Thursday, June 14, 2012 | By: Luna Biru

"Hablul Minannas"

"Hablul Minannas"

Itu pesan abah. Tadi. Kemarin. Malah sejak ubun-ubunku masih selembek bubur. Wajib seorang umat Islam menjaga hubungan baik sesama manusia. Lihatlah Rasulullah, biar dilempar najis, Baginda tetap saja tersenyum, malah tetap mahu mengunjungi sepelempar itu saat mereka menghadapi musibah. Baginda malah sanggup memberikan selendangnya menutup tubuh manusia kafir. Dan, bla-bla-bla...tentu saja kalian semua tahu cerita selanjutnya mengenai kemurnian hati Rasulullah. Ia adalah kisah yang tiada tolok bandingnya. Tanpa prejudis, tanpa pertikaian. Baginda adalah manusia maksum, pemilik akhlak paling pekerti. 


Syukurlah aku berada dalam naungan hidayah Allah yang melahirkan aku sebagai Islam dan menjadikannya nabiku yang layak untuk dicontohi. 

Setelah dua tahun lamanya, baru kali ini abah bersuara lagi mengenai isu Hablul-Minannas. Hari ini, setelah juga dua tahun abah menyisih diri dari menashati aku, dia mengingatkan aku semula mengenai perkara ini. Abah percaya pada alamat atau petanda. Baginya petanda adalah anugerah Tuhan yang terhebat untuk umatNya kerana rasa sayangNya yang melebihi kebencianNya. Hari ini, kerana sebuah petanda, abah menuntut pengorbananku. Wajar memang. Muslim itu haknya adalah saling mengingati. Aku mengerti perasaannya. Dan aku percaya dia juga mengerti perasaanku. Tapi kehendak Tuhan itu selalu menjadikan kita berada di dua simpang antara logik akal dan emosi benar.

Hablul-Minannas.

Hari ini aku berdiri di antara dua simpang itu. Tidak pernah terlintas di fikiran untuk memutuskan silatur-rahim pada mereka yang dipanggil saudara semuslim. Aku menyisih bukan kerana aku telah mengerat rotan dan mematah arang. Aku pergi kerana hatiku belum bersedia untuk sembuh. Luka kemarin masih menyisa dan aku bimbang kalau makin tak terawatkan.

Hablul-Minannas.

Kukatakan pada abah, wujudku tak perlu berbentuk maujud. Hanya doa mampu kukirim di angin malam, dan nota kecil di botol yang kuutus di tengah laut mengharap ihsan Allah agar mahu memeluk mereka yang kupanggil saudara semuslim dengan cinta kasihNya. Cukuplah sekadar itu. Aku tidak mampu berbuat lebih.

Hablul-Minannas.

Ampunilah aku Tuhan kalau gagal kutempuh ujianMu ini.

0 comments:

Post a Comment