Sunday, November 25, 2012 | By: Luna Biru

Pantai Sawangan, Kuala Penyu

Ini adalah jejak kaki pertama ke Kuala Penyu. Kami sampai agak lewat petang sekadar untuk memburu matahari tenggelam yang kononnya amat indah dari sini. Malangnya, suasana alam tidak mengizinkan kami untuk merakam fenomena indah itu. 

Penat menguasai diri setelah lebih 3 jam terjeruk di perut kereta dari Tenom ke sini. Nasib baik bekalan makanan tadi masih ada jadi habislah semuanya dibaham oleh kami. Kami berhenti rehat di pantai ini selama setengah jam lalu akhirnya menerima jemputan dari kenalan Along untuk makan malam di rumahnya.
Pada mulanya kami berhajat mahu tinggal di chalet yang berdekatan di sini. Namun beberapa konflik menjadikan rancangan ini jadi agak berterabur. Kalau anda berminat mahu menikmati dunia sunset dan sunrise, bolehlah bermalam di sini dan klik pada laman ini untuk keterangan lanjut. 

Dari pantai ini aku melihat Pulau Tiga menggamit rasa ingin untuk ke sana. Dengarnya Pulau Tiga tempat pembuangan jin. Oh malunya kita rakyat tempatan terikat oleh rasa takut dan khurafat sedangkan orang luar sudah bersurvivor di pulau itu. Kenapalah kita selalu menjadikan ketakutan itu untuk menghalangi kita merasa bahagia? 





Terima kasih kepada Encik Kadir sekeluarga atas sajian makan malam yang telah mengenyangkan semua jemaah. Semoga bertambah rezeki dan dipermudahkan urusan. Untungnya jadi manusia berhati mulia begitu, kan? 

Lalu kami pun meneruskan perjalanan pulang ke Papar pada jam 9.30 malam. Hujan lebat mengiringi perjalanan kami. Hajat hati mahu singgah bermalam di Binsulok Resort tapi sekali lagi kami terlepas akibat hujan yang lebat. Nampaknya terpaksalah meneruskan perjalanan balik dengan segala tawakkal di hati.

Tamatlah ceritera kami di Pedalaman Pantai Barat. 

0 comments:

Post a Comment