Wednesday, May 2, 2012 | By: Luna Biru

Pengiktirafan manusia

Pagi tadi ada dua manusia mengadiliku untuk satu pengiktirafan yang agak tinggi 'darjat'nya di dunia pendidikan. Kehadiran mereka memang sudah sejak sebulan dulu kumaklumi dan rasanya aku belum bersedia untuk menerima pengiktirafan semacam itu. Maklumlah manusia yang kurang disiplin macam aku ni memang agak sedikit jauh dari apa-apa yang namanya penghargaan. Dua anugerah yang sepatutnya kudapat sebelum ini pernah ditarik balik gara-gara isu disiplin. Ya...mana ada lagi guru paling lewat sampai ke sekolah setiap hari sepanjang hidupnya selain aku (di setiap sekolah tempat aku berkhidmat ok) ? Dan mana ada juga lagi guru yang kerap mencuri waktu keluar semata-mata untuk menghantar dan mengambil dua anak di tadika. Semua masalah itu tertumpu pada aku; ditambah lagi dengan kesalahan-kesalahan disiplin lain dan masalah komunikasi dengan rakan sejawat.


Berbalik pada cerita pokok di atas, maka sesi temubual untuk menentukan samada aku layak atau tidak untuk menyandang gelaran itu berjalan agak lama dan menjenuhkan. Hampir 3 jam aku disoal-siasat dengan ketelusan yang sangat murni. Ya...mereka punya 9 calon dan anugerah sebegitu hanya ada satu. Aku hanya menjawab semana perlu. Terus-terang, aku agak janggal dengan semua ini. Aku sudah terbiasa menjadi manusia terbuang. Aku tak begitu biasa dihargai. Apapun khidmat bakti yang aku lakukan selama aku bergelar guru, aku lakukannya dengan ikhlas. Selebihnya, kerana aku sangat menikmati pekerjaanku. Pencalonan itu sedikit meresahkan dan menyita terlalu banyak waktu untuk dilengkapi. Kalau bukan kerana abang yang benar-benar mahu aku mengunggulinya, sudah pasti aku seperti selalu merelakan saja ia jatuh ke tangan orang lain.

Apapun keputusan yang bakal kuterima hasil dari temubual itu, aku pasrahkan saja. Kalau benar itu rezekiku, silakanlah datang bergolek atau berpipih. Kalau aku benar-benar tak layak seperti yang dikatakan oleh mereka-mereka, ya, semoga Allah segera memberikannya kepada yang hak. Ia hanyalah sebuah pengiktirafan oleh manusia yang bakal dilupakan besok. Kalau benar ada manusia di dunia ini yang sudi menghargai perkhidmatanku melebihi masalah disiplinku, syukur Alhamdulillah.

Tunggu saja jawapannya pada Hari Guru Peringkat Negeri Sabah nanti.

0 comments:

Post a Comment