Agak terkejut menerima panggilan dari urusetia KEM BOLA 1MCC ASTRO yang memaklumkan bahawa Anies terpilih untuk ke pusingan seterusnya.
Wow...bersaing dengan seluruh Malaysia, dia pula yang terpilih? Kesian pula dengan Acik dan Abe yang tersingkir.
Apapun, maka akan terbanglah Aniesku itu untuk mengikuti latihan pusat di Stadium Bukit Jalil selama 8 hari Disember nanti. Kalau dia lepas di sana, Insya Allah dia akan mengikuti latihan lanjutan di Cardiff City di UK pula nanti.
Jauh menyimpang dari rencana abah yang teringin menjadikannya seorang ustazah.
Kata abah, aku tidak sepatutnya menggalakkan anak perempuanku untuk terlibat dalam dunia sebegitu. Sangat tidak manis dipandang mata, kata abah. Itu sangat kuakui. Tapi aku sudah lelah dengan isu diskriminasi jantina. Aku tidak mahu Anies melupakan impiannya seperti aku yang terpaksa melepaskan segala mimpiku hanya kerana isu bodoh ini. Anies sudah berusaha keras untuk berada di tahap ini. Bersekolah di Bukit Jalil adalah citanya. Cardiff City adalah bonus pelengkap. Kalau benar ini rezekinya, maka biarkanlah dia terbang menggapai impian itu.
Tahniah untuk Anies.
Kepada Acik dan Abe, sabarlah ya...
Mengimbas kembali sepusar kisah ketika menuju ke Pemilihan Kem Bola Astro dua minggu lalu di stadium UMS. Ia adalah sebuah kisah yang tragis ketika dilalui. Tapi ketika ianya berakhir, ternyata ianya menjadi sebuah kenangan paling manis buat kami.
Segalanya bermula ketika kereta tua kami si WIRA SE yang sudah berusia 9 tahun tiba-tiba tidak mampu lajak pada tahap normal. Biar berhabis tenaga menekan pedal minyak, tapi jarum penunjuk hanya lekat sejauh 40KM. Kami yang tidak mahir enjin ini pun mulai meneka-neka jenis kerosakan. Abang nekad mahu patah balik saja ke Papar. Tapi hati degilku memaksa kami untuk meneruskan perjalanan walaupun kami terpaksa naik bas ke UMS. Manakan tidak, waktu tu kami sudah lebih separuh perjalanan. Patah balik bukanlah idea yang menguntungkan. Meneruskan perjuangan juga mungkin tidak akan berbaloi kerana waktu itu jam sudah menunjukkan ke angka 12.30. Kami cuma punya setengah jam lagi sebelum pendaftaran ditutup.
Melihat kedegilanku, abang pun memaksa kereta tua kami untuk berkerja lebih kuat. Namun segalanya sudah ditentukan bila kereta kami akhirnya tidak mampu lagi memberi khidmatnya. Enjin pun mati mendadak ketika kami baru sampai di round about utama UMS. Titik. Kukira itulah noktahnya perjuangan kami. Jam sudah berkalih ke angka 12.40.
Namun, bila kupandang muka anak-anak, tiba-tiba sebuah kenekadan muncul dalam diri. Alang-alang menyeluk pekasam, biarlah sampai ke pangkal lengan. Aku mengajak mereka berlumba lari untuk sampai ke padang UMS yang pada perkiraanku berada berhampiran dengan kami. Cabaranku disahut dan kami pun 5 beranak berlari macam orang gila tepi jalan. Tinggallah abang sorang-sorang mengurus keretanya yang entah apa rosaknya itu...
Lari punya lari tapi padang UMS tak nampak-nampak juga. Akhirnya kami pun lelah dan berhenti di tepi jalan. 5 minit lagi ke pukul 1. Memang tiada harapan. Aku pun cuba meluruskan lagi mindaku semampu mungkin. Akhirnya aku mengalah pada takdir. Aku sudah berusaha semampunya untuk sampai ke tahap ini. Kita adalah perancang tegar. Tapi kita selalu lupa hanya Allah yang berhak menentukan segalanya.
Kami berbincang seketika dan akhirnya kami memutuskan untuk tetap mempertaruhkan nasib pada ehsan Allah. Manalah tahu kot-kot encik pendaftar mahu melanjutkan tempoh pendaftaran, kan? Kalau perlu merayu, kami akan merayu. Kalau perlu menangis, aku sanggup nangis kuat-kuat. Kita tak tahu selagi kita tak cuba. Sekurang-kurangnya, kalau direject pun, kami sudah mencuba. Tapi kalau kita berundur sekarang, kita takkan dapat apa-apa sampai bila-bila. Dalam hati aku cuma mampu berdoa agar Tuhan mahu memberikan pengakhiran yang baik dari semua ini.
Setelah berbelas KM berlari, berjalan, dan kemudian berlari lagi dan berjalan lagi, akhirnya tanpa diduga, sebuah teksi berhenti di tepi jalan. Encik pemandu, seorang 'bugisman' menawarkan khidmat untuk menghantarkan kami ke padang. Katanya, dia sudah melihat kami sejak menghantar penumpang dari awal tadi. Oh...dari mana tahu kami nak ke padang? Tanyaku. Aiseh....kalau dah pakai jersey macam ni, mau pigi mana lagi kau kawan? jawabnya.
Alhamdulillah....
Waktu masuk ke teksi, aku rasa lutut aku bergegar. Sudah lama tak lari bagai gila macam tadi. Terima kasih Allah sebab hantar bantuan melalui kekuatan dan encik teksi yang baik hati. Ketika dia menurunkan kami di padang, dia tidak enggan menerima bayaran yang aku hulurkan. Pergilah cepat, nanti kau lambat. Kesian ni budak-budak, katanya.
Subhanallah....
Ketika kami sampai, pendaftaran memang sudah ditutup. Kertas-kertas atas meja sudah dikemas manakala para peserta pun sudah dikumpul di bawah khemah untuk sesi taklimat. Entah macamana muka aku waktu tu, ketika aku sampai di meja, aku terus dilayan dengan baik. Para petugas sukarelawan, segera menyemak nama ketiga-tiga anakku dalam borang pendaftaran mereka. Syukurlah aku sudah mendaftar online sejak awal lagi. Lalu tanpa banyak soal, mereka pun mengagihkan jersey dan nombor untuk anak-anakku. Semudah itu?
Alhamdulillah.....
Lalu bermulalah cabaran demi cabaran yang semuanya cuba disempurnakan oleh para peserta Kem Bola 1MCC. Aku terduduk di tepi padang. Tidak lama, muncul abang dengan peluh yang basah di baju. Rupanya kereta kami rosak clutch. Ok. That's it. Aku tak tahu macamana mahu pulang lepas semua ni berakhir.
Acara pun habis pada jam 4.00 petang. Masalah pun timbul sebab tiada seorang pun ahli keluarga yang dapat dihubungi untuk membantu sehingga jam 6.00 petang. Kami hantar budak-budak ke rumah Kak Tina sementara kami pula berbalik ke UMS untuk ambil kereta. Masalah sekali lagi datang sebab kami tak cukup duit untuk towing kereta dari UMS ke Papar yang berjumlah RM450. 8.00 malam, akhirnya dengan bantuan Lan, kami towing kereta guna Hiluxnya. Waktu lalu depan round about McD, tali yang diikat putus dua. Kereta renta itu pun tersadai di tengah jalan menyebabkan jammed teruk. Ya Allah....
Jam 9.30 malam, anak buah aku, Jay-Jay dan Wewe datang berikan bantuan. Kereta pun ditowing ke Likas. Dorang juga kemudiannya hantar kami balik ke Kepayan tempat Kak Tina dan anak-anak sekitar jam 10.30 malam. Jam 11.00 malam, Lelek pula datang untuk hantar kami balik ke Papar.....
Sekarang kau lihatkan? Berapa ramai manusia terlibat dalam sebuah perjuangan untuk mendapat tempat di 1MCC ini. Ia sebenarnya jauh lebih dalam dari itu. Ini adalah tentang cita-cita dan harapan anak yang sudah tahu merancang masa hadapan. Tegakah kita sebagai ibubapa menghancurkan impian itu? Setidaknya, bukan aku....
Maka, kalau inilah harga untuk sebuah perjuangan dan keperitan, maka ianya sangatlah berbaloi.
You never knew until you try...
Maka, kalau inilah harga untuk sebuah perjuangan dan keperitan, maka ianya sangatlah berbaloi.
You never knew until you try...
0 comments:
Post a Comment