Sunday, June 17, 2012 | By: Luna Biru

Lepaskanlah...II

Ini bukan entry balas buat sahabatku, Susan. 

Aku malah tidak tahu kalau dia menulis entry itu untuk aku, atau kerana aku. Tidak ada namaku sama sekali disebut dalam mana-mana perenggan pun dalam penulisannya. 

Aku cuma perasan-perasan saja dan menganggap bahawa dia sedang menujukan entry itu untuk aku.  Tajuk 'Lepaskanlah' yang ditulisnya seolah-olah ada kait-mengait sama Mimpi I dan beberapa insiden yang agak bercelaru semenjak dua menjak ini. 

Lepaskanlah...

Aku ingat abang sepupu aku pernah cakap; "Ikhalslah seperti berak. Lepaskanlah segala kesedihanmu, kemarahanmu, dendammu seperti kau membuang najismu. Kau takkan menoleh lagi najismu dan menyesal bahawa ia pernah ada dalam perutmu dan kau juga takkan menyesal kerana pernah membuangnya. Kau lepaskan saja. Lepas tu, pasti kau lega".

Aku ingat juga sepupu yang lain mengatakan;

"Kau tahu apa yang memberatkanmu? Kerana kau jarang ikhlas melepaskan sesuatu yang pernah berlaku dalam hidupmu. Kau mendendami segalanya dan kau tertimpa oleh penyesalan dan ketidakpuasan terhadap takdir dan keadaan hingga tanpa kau sedar kau sedang menyeksa hidupmu dan orang-orang di sekelilingmu. Kenapa tidak kau lepaskan saja semua perasaan itu ke laut? Atau pam saja ke lubang jamban?" 

(sebenarnya, aku tak faham kenapa keikhlasan membuang dendam, marah dan sakit hati dikait-kait sama najis?)

Hari ini Susan juga mengatakan hal sama (tapi Susan tak kaitkan dengan benda tu ok!)

Lepaskanlah...

Itu juga harapanku, setiap detik. 

Ya. Aku sudah melepaskannya tapi tanpa sedar aku memungutnya kembali. 
Ya. Aku selalu terseksa dengan perasaan aku kerana ketidakmampuan aku untuk menjadi manusia yang mudah lupa pada kesakitan. 
Ya. Aku terkadang terlalu mudah menghukum diri aku atas segala apa yang terjadi dan mudah menuding jari atas mukaku sendiri sebagai pelaku bencana. 
Ya. Abang juga sudah berkali-kali, malah sejak belum bernikah lagi memaksa aku berhenti untuk selalu menjadi pandir mengakui kesalahan. Itu kelemahanku yang paling dibencinya. 
Ya. Keluh kesah itu manusiawi tapi perlu ada titik noktahnya. 

Soalnya Susanku sayang, aku sudah berkali-kali membulatkan titik besar si hujung garisan sebagai tanda noktah. Tapi kemudiannya ku padam lagi dan kuteruskan juga lagi ayat-ayat seterusnya. Aku memberi tarikh mati pada sesuatu hal, tapi bila sampai tarikhnya, aku melanjutkannya lagi. Sepertinya aku sedang menaiki sebuah bas tanpa hala tuju. Kukira aku akan berhenti di perhentian itu tapi kemudiannya aku menaiki bas lain untuk ke destinasi yang lain pula. Barangkali aku akan berhenti bila duitku habis atau bas sudah terhenti di Simpang Mengayau. Semuanya pasti ada titik noktahya. That's it. Itulah kepercayaanku. Mungkin basku sekarang masih terkandas di Telupid. 

Oh...kenapa aku tidak keluar saja dari bas itu kan? Bas itu bergerak kerana itu memang kerjanya. Manusialah yang berhenti. Manusia itu aku! 

"Segala apa yang kita miliki hanyalah pinjaman. Tika kehilangan, bersedihlah dan berusahalah untuk meraihnya semula. Bila semua jalan sudah dicuba, lepaskanlah. Hatimu akan lega dan hidupmu akan lebih bermakna. Percayalah".







1 comments:

Susan Elsa Saiful said...

Ade sayang, itu entry untuk renungan bersama. Kebetulan pulak Ade ada dalam bas yang masih bergerak. Tapi memang kadang-kadang menasihati itu lebih mudah daripada mengikuti sebab belum terkena hidung sendiri kan? Apapun yang Ade sedang hadapi, you know I'm always here for you. Love you!

Post a Comment