Saturday, May 12, 2012 | By: Luna Biru

Degil

Dalam banyak-banyak kesalahan manusia, suatu hal yang aku tak boleh nak terima ialah sifat degil.

Degil. Kepala batu. Itu batu besar atas kepala juga ada duduk.


Semua manusia tak kira lapisan umur ada pendiriannya masing-masing. Ada ego yang perlu dipertahankan dan ada kebenaran yang perlu dibenarkan. Masing-masing manusia mahu dia berada di pihak yang betul walaupun dia tahu dia sedang berdiri di dahan yang sangat rapuh. Sebabnya, tidak ada manusia yang suka ditunjukkan jalan mana yang betul apabila dia sudah mempunyai jalan yang telah dipilih oleh hatinya sendiri.


Aku melalui kedegilan ini saat usiaku masih merah jambu. Aku ada abah yang sentiasa rasa dirinya betul dan selalu merasa dia punya hak untuk tentukan mana jalan yang perlu aku ambil. Aku tak suka dikuasai lalu aku mengambil keputusan untuk menidakkan segala kata-katanya dan memilih jalanku sendiri. Aku berusaha sedapatnya untuk membuktikan padanya yang aku betul. Aku pertahankan keinginanku dan sesuatu yang aku rasa benar meskipun aku sendiri sudah sangat lelah memperjuangkannya. Dalam banyak hal, aku gagal dan abah betul. Demi Allah, aku benci benar bila dia betul.

Hari ini aku sudah dewasa dan ada anak, ada suami, ada kawan, ada murid. Sedikit sebanyak sifat suka menguasai yang abah ada terwaris juga sama aku. Paling utama, sifat perasan selalu betul abah juga ada sama aku. Lalu peristiwa itupun berulanglah. Bezanya, kali ini aku adalah abah dan manusia-manusia di sekelilingku adalah aku.

Suatu-suatu waktu, aku berhadapan juga dengan situasi ini dengan anak-anak aku. Kadang bila aku ingat, aku akan diamkan diri aku dan biarkan mereka melakukan kesalahan supaya mereka belajar untuk memperbaikinya sendiri bila gagal. Namun, ada situasi-situasinya aku jadi macam abah, memaksa anak-anakku menerima keputusanku apalagi bila aku merasa bahawa keputusan yang mereka ambil akan sangat mempengaruhi kehidupan mereka pada masa akan datang. Aku berusaha sedapatnya menghentikan mereka dari apa yang mereka lakukan namun bila akhirnya mereka tetap memperjuangkan keinginan dan pendapat mereka, aku tewas juga. Begitu juga yang berlaku pada suami dan kawan-kawan aku. Hasilnya, seperti abah, aku selalu di pihak yang betul. Aku dapat merasakan betapa bencinya mereka bila aku betul.

Lalu aku pun melihat perjuangan itu sekali lagi. Perjuangan yang seperti yang aku perjuangkan dulu; Misi untuk mempertahankan pendapat dan kebenaran masing-masing dan membuktikan yang aku gagal total.

Itulah degil.

Degil yang membawa padah. Aku cuba menghentikannya dari awal kerana aku tahu kekuatan orang-orang yang aku sayangi. Perasaan terlalu sayang buat aku terlalu ingin melindungi dan aku tahu keputusan yang mereka ambil hanya akan membawa bencana untuk diri sendiri dan melahirkan suatu kesedihan yang murni.

Tapi, oleh kerana anak-anakku adalah warisku, bermakna mewarisi kedegilanku. Maka mungkin aku perlu memperbaiki sedikit caraku agar tidak menjadi keterlaluan seperti abah. Aku mengambil masa berpuluh tahun untuk sedar dan apalah yang kuharap dari budak-budak berusia kecil macam mereka. Lalu suami? Oh...suami adalah lelaki yang punya ego tersendiri. Panggillah ego-ego bodoh. Mereka juga makhluk yang punya perasan selalu betul meskipun dalam banyak hal mereka selalu silap. Bullshit sama ego. Rasulullah sentiasa menuju ke hati Khadijah setiap kali meminta nasihat kerana baginda tahu bahawa di sisi lelaki ada wanita.

Kawan? Aku jarang masuk campur urusan kawan-kawanku kerana kita dan kawan adalah manusia yang jauh berbeza dari segala segi bergantung kepada pengalaman hidup dan trauma. Aku juga sudah lupa bagaimana rasanya ada kawan kerana semenjak Susan tiada, aku sudah kehilangan sesuatu yang benar-benar namanya kawan rapat. Kawanku yang rapat terakhir adalah Haslijah. Kami berkawan 9 tahun dan berakhir sekitar 4 tahun yang lalu dengan tragedi yang menyakitkan. Di maktab pun aku tiada kawan rapat dan aku tak tahu apa rasanya hidup dengan girlfriends. Aku tak biasa. Aku lone ranger. Dan sesekali, bila ada kawan singgah, aku mula jatuh sayang dan perasaan sayang itu mula menjadikan aku seperti abah. Lalu bila kemudiannya, aku sedar bahawa aku sedang melakukan kesilapan kerana tidak ada manusia yang suka diperlakukan seperti abah memperlakukan aku.

Atau,
ia sebenarnya bukan degil. Ia hanya perasaan untuk merasa betul.

Aku tak tahu. Maka, aku pun ingin melepaskan....

0 comments:

Post a Comment