Monday, June 11, 2012 | By: Luna Biru

Mimpi

Sudah dua malam aku bermimpi aneh. 

Pertamanya, aku bermimpi melihat taufan di dalam sebuah kotak diorama kaca (semacam aquarium besar) yang di dalamnya ada sebuah rumah dan sepasang suami isteri. Rumah mereka hancur dan si isteri menjerit-jerit meminta tolong dariku. Aku tidak dapat melakukan apa-apa kerana kaca itu sangat menghalangi aku. Entah bagaimana akhirnya si isteri berjaya menembusi kaca itu dan berada di tempatku. Katanya, dia minta maaf atas segala yang berlaku dan meminta aku menghalalkan segala perbuatannya. Katanya lagi, kalau aku perlu menyalahkan, salahkan saja suaminya kerana suaminya itulah punca semuanya berlaku. Dalam usaha aku memahami maksudnya, suaminya juga berjaya menembusi dinding itu. Sambil mengengsot, dia berulangkali meminta maaf dari isterinya. Gagal memahami satu apapun yang berlaku, aku dalam mimpi itu berlari hingga akhirnya aku berhenti di tebing sungai. 

Tiba-tiba sebuah kotak diorama kaca muncul lagi. Ribut taufan yang sama berulang. Tapi kali ini ia menimpa dua orang perempuan muda yang berdiri di cerun sungai yang tinggi. Salah seorang darinya hampir jatuh dan seorang lagi berusaha menyelamatkan. Mereka menoleh padaku tapi tidak sedikitpun meminta tolong padaku. Merasa tidak diperlukan, aku pun beredar dari situ hinggalah aku bertemu dengan sebuah gurun yang hitam. 

Tidak ada apa-apa di sana kecuali seorang lelaki. Lelaki itu hanya bercakap sepatah perkataan yang berulang kali dia sebutkan;

"Lepaskanlah..."

"Lepaskan apa?" tanya ku.

"Bencimu, marahmu, lepaskanlah...supaya kau bebas...kau lepaskanlah..."



Dan subuh pun muncul menjadikan aku terkulat menafsir makna....

0 comments:

Post a Comment