza nilai pandangnya. Macam perumpaan murid sekolah tadi, ada yang hanya mengutip botol sementara sampah lain tidak diperdulikannya. Ada yang suka mengutip sampah kecil kerana dia tahu orang lain suka kutip sampah besar. Kalau semua orang kutip sampah besar, siapa pula nak kutip sampah kecil,kan? Jadi kesimpulannya, begitu jugalah tentang pengajaran. Ada yang hanya mengambil iktibar menurut mata majazi dan ada pula yang mengoreksi jauh sampai ke dalam untuk memperbaiki diri. Ada yang melihatnya sebagai satu peluang, ada yang menganggapnya sebagai satu kelemahan. Positif atau negatif keputusannya, yang pasti, pengajaran buat kita semua terhantuk. Dan yang pastinya sifat manusia itu hanya terngadah bila terhantuk.
Dan aku?
Oh, aku sudah puas menghias malamku dengan tangis dan air mata yang bertalu-talu. Aku sudah lelah memanjat anak-anak tangga menuju ke hati Tuhan untuk sampai ke peringkat ini. Dulu aku pernah bertanya, sebesar apa kesalahanku hinggakan tidak ada jalan kembali? Sejak saat itu lagi kurasa bakulku sudah sarat dengan pengajaran yang kukutip pada setiap derap langkahku. Kini, saat Allah sudah mengembalikan kompasku, kukira aku memerlukan sebuah bakul lagi. Dan bakul itu seakan tak pernah cukup hinggakan aku sendiri akhirnya sudah tidak mampu mengendongnya lagi.
Kalau masa adalah penyembuh terbaik, maka semoga ia adalah pengajaran terbaik untuk kita menjadi lebih awas di lain kali.
Amin.
0 comments:
Post a Comment