Saturday, November 24, 2012 | By: Luna Biru

Muzium Budaya Murut, Tenom

Rumah Budaya Murut ini juga sudah sering kami kunjungi sebelum ini. Namun kunjungan kali ini agak berbeza bila mendapati beberapa pembaharuan telah dibuat di kawasan muzium ini. 

Kalau dahulu, tidak terdapat sebarang bayaran dikenakan untuk masuk ke tempat ini. Namun sekarang, caj RM5.00 seorang dikenakan untuk dewasa dan RM3.00 pula kanak-kanak atau pelajar sekolah. Sebuah pintu gerbang yang dahulunya tidak ada juga telah bersedia menyambut kehadiran kita dengan penuh gah. 
Malangnya, suatu hal yang tidak berubah adalah pengisian tempat ini sendiri. Suasana sunyi dan lompang tanpa seorang pun penyambut tetamu mahupun pemandu pelancong yang menerima kehadiran kami. Kawasan dalam muzium bagai rumah sepi yang ditinggalkan manusia. Informasi-informasi berguna juga tidak banyak membantu untuk menarik perhatian golongan pelancong untuk mengupas lebih dalam tentang dunia kaum Murut. 


Satu-satunya yang mengkagumkan adalah tempat ini diselenggarakan dengan baik. Kebersihan dijaga dengan baik lengkap dengan segala keperluan asas seperti tandas. Agak malang juga bila tidak terdapat sebuah kantin pun di sini sekadar untuk menjual air botol setelah penat bermagunatip atau bermain lansaran. 

Mungkin tempat ini agak sunyi pada hari biasa dan hanya digunakan secara maksima pada musim perayaan. Mungkin sebab itulah pihak urusetia tempat ini tidak mengambil endah perkara ini. Jadi pada pendapat aku, bayaran RM5.00 yang dikenakan di pintu masuk adalah terlalu tinggi nilainya jika akhirnya kita hanya dihidangkan dengan tempat yang hampir mati begini. Sangat tidak berbaloi. Kalau tak percaya, silalah lihat buku daftar komen pelawat yang ada di depan pintu masuk. Ada banyak komen yang bersifat negatif ditulis di situ. 

Namun aku merasa amat seronok bila melihat anak-anak begitu bergembira ketika bermain lansaran. Permainan ni memang sangat menyeronokkan terutamanya yang baru mencuba macamm anak-anak Along. Masing-masing merasa tercabar untuk menjadi johan mengambil upih yang tersangkut di atas lansaran. Mungkin Micheal Jordan saja kot yang boleh ambil benda tu. 





Penat menguasai begitu selesai berjuang di dataran lansaran. Nasib baik ada bawa banyak bekal jadi jimat masa menunggu tempahan makanan di restoran. Selepas refreshment, kami pun bergerak menuju ke Kuala Penyu melalui Jalan Sipitang. Ini adalah sebuah rancangan yang tiada dalam senarai sama sekali. Dengarnya, pantai Kuala Penyu cantik. Manatau, besok boleh ke Pulau Tiga. 


0 comments:

Post a Comment