Monday, May 7, 2012 | By: Luna Biru

Arin ke Kursus Ketua Platun Jabatan Pertahanan Awam

Tahniah buat Arin @ Danial Ihsan Safwan yang telah terpilih menjadi satu-satunya wakil daerah Papar ke Kursus Ketua Platun Jabatan Pertahanan Awam. Kursus ini berlangsung lima hari bermula hari ini di  Kompleks Sukan, Sandakan.  

Selama ini Arin hidup dibayangi aku. Dia selalu tanya adakah dia dipilih dalam acara ini dan itu, atau diberi kepercayaan untuk memegang apa-apa jawatan di sekolah kerana aku ada di sebalik semuanya. Dia selalu menganggap bahawa aku mengaturkan segalanya untuknya, termasuklah sampai ke tahap dia dipilih menjadi pemain bola sepak daerah dan pengawas sekolah. 


Aku sukar menyakinkan dia bahawa aku tiada kaitan langsung dalam setiap inci keputusan yang dibuat oleh cikgunya untuk dia. Aku sukar pula menyakinkan dia bahawa setiap inci kejayaan yang dikecapi adalah berkat usahanya sendiri. Dia memang budak yang sangat berbakat, berpotensi tinggi dan sangat berdikari. Dia juga mudah disayangi dan sangat senang dijadikan kawan. Dia adalah ciri manusia yang bekerja keras untuk impiannya. Dia menetapkan matlamat dan dia akan pastikan dia akan mendapatkannya walaupun dia terpaksa bersusah-payah kerananya. Dan aku melihat semua itu dari saatnya masih setinggi lututku. Sekarang, dia sudah tinggi melebihi aku, namun sifat itu tidak pernah luntur dalam dirinya. 

Aku cuma mahu Arin tahu, bahawa apapun yang dia dapat sekarang, adalah hasil usahanya sendiri. Aku hanya seorang ibu, seorang fasilitator, seorang pembimbing atau mungkin juga seorang kawan. Dia berhak mendapat apa yang terbaik di dunia ini kerana usahanya dan potensi dirinya sendiri. Mungkin Arin agak kurang keyakinan diri kerana selama ini bayangku membayangi kehidupannya. Atau mungkin juga persekitaran di rumah tidak terlalu menyokongnya untuk menjadi seorang yang lebih berwawasan. Namun, sesuatu, dalam matanya adalah bagai api yang menunggu untuk dinyalakan. Ia bagai bara yang menyekam, hanya menunggu masa terbaik untuk jadi api. 

Arin, di manapun Arin berada sekarang, samada Arin punya masa untuk membaca ni atau tidak, percayalah, kalau sudah saatnya kau jadi api, jadilah api yang bermanfaat. Jangan sampai Arin menjadi api yang membakar diri sendiri. You have so much potential. 

Terbanglah Arin...tapi jangan lupa untuk pulang...

Love, Mama...

0 comments:

Post a Comment