Sunday, November 25, 2012 | By: Luna Biru

Kembali ke tanah Labuan

Hajat untuk kembali menjejak kaki ke tanah Labuan ini terjadi begitu sahaja selepas balik dari trip ke Tenom. Anak-anak belum puas bercuti dan mungkin juga sudah ketagihan dengan cuti yang hebat macam tahun lepas. Jadinya, rancangan untuk ke sini mulai disusun rapi meskipun kadar kewangan tidaklah begitu menggiurkan saat ini. 

Kami memulakan perjalanan kami pada hari Rabu dan akan kembali semula ke sini pada hari Jumaat. Cukuplah rasanya dua hari untuk merentas Pulau Labuan yang tidak sebesar mana tu. Paling-paling mahu melawat tempat kami adik-beradik dibesarkan di Layang-Layangan dan beberapa tempat nostalgia kesukaan kami sekeluarga dulu. Aku masih ingat dulu sepulang dari belayar, abah akan bawa kami makan-makan di Medan Selera dan berkelah di tasik mahupun di Pantai Pohon Batu. Mungkin aku ni waris abah yang suka mendekatkan diri pada alam untuk memaknakan erti percutian. 


Oleh kerana kami memilih untuk membawa kenderaan masing-masing, maka kami pun menggunakan jalan Menumbuk dengan perkhidmatan Feri Corporation. Kadar bayaran membawa kenderaan adalah bergantung kepada jenis kereta dan CC. Untuk kereta sedan RM40 manakala untuk kereta four wheel RM50 sekali jalan. Kadar tambang pula adalah RM5.00 kecuali budak berusia 3 tahun ke bawah. Cukai 'ship boarding' pula dikenakan oleh pihak kastam di pintu masuk feri. Kadar ini juga bergantung pada jenis kenderaan dan jumlah penumpang dalam kereta. Fuh...habis jugalah RM164 untuk tambang dan pengangkutan saja. 

Sesampainya kami di feri, kami agak terkejut bila melihat kawasan dalam feri yang tidak ubah seperti bawah kolong rumah P.Ramlee dalam filem Ibu Mertuaku. Untuk makluman semua, terdapat dua jenis syarikat yang berada di bawah syarikat Feri Corporation ini iaitu Wawasan dan Kimanis. Wawasan dan Warisan berada dalam satu syarikat manakala Kimanis adalah syarikat yang lain. Kalau anda berhajat untuk ke Labuan dalam masa terdekat ini, aku syorkan untuk menggunakan Kimanis sebab ianya lebih selesa dan lengkap dengan segala keperluan asas seperti kantin. Wawasan Perdana masih dalam pembaikan setelah mengalami kebakaran beberapa musim yang lalu. Manakala Warisan Perdana pula sangat sempit, lambat dan tidak selesa. 

Tapi bak kata orang, kalau hati senang, di mana-manapun bahagia juga. Meski terasak oleh tempat yang tidak selesa, kami semua tetap gembira. Benarlah kata orang bahawa kita tidak pernah merasa benar-benar gembira kecuali kita meminjam sebahagian bahagia itu dari anak-anak. Percutian adalah untuk anak-anak maka dari merekalah kita merasai bahagia itu. 

Kami sampai di Pulau Labuan pada jam 12.30 p.m. Beta Service Apartment telah dipilih untuk dijadikan tempat penginapan kami selama dua hari ini.  



0 comments:

Post a Comment