Katanya, aku jangan mudah ambil hati. Jangan perasan bagus dan jangan pula terlalu menoleh ke belakang. Jangan mencari kesalahan orang lain tapi lihatlah ke dalam diri, buat meditasi, koreksi dan muhasabah diri biar diri sedar bahawa segala yang berlaku puncanya dari aku.
Katanya lagi, aku tidak perlu menyalahkan keadaan dan orang lain hingga mengganggap bahawa diriku ini mangsa yang dizalimi. Katanya, aku manusia yang tidak tahu bersyukur dengan nikmat pemberian Tuhan, aku tidak jujur dalam perhubungan silaturrahim dan selalu mengharapkan balasan dari setiap perbuatan baikku. Katanya aku hipokrit, penipu dan suka melakukan kebinasaan pada orang lain.
Katanya aku adalah manusia yang bakal mendapat tulah dan kutukan dari Allah, katanya aku ini macam nenek kebayan yang pasti akan masuk neraka. Paling bermakna, katanya, aku ini dajjal.
Mungkin kata-kata itu diucapkan saat emosi mengaburi akal logik. Mungkin, saat minda sudah bersatu dengan rasional, dia menyedari betapa rakusnya kata-katanya itu dan dia akan menyesali keterlanjurannnya. Mungkin, besok, kalau Tuhan bukakan mata dan hijab, dia dapat melihat bahawa aku bukanlah seburuk tanggapannya. Mungkin, kalau besok Tuhan lembutkan hatinya, dia mahu memperbetulkan balik keadaan yang sudah tersimpul runyam ini.
Mungkin.
Mudah-mudahan. Aku tidak pernah putus berdoa. Tapi barangkali doaku masih dalam senarai menunggu.
0 comments:
Post a Comment