Kami
bertemu buat pertama kalinya pagi itu. Sebuah pagi yang kumulai dengan muncung
yang panjang. Pagi yang kurasa sangat tidak istimewa. Aku masih memprotes
keputusan abah yang mahu berpindah semula ke kampung halamannya setelah begitu
lama hidup di perantauan. Kerja abah sebagai seorang polis laut sering membuat
kami sekeluarga hidup berpindah-randah dari suatu daerah ke suatu daerah,
bahkan dari negeri ke negeri. Lalu abah ingin menamatkan cara hidup nomad itu
dengan meletakkan jawatannya dan kembali semula ke kampung halamannya di Pekan
Papar.
Sesungguhnya, aku, puteri bungsu kesayangan abah
ini, amat membenci perpindahan. Perpindahan memaksa kita untuk memulakan hidup
baru sekali lagi dari bawah, dari titik paling kosong. Nol. Tanpa teman, tanpa
pengalaman, kita seperti bayi yang baru lahir di daerah yang selalu asing.
Seperti hari inilah.
Hari ini adalah hari pertamaku bergelar pelajar
tingkatan lima di sebuah sekolah baru. Ia juga bermaksud sekolah keenamku di
sepanjang hayatku bergelar pelajar. Aku berdiri tanpa rasa di hadapan bilik
guru, menanti abah menyelesaikan tugasnya untuk mendaftarkan aku. Tugasku pula
mudah sekali. Aku cuma perlu memerhati dan mempelajari senario di sekolah
baruku ini. Segalanya begitu asing padaku. Cuacanya, manusianya, gerak rutinnya
bahkan diriku sendiri. Suasana agak hingar-bingar di luar sini. Barangkali
mereka sibuk melepas rindu dan bertukar cerita setelah terpisah pada cuti
semester yang lepas.
Lalu pada pagi yang sangat tidak istimewa itulah
aku bertemu dengannya, lelaki itu, untuk kali pertamanya, dengan cara yang juga
tidak istimewa. Segalanya bermula dari sebuah bunyi loceng yang menamatkan
huru-hara di luar kelas. Loceng itu rupanya tergantung hanya beberapa jengkal
dari kepalaku. Aku terkejut bukan kepalang mendengar bunyi loceng yang bunyinya
tidak ubah seperti siren kebakaran. Aku menjerit sekuatnya sambil menekup
telingaku dengan kedua belah tapak tangan.
Jantungku mendadak
berlari keras. Kupejamkan kedua mataku cuba mengusir kekeliruan yang cuba
dicerna oleh sang otak. Sesaat, setelah ketenangan menguasai, aku membuka
mataku, perlahan, penuh hati-hati. Seolah-olah aku takut kalau loceng itu
berbunyi lagi dan menggoncangkan jantungku seperti tadi.
Lalu di situlah dia, lelaki itu. Dia berdiri
tepat di hadapanku dengan baju seragam pengawas biru putih dan tali leher
berwarna merah tua. Ruas cahaya matahari menimpa wajahnya yang bersinar simpati
kepadaku. Ruas cahaya itu menyinarkan sepasang mata jernihnya yang berwarna
coklat hazel. Mata itu pula diselaputi oleh kelopak yang begitu indah dan redup.
Dia memerhatikanku dengan rasa khuatir. Seketika kemudian, dia memberikanku
segaris senyum indah bagaikan hirisan bulan sabit yang ranum. Aku terpana
seketika. Kukira Tuhan sedang menghantar manusia yang wajahnya pasti telah
dilukis oleh malaikat.
“Kamu ok?” tanyanya. Aku tak menjawab; hanya
memerhati matanya, hidungnya, alisnya bahkan bibirnya yang indah.
“Pelajar baru ya? Tingkatan berapa?” dia terus memacu soalan dan aku
terus memacu kebisuan. “Jangan berdiri di situ lagi,” katanya tanpa peduli aku
menyahut atau tidak. Dia menuding jarinya ke atas menunjukkan loceng elektrik
berwarna merah di atas kepalaku. Aku tetap tidak berkutik, takut kalau
kudongakkan kepala, dia akan hilang dari pandangan mataku.
Begitu melihatku terus mematung, dia mula
menjadi salah tingkah. Matanya yang bersinar simpati tadi sudah bertukar
menjadi sinar kekeliruan. Mungkin saat itu dia gagal menafsir makna tatapanku. Atau
mungkin saja wajahku menerbitkan sinar yang menakutinya. Akhirnya, penuh
ragu-ragu dia bergerak pergi setelah menunduk basa-basi kepadaku.
Aku menghantarnya dengan tatapan yang tetap
tidak mahu aku lepaskan. Seharusnya waktu itu aku menyumpah kebodohan dan
kecerobohanku. Tetapi sesuatu dalam matanya itu, sangat memukau untuk aku berfikir
waras. Kalau ini cinta, maka percayalah, bahawa aku benar-benar sedang jatuh
cinta. Jatuh cinta dengan seorang lelaki bermata coklat jernih dengan senyum
indah yang bahkan tidak ku ketahui namanya. Mata itu...benarkah kulihat
kejora di dalamnya?
____________________________________________________________________________
Sejak detik itu kami pun mulai bertukar
pandang. Lelaki bermata kejora itu, ternyata merupakan seorang pelajar
cemerlang yang ditempatkan di kelas sains. Daftar peminatnya ramai sekali dari
kalangan junior hinggalah yang sebaya dengan kami. Dia bukan sahaja popular
kerana ketampanannya tapi juga kerana tokoh kepimpinannya. Dia sudah banyak
menyumbang baktinya pada sekolah. Menurut Ernie, sahabat baruku, almari kaca di
rumahnya sudah setanding dengan almari piala di rumah Datok Siti Nurhaliza.
Sudah tentu itu satu perumpaan yang melampau tapi aku tidak pernah peduli soal kebenarannya.
Aku
cuma tahu kalau dia tampan sekali. Dia juga seakan tahu kalau dirinya tampan
makanya dia begitu menjaga jarak. Kami sesekali berlaga bahu di ruang kantin,
atau berselisih di bahu jalan, bahkan saat menuju ke kelas masing-masing.
Biasanya, kami berdua akan tertegun seketika, berbalas renung tanpa senyum lalu
kemudiannya berlalu pergi. Saat musim sukan di awal Februari, kami bertemu
setiap petang di padang sekolah.
Entahkan
aku terlalu dibuai perasaan atau mataku hakim yang benar, yang pastinya, aku
selalu mendapatinya memerhatikan aku. Saat aku mahu memulai latihanku, aku
dapati matanya akan melumuri wajahku. Bila kuangkat kepalaku, dia akan
buru-buru memalingkan mukanya. Aku menyedari ini semua kerana aku juga sedang
melakukan perkara yang sama dengannya. Bila dia mulai beraksi, aku pula akan
mencuri pandang ke mukanya. Lalu bila dia menyedarinya, aku akan segera
mengalihkan kepalaku. Dan begitulah seterusnya hingga pandangan kami akan
bertemu tanpa sempat berkalih arah.
Dua bulan berlalu namun belum sekali
kami pernah berbalas senyum, apalagi sekadar ucapan hai dan bye. Tapi aku sudah
cukup puas dapat melihatnya setiap hari. Sekadar menatap matanya dan merasai
kehadirannya. Atau bahkan sesekali terhidu aroma peluh dari tubuhnya.
Namun suatu hari masa seakan sudah bosan
menunggu kami untuk memulai langkah pertama. Sekali lagi kami ditemukan dalam
sebuah perkhemahan Ahli Kelab Olahraga sekolah yang ditempatkan di hutan lipur.
Perkhemahan yang dihadiri oleh 30 orang ahli itu berlangsung selama selama tiga
hari dua malam.
Hari pertama perkhemahan berlangsung seperti
adanya. Sekali lagi, dia tampil menjadi pilihan untuk memimpin pasukan kami.
Petang itu, seusai taklimat keselamatan, kami mendirikan khemah di tepi sungai.
Malangnya, setelah makan malam dan acara suaikenal, hujan lebat mulai turun dan
membanjiri seluruh tapak perkhemahan. Guru pengiring yang bertugas terpaksa
meminta kami meninggalkan tapak perkhemahan dan menuju ke khemah urusetia yang
terletak di kawasan yang lebih tinggi.
Segalanya berlangsung dengan penuh kacau-bilau
malam itu. Bintang pun mengalah pada gumpalan awan tebal yang memuntahkan
segala isinya. Aku cuma mampu memekap diriku di hujung khemah urusetia yang
besarnya tidaklah begitu luas untuk memuatkan kami semua. Aku tidak mampu
berbaring kerana tubuhku sudah basah semua. Kesejukan sudah mulai mencengkam
seluruh tulang sum-sumku.
Ahli-ahli kelab yang
lain sudah mulai bertiduran. Ada yang memeluk rakan dan ada yang tertidur duduk
seperti aku. Aku mulai menyedari kalau aku sedang diperhatikan. Ketika kutoleh
ke samping, jauh di sudut sebelah kiri, mataku tertangkap matanya. Dia
merenungku tajam dengan dahi berkerut. Tanpa sepatah kata, kurasa dia sedang
bertanya kenapa aku belum tidur lagi. Aku menggelengkan kepalaku dan bertanya
kembali padanya soalan yang sama. Dia tersenyum menatapku. Senyum yang untuk
pertama kalinya dihadiahkan untuk aku. Aku mengerutkan dahiku kehairanan.
Mulutnya membentuk suatu perkataan. Benarkah maksudnya, tidurlah...?
Hujan masih belum puas mencurahkan baktinya
meski pagi sudah mulai mengganti malam. Kawasan perkhemahan kami yang asal
sudah habis seluruhnya ditenggalami air. Banyak beg dan barang peribadi hanyut
dibawa air. Kalau hujan masih terus menyimbah bumi, aku yakin kalau sebentar
lagi kawasan kami sekarang juga akan hanyut dibawa arus.
Suasana cemas terus menguasai. Sesungguhnya,
tidak ada apa yang dapat kami lakukan kala itu kecuali menunggu pasukan
penyelamat datang memberi bantuan. Panik dan risau ibarat pembunuh senyap yang
hanya merosakkan pemikiran yang rasional.
Saat tenghari menjenguk, hujan mulai mereda dan
mengganti gerimis yang merenyai. Kami diarahkan untuk menyeberang sungai dengan
menggunakan titi batang kelapa yang sedia ada. Air sungai mengalir deras dan
hanya berada selang beberapa meter dari aras jambatan. Merentasinya ibarat
merentas antara hidup dan mati. Err...seperti jambatan sakaratul-maut,
barangkali. Samada kau selamat sampai ke tebing atau kau jatuh ke dalam sungai.
Seorang guru pengiring merentang tali dari
sebelah tebing dan mengikatnya ke tebing yang satu lagi. Peraturannya mudah.
Kami perlu melalui titi sejauh 15kaki itu dengan mengikat badan kami pada tali
yang setiap hujungnya akan dipegang oleh seorang petugas. Oleh kerana jumlah
kami yang agak terhad, maka kami hanya dibekali dengan dua orang guru
pengiring. Seorang guru sudah berada di sebelah tebing, seorang lagi berada di
sebelah sini bertugas mengikat tali pelajar. Pemimpin pasukan kami, tentu saja
si mata kejora itu, bertugas memegang tali. Dia memegang tali berwarna hijau
itu dengan tangannya yang kuat seakan hidup mati kami berada di tangannya.
Satu persatu pelajar merentasinya dengan doa
dan airmata hingga tibalah pula giliranku.
Proses itupun berulang lagi. Bermula dari
langkah mengikatku pada tali hinggalah saat aku memulai langkah pertamaku
menyusur titi di hujung tebing. Hujan saat itu sudah mulai mengganas lagi dan
air sungai sudah berada hampir mencecah di buku lali.
Saat itu, benar, aku merasa sangat takut sekali.
Aku menoleh sebentar ke arahnya seolah cuba mencari kekuatan dari sinar
matanya. Untuk pertama kalinya, mata kami beradu dalam dunia yang tidak pernah
aku bayangkan sebelumnya.
“Hati-hati...”bisiknya getir tanpa mahu
melepaskan pandangannya. Aku mengangguk. Kupejamkan mataku kuat-kuat.
“Kau juga...aku tunggu
kau di sebelah sana,”
“Pegang taliku kuat-kuat.
Jangan biarkan aku jatuh kerana nanti aku tidak akan dapat menatap matamu
lagi,”
Namun tidak ada satu pun kata-kata itu yang
keluar dari bibirku.
Dengan sepotong ucapan Bismillah, aku memulai
langkahku. Titi itu ternyata sangat licin dan menakutkan. Jauh lebih menakutkan
dari yang aku bayangkan sejak tadi. Penuh hati-hati aku melangkah sambil
tanganku berpaut erat pada batang titi yang rapuh dan tali tegang yang
direntang. Demikian derasnya air sungai yang berpacu menjadikan langkahku
seakan tidak seimbang lagi. Ini adalah misi bunuh diri. Hujan semakin lebat
hingga mengaburi pandangan mataku. Dari tengah titi aku melihat guruku dan
rakan-rakanku menjerit-jerit menyuruhku cepat berjalan. Aku tidak dapat
mendengar butir jeritannya dengan pasti. Hanya raut wajahnya semakin membuatku
merasa takut. Mereka seolah-olah ingin memberitahuku sesuatu.
Langkahku terhenti. Penuh ragu, aku menoleh ke
samping. Hanya dalam beberapa meter, aku melihat sepenggal kayu balak hanyut
terpontang-panting dibawa arus menuju ke arahku. Aku mendengar namaku
dipanggil, baik dari sebelah sini mahupun dari sebelah sana. Namun kepalaku
sudah terlalu keras untuk menoleh ke arah manapun. Aku cuma mampu memerhatikan
potongan kayu itu menunggu detik untuk menghumbankan aku ke dalam sungai.
Aku memejam mataku rapat-rapat. Seketika, aku terasa
titiku bergegar dari arah belakang. Aku dapat merasakan tubuhku dipaut erat
sebelum sebuah dentuman keras menghentam ke arahku dengan laju dan tanpa
kasihan.
Tubuhku pun tenggelam ke
dalam air sungai yang lapar. Butir-butir bintang berteraburan di sekitarku. Itu
pasti bintang yang lemas.
Aku membuka mataku perlahan. Gelap. Itulah yang
kulihat. Aku pasti sedang berada di bilikku dan aku baru sahaja melalui sebuah
mimpi yang ngeri. Aku bermimpi lemas di sungai dengan butiran bintang yang
tidak pernah kukenal bentuknya selama ini. Aku hanya kenal bintang di langit
dan bintang di mata putera impianku.
Tunggu...!
Jantungku berhenti berdetak. Tidak. Ini bukan
mimpi. Aku cuba mengembalikan seluruh ingatanku dan bagai pita tanpa suara,
segalanya berputar dengan laju. Bagai gambar yang berbalam-balam di balik kabus,
aku cuba mencantumkan semua gambar itu satu persatu. Bayangan terakhir yang
hinggap di kepalaku hanyalah secebis peristiwa di atas titi. Saat potongan kayu
balak menghentam titiku dan aku terhumban ke dalam sungai sebelum aku merasa
bahawa aku sedang berpaut pada seseorang.
Seseorang!
Bingkas aku bangun dan menebarkan mataku
seluasnya, cuba melawan pekatnya malam dengan segala kudrat pancaindera yang
aku miliki. Kalau seseorang itu ada, pastilah dia ada di sisiku sekarang ini.
“Rin...” kudengar suaraku dipanggil lembut.
Aku menoleh ke arah suara itu. Suara yang telah
melenyapkan segala panik dna takut. Aku menyipitkan mataku dan melihat sebuah
bayang hitam berada di sisiku. Suaraku itu sangat kukenali sungguhpun suara itu
tidak pernah berbicara langsung padaku. Aku sudah menghafal bunyinya sejak dari
tengah padang, di kelas olahraga bahkan beberapa jam yang lalu.
Aku melepaskan nafasku lega. Ternyata benar dia
yang menyelamatkanku petang tadi. Lapang rasanya bila mendapati bahawa kau
tidak sendirian di dunia yang serba asing itu.
“Syukurlah kau sudah sedar,” balasnya lalu duduk
di sisiku. Aku merasa haba badannya yang dingin sekali hingga bulu tengkukku
berdiri semuanya.
“Kita di mana?” tanyaku dengan bibir bergetar
menahan sejuk. Hujan sudah sepenuhnya berhenti tapi langit masih belum mahu
berhenti bersedih.
“Mungkin di pinggir sungai, dekat hutan. Aku tak
tahu,”
“Kita hanyut ke sini?”
“Ya,”
“Oh...Terima kasih kerana telah menyelamatkan
aku,”
Sepi. Aku mengandaikan dia mengangguk. Bisu tiba-tiba mencelah di
antara kami hingga akhirnya dia memanggil namaku lagi. Nadanya sedikit aneh,
bagai sebuah rintih yang lemah.
“Rin...”
Aku menoleh ke arahnya. Aku melihat kilatan bintang dari matanya
meski gelap menguasai bumi. “Ya?”
Aku mendengar tawanya yang kaku. “Tidaklah. Aku
saja mahu memanggil namamu,”
“Kenapa?”
“Kerana selepas ini aku tidak akan ada peluang lagi memanggil namamu,”
“Kerana selepas ini aku tidak akan ada peluang lagi memanggil namamu,”
Aku mengerutkan keningku. “Kenapa?”
Tanpa menjawab soalanku, dia memanggil namaku lagi.
“Rin...”
“Ya...?”
“Mahukah
kau menyebut namaku satu kali? Kau tak pernah memanggil namku,”
Aku tersenyum di sudut bibir.
___________________________________________________________________________
Aku terdengar sebuah bisikan lembut di telingaku memanggil namaku.
“Rin...bangun,”
Aku membuka mataku perlahan. Segurat cahaya
matahari menyimbah dari celah pepohonan yang masih basah akibat hujan dan embun.
Dari jauh, aku melihat sekumpulan pasukan penyelamat datang menuju kearah kami.
“Arina Kazman?”
panggil seorang pegawai yang agak tua usianya. Aku mengangguk lemah.
“Oh, syukurlah awak selamat. Sudah dua hari kami
mencari awak,” katanya dengan wajah terlukis penuh kelegaan. Aku tersentap. Dua
hari?
Dua orang petugas memapahku bangun dan
menuntutku berjalan. Aku bergerak agak perlahan kerana tubuhku masih terlalu
lemah. Aku menoleh ke belakang untuk memastikan mereka membawa bintangku
bersama. Saat aku menoleh, ternyata, tidak ada sesiapa di belakang sana.
Bahkan, pasukan penyelamat yang lain pun sudah berjalan awal ke depan.
“Sekejap...”
kataku menghentikan langkah.
“Kenapa dik?”
“Kawan
saya...sudah selamatkah?”
Mereke berpandangan sesama sendiri. “Kawan yang mana?”
“Yang selamatkan
saya,”
Sekali lagi mereka berpandangan. “Maksud adik, Muhammad Haziq?”
Aku mengangguk.
“Maaf dik. Cuma
adik seorang yang selamat,”
“Maksudnya?” ada
getaran timbul mendadak dalam jantungku.
“Maaf dik,”
“Maaf kenapa?”
aku mulai hilang sabar.
Tanpa menjawab soalanku, mereka terus memimpinku
berjalan. Hatiku memberontak gelisah. “Maaf kenapa?” tingkahku berdegil. Kali
ini aku bersuara agak kuat.
Pegawai itu menghentikan langkahnya. Dia
memandangku dengan sinar mata yang aneh. Ada sesuatu yang gagal kuungkap lewat
matanya. Dia menatapku dengan kekeliruan yang fatal.
“Adik, dengar sini. Kawan adik sudah kami
temukan sejak kelmarin petang. Saya minta maaf. Tapi, dia gagal diselamatkan,”
Penjelasan itu bagai dentuman guruh di
telingaku. Satu-persatu pita bergambar pun bermain kembali di kepalaku
berselang-selang dengan suara yang berbalam-balam.
“Haziq!” aku menjerit sekuatnya dan gemanya
menyusup terus ke seluruh pembuluh darahku.
“Mahukah kau menyebut
namaku satu kali? Kau tak pernah memanggil namaku,”
Sekali lagi aku
melihat bintang-bintang bertabur di kaki langit.
0 comments:
Post a Comment