Berakhirlah sudah temasya MSS Surati 2012 untuk tahun ini dengan segala kemeriahan dan kegemilangan yang pastinya menjadi kenangan untuk semua. Piala johan keseluruhan telah berjaya menjadi milik rumah kuning, meninggalkan rumah hijau dua tangga ke belakang sementara rumah merah menjadi naib johan. Nasib rumah biru masih juga sama seperti tahun-tahun sudah.
Olahragawan dan olahragawati pula menjadi milik dua beradik cilik Ridhwan dan Haniza. Tahniah diucapkan dan semoga kejayaan ini menjadi satu pemangkin untuk kejayaan seterusnya. Tahun sudah Haniza yang kupanggil si cengeng, dan Ridhwan yang kupanggil si murai, nampaknya tahun ini jauh berubah sikap. Mereka nampak lebih matang dan tahu menggunakan pengalaman sebagai satu landasan kehidupan. Sekali lagi tahniah. Bagi aku, perubahan sikap dari negatif ke positf itu jauh lebih besar dari sebuah kejayaan berpiala.
Johan perbarisan diungguli oleh rumah hijau, team aku ni. Tahniah buat pasukan kerja tahun 6 yang bertungkus lumus mengajar kawat yang diketuai oleh Anis, Allan dan Qayyim. Gabungan ketiga ini nyata memberi sebuah impak positif. Aku melihat kesungguhan mereka dan aku berbangga dengan komitment yang mereka berikan. Dan secara peribadi, aku melihat satu sikap yang tidak pernah aku lihat sebelum ni yang ada pada diri Anis. Nyata, dia punya satu kredibiliti untuk menjadi seorang ketua. Tak perlu garang, tak perlu melalak, tapi ahli-ahli kawatnya tetap mendengar arahannya. Aku melihat keprihatinannya pada setiap ahli kumpulannya dan aku terkesima melihat dia begitu disayangi oleh pasukan kawatnya yang kecil-mocil itu. Tahniah untuk Anis.
Pasukan perbarisan biru mendapat tempat kedua. Satu kejutan tentang rumah biru ialah komandonya adalah Acik. Oh...berbakat menjadi komando pula anak aku sorang ni. Badan kecil tapi suaranya besar, mungkin ikut suara abang. Hehe...macamlah suara aku ni tak besar. Gembira betul dia waktu naik ke astaka mengambil hadiah. Tahniah Acik. Sejujurnya, aku agak kasihan dengan Acik. Dalam adik-beradiknya, dialah yang paling tidak berbakat dalam bidang sukan. Ok, lets be fair. Kalau dia ni memang aku tak hairan kalau kena pilih. Aku lagi hairan kalau dia dipilih sebab sememangnya dia tidak berbakat langsung. Jantung acik yang memang bermasalah sejak kecil dan bentuk fizikalnya yang agak kecil berbanding rakan sebayanya adalah faktor yang menyukarkan dia bergerak selaju yang diharapkannya. Mungkin dia punya sedikit kebolehan dalam lapangan sukan permainan seperti bola sepak. Tapi kalau ada banyak senarai baik, aku pasti Acik akan tersingkir.
Dan Abe pula? Dia hanya berjaya meraih tempat ketiga dalam acara 200m. Namun pasukannya menjadi johan untuk acara 4X200m. Abe gagal memberikan persembahan yang baik dalam acara solonya tapi kemudiannya aku melihat betapa dia cuba menebusnya kembali dalam acara pasukan. Abe ni memang ada masalah sikit dari segi komitment sebab otaknya macam suis lampu yang bila-bila on off sesuka hati. Ekspresi mukanya yang begitu selamba juga selalu membuatkan dia terkecuali dari senarai perhatian. Aku tak faham kenapa dia selalu pura-pura tidak kecewa atau tidak peduli sedangkan deep in his heart, aku tahu dia peduli sangat. Aku janji dia belikan jam G-Shock baru kalau dapat johan. Ok, nampaknya pingat yang diburunya sudah menjadi genggaman.
Apapun, temasya sukan tahun ini nyata lebih meriah dari tahun-tahun lepas. Tahun ini ada persembahan pom-pom yang dipimpin oleh Kak Jane. Tahun ini juga costume pemegang sepanduk lebih meriah dari sekadar pakaian tradisional, at least untuk team aku lah...hehe...Nasib baik jugalah perbarisan ni dibuat juga walaupun keputusan untuk melaksanakannya pada saat-saat akhir. Apalah ertinya sukan tanpa perbarisan,kan? Besar maknyanya perbarisan ni pada budak-budak terutamanya pada mereka yang aktif tapi tidak berbakat dalam sukan. Perbarisan membentuk jati diri dan keyakinan. Acik sebagai contoh. Perbarisan telah menyelamatkan jiwanya yang hampir kecundang kerana tidak terpilih sukan. Aku percaya, ada ramai lagi budak seperti Acik. Dan aku percaya bahawa dari perbarisan inilah sebenarnya kita sebagai guru berperanan sebagai pemangkin kepada sebuah kendiri positif yang akan menjadi ingatan dalam diri kanak-kanak.
Oya, pasukan rumah biru berjaya meraih johan untuk acara guru-guru 4X100m. Waktu ni aku tiada sebab ambil Mizan pulang. Kalau aku ada pun, memang aku tak dapat sertai juga. Aku ni nampak saja macam kuat tapi sebenarnya lutut aku tidak memungkinkan aku untuk beraksi aktif apalagi dalam acara larian sebegitu. Kecederaan belasan tahun lepas yang telah merosakkan ligamen dan tempurung kepala lutut memberi impak sampai sekarang. Mungkin tidak teruk kalau aku ikut terapi atau menjalani pembedahan. Tapi keduanya tidak kulakukan dan hanya bersandar pada ubat tradisional sahaja. Kesannya, lututku selalu terlepas walaupun sekadar berjalan laju atau berlari-lari anak, mahupun naik tangga. Mahu lari 100m? Haha...kompom aku cuti 3 bulan lepas tu.
Apapun, Sukan bukan sekadar pingat. Ia lebih dari itu. Sukan adalah kehidupan, membentuk disiplin, membina keyakinan diri, membangkit semangat juang dan setia kawan. Sukan adalah ilmu pendidian luar yang paling mudah memberi impak kepada kanak-kanak. Sukan adalah anugerah Tuhan buat mereka yang lemah akademik untuk terus merasa bahawa dirinya sama istimewa seperti orang lain. Aku sangat menyukai sukan dan aku mahu sukan ini terus hidup dalam diri setiap individu dengan cara positif dan berani. Tanpa keberanian, mimpi tidak mungkin akan jadi kenyataan.
Tahniah buat semua warga Surati atas segala komitment. Tahniah buat PK Kokum ku yang cantik itu kerana berjaya menganjurkan temasya ini dengan penuh meriah. Tahniah buat semua murid-muridku...
...sebenarnya, aku tidak dapat terlalu menikmati sukan ini sebab dilanda migrain yang teruk. Macam mau pitam berkali-kali. Mungkin pasal cuaca terlampau panas. Langit mendung tapi pengap sampai macam tiada udara yang boleh disedut.
1 comments:
Alhamdulillah.... Setiap satu ada bahagiannya yg telah dibahagi dgn seadilnya dari yang Maha Mengetahui... Cuma insan sering melihat 'rumput di sana lebih hijau'...
Post a Comment