Aku rasa macam mau menangis tapi air mata aku tak dapat keluar sebab dada aku terlampau sebak. Jantung aku berdegup laju-laju sampai aku rasa dia boleh keluar sendiri kalau tiada kulit yang tutup organ dalaman aku.
Begitukah rasanya kehilangan anak?
Tapi hari ini aku tidak kehilangan anak. Aku kehilangan seorang anak murid.
Pagi tadi ada pertandingan futsal, sambungan dari minggu lalu. Team aku kantoi awal jadi boleh balik awal. Sekitar jam 12.00 kami sudah boleh pulang. Seperti biasa, aku pastikan semua murid pulang dan dijemput oleh ibubapa atau yang bermasalah kenderaan, akan kuhantar balik. Keadaan terkawal sampailah ke jam 6.50p.m.
Jam 6.50p.m, sedang membeli keperluan dapur di Giant, sambil merancang mahu beli kek buat suprise party sempena birthday abang, aku terima panggilan telefon dari ibubapa murid mengatakan anaknya belum pulang ke rumah. Astaga...Allah saja tahu perasaan aku waktu itu. Aku takut, risau dan bengang dan segala macam perasaan yang carca-marba. Kali terakhir kulihat dia jam 12.45p.m di cyber bersama rakan-rakannya. Bila kutanya kenapa belum balik, katanya sebentar lagi ayahnya akan datang dan menjemputnya. Tapi itu tadi. Nyatanya sampai ini dia masih belum pulang dan sama sekali tidak menghubungi ayahnya. Di sinilah silapku barangkali. Terlalu mempercayai murid. Tapi budak seorang ni memang tidak pernah menyusahkan aku. Datang dan perginya tak pernah minta tolong aku, semuanya memang diuruskan oleh orangtuanya. Biasanya, kalau memang tiada kenderaan, murid akan maklumkan aku awal-awal. Macam-macam kegelisahan muncul dalam kepala aku yang berkait tentang hal yang buruk-buruk. Tapi hati aku menafikan dan mengatakan bahawa dia sedang baik-baik saja dan terlalu leka di cyber sampai lupa mahu pulang.
Aku hubungi ibu seorang muridku yang bersama dengannya tadi dan ternyata telahan hati aku betul. Dia sedang berada di restoran sambil menikmati minum petang. Astaga...sakitnya hatiku. Aku terfikir mahu saja ke sana tapi, belum pun sempat, aku terima panggilan lagi dari keluarga muridku itu. Rupanya budak satu ni belum hubungi keluarganya lagi. Dari hujung corong aku dengar suara lelaki memaki-maki aku dengan bahasa yang pasti akan membuatkan harga diri seorang guru jatuh terheret atas jalan.
Aku pun bawa abang cari budak bertuah ni tapi tak jumpa. Aku jumpa salah satunya yang sedang lepak tepi kedai yang menurutnya, mereka berempat baru saja berpisah sekitar 5 minit yang lalu. Muridku yang hilang itu kononnya sedang mencari pondok telefon untuk menelefon ayahnya. Aku cuba kejar dan cari semua pondok telefon yang ada tapi hampa. Aku hubungi keluarganya semula dan rupanya, dia sudahpun selamat sampai ke rumah. Baru saja dia menelefon ayahnya dan minta dijemput di kedai. Ya Tuhan...can you imagine? Acara habis jam 12.00p.m. dan dia baru hubungi keluarganya jam 8.00p.m? Seorang budak, berusia 12 tahun berkeliaran tanpa ibubapa di pekan hampir setengah hari! Wajarlah kalau ibubapanya merasa risau. Itu perkara yang sangat aku maklumi. Aku juga seorang ibu.
Tapi ada sesuatu yang aku sangat terkilan di sini. Rasa terkilan itu tidak dapat aku luahkan dengan perkataan mahupun perbuatan. Atas inisiatif abang, kami mencari rumahnya dan berjumpa sendiri dengan ibubapanya. Mulanya keadaan agak tegang juga tapi syukurlah Allah mempermudahkan segalanya bila muridku sendiri mengaku kesalahannya di depan orangtuanya. Keadaan lalu pulih dengan segala macam formaliti minta maaf tapi paku sudah dilantakkan di atas dinding. Dicabut pun, parutnya tetap ada.
Lagipun, ini pertandingan terbuka. Tiada istilah surat kebenaran dan ibubapa sewajarnya maklum mengenai perkara ini, apalagi ibubapa yang menjawat profession kerajaan. Kenapa perlu libatkan sekolah sampai urusan perjawatan dibawa-bawa? Begitu ramai murid aku jaga seorang semuanya selamat balik dan tahu bila mahu balik. Apahal anak kau seorang tak ingat mau balik rumah? Terang-terang engkau yang tak tahu aktiviti anak sendiri, bulat-bulat kena tipu oleh anak, senang-senang salahkan cikgu!
Kenapa ramai sangat ibubapa yang boleh kena tipu anak di dunia ni ah?
Fahamkah kau muridku? Bahawa kau hampir meletakkan cikgu mu ini dalam dunia fitnah yang boleh merosakkan nama, jawatan dan professionku semata-mata kerana keghairahanmu pada dunia siber? Lihatlah aku, teacher kamu ini. Betapa aku begitu meyayangi kamu, menjaga kamu dan sentiasa memastikan keselamatan kamu melebihi diriku sendiri? Aku meletakkan kepercayaanku pada kamu dan berharap agar kamu mahu menjaga kepercayaan itu sebagaimana aku yang selalu kamu percaya. Kejadian hari ini adalah sesuatu yang sangat keterlaluan dan menyinggung perasaanku sebagai manusia yang begitu menyayangi kamu seperti anak sendiri. Silalah teroka dunia ini kalau itu yang kamu mahu. Tapi jangan sampai melupakan sisi lain yang lebih penting iaitu tanggungjawab sebagai anak, sebagai murid dan sebagai hamba Allah. Perbuatanmu telah menconteng arang ke mukaku sampai aku tak tahu harus kuletakkan ke mana muka ini. Aku malu menjadi guru yang gagal memastikan keselamatan seorang murid sedangkan si murid sedang asyik tenggelam dalam dunia yang melekakan. Aku telah mengorbankan masaku, malah masa untuk bersama keluargaku semata-mata untuk mendidik kamu. Dari awal tahun sampailah sekarang, aku menghabiskan banyak masa rehatku samada waktu petang atau hujung minggu bersama kamu. Aku melatih kamu tiap petang, aku malah sanggup membawa kamu berkamping sedangkan waktu itu aku sendiri penat dan semakin kekurangan masa bersama keluarga. Inikah balasan kamu untuk aku? Sebuah pengkhiantan dan najis yang sengaja kau palit-palit ke mukaku!
Aku tak tahu bagaimana mampu kuhadapi kamu Isnin nanti setelah seluruh kepercayaanku dan harga diriku kau lunyak-lunyak di bawah kakimu.
0 comments:
Post a Comment