Monday, November 5, 2012 | By: Luna Biru

Racun dan penawar (cerpen)



Ada angin yang mendesir di hujung cuping telingaku menjadikan bulu roma di tengkukku berdiri semuanya. Entah dari mana angin itu datang kerana satu-satunya tingkap yang berada di bilikku ini sudah pun kututup sejak petang tadi.
Aku duduk di birai katil di tengah kegelapan. Kepalaku berdenyut laju. Angin yang datang entah dari mana itu menimbulkan rasa dingin di sekujur tubuhku. Perutku mulai mual dan meronta-ronta minta dikeluarkan segala isi yang ada di dalamnya.
Aku terus terpekur dan berusaha memujuk perutku agar mahu bertahan. Kupejam mataku rapat-rapat hingga gelap pekat semuanya. Sesaat kemudian, telingaku memainkan bunyi desing yang membuat aku merasa terawang. Aku cuba menelan liur. Pahit. Cairan yang cuba kutahan itu terhenti di tengah dadaku. Panas. Kurasa sebentar lagi dadaku akan terbakar.
Mungkin, sekaranglah masanya.
Masa untuk aku mati.

Aku baru saja menelan 10 keping ubat paracetamol yang kuambil begitu sahaja dari kedai runcit milik abah. Setiap satu keping ubat mengandungi 12 biji tablet yang lebih dari separuh kutelan bulat-bulat bersama air kopi. Ketika tekakku menolak untuk menghabiskan sisanya, aku nekad melumatkannya di dalam lesung batu hingga hancur menjadi serbuk. Serbuk itu pula kutuang ke dalam segelas minuman berkarbonat yang dingin lalu kuminum semuanya. Semuanya kulakukan dengan sangat senyap, saat semua ahli rumah sedang melakukan jemaah maghrib di ruang solat.
Aku tidak berniat untuk mati. Aku tahu membunuh diri adalah perbuatan paling hina di sisi Allah. Aku tahu kalau aku mati  dalam keadaan begini, rohku akan tergantung di kaki langit. Aku akan bangkit menjadi hantu remaja yang akan memburu mangsanya setiap malam. Barangkali aku akan punya taring dengan rambut menggerbang dan kuku panjang lalu mencakar mangsaku hingga terburai isi perutnya. Lebih dari itu, aku akan menjadi tajuk utama dalam berita Borneo Post esok pagi dengan tajuk yang berspekulasi macam-macam. Pasti abah dan mama akan merasa malu. Lebih malu dari apa yang telah kulalui hari ini.
Oh, tolonglah. Aku tidak mahu mati.  Aku hanya ingin merehatkan kepalaku seketika dan lenyap dari dunia yang sangat tidak menyebelahiku ini. Tapi sakit ini begitu mendesak-desak, memaksa aku untuk memilih untuk menjerit atau mati.

Tuhan, jangan ambil nyawaku.

Buih-buih putih bercampur serbuk ubat pun mulai mengalir dari sudut bibirku. Sedikit, lalu kemudiannya menjadi banyak. Tekakku terasa pahit sekali. Pahit dan payau. Aku cuba muntah tapi yang keluar hanyalah cairan-cairan putih yang kesannya hanya semakin membuat dadaku terasa semakin hangus. Lemah aku akhirnya terbaring di atas lantai.
Perlahan aku melihat segurat cahaya dari balik pintu yang dikuak kecil oleh seseorang. Aku tahu itu pasti mama. Dia pasti mengkhuatirkan aku yang sedari tadi berkurung terus di dalam bilik setelah dihukum teruk oleh abah. Aku mendengar derap kakinya yang mulai mendekat. Seketika kemudian aku mendengar suaranya menjerit panik. 

Aku benci abah. Abah yang kukenal adalah satu sifat manusia yang bengis dan tidak kenal erti kompromi. Dia tidak pernah berusaha memahami jiwa remajaku. Seumur hidupnya dia cuma tahu menghukum dan berkata tidak boleh. Dia melarang semua keinginanku dan menjadikan segala keinginannya sebagai cita-cita yang perlu aku capai. 
Abah, dalam hidupku adalah bertindak sebagai pemimpin berkuasa veto yang tidak berhati perut. Dia berkuasa dalam segala hal, termasuk membuat keputusan dalam hidupku dan menentukan arahtuju perasaanku. Dia membantah semua kesukaanku, membenci genre muzikku, mengkritik penampilanku dan menyumpah kawan-kawanku. Semua yang kulakukan tidak pernah betul di matanya. Seumur hidupku kuhabiskan dengan mencari cara untuk membuatnya bersetuju dengan pilihanku. Malangnya, tidak ada satupun dari cara itu yang pernah berjaya aku lakukan.
Aku adalah kontra yang berbeza dari serba-serbi dengan kakak. Kakak seorang yang lembut dan mudah diatur. Apa saja kemahuan abah dapat dipenuhinya tanpa sebarang bantahan. Hitam kata abah, hitamlah kata kakak. Kakak memenuhi segala aspirasi abah menjadikan segalanya tampak begitu mudah bagi mereka berdua.
 Kakak juga mewarisi hampir semua bakat yang abah ada. Abah seorang pendebat unggul, pencinta seni dan pengkarya sastera. Abah mahir bergaul dan punya kedudukan yang tinggi dalam masyarakat. Dia sering menjadi pilihan dalam mana-mana perjawatan yang dipertandingkan. Untungnya kakak ialah bila dia mewarisi semua itu dari abah.
Kadang, aku terfikir betapa malangnya abah mempunyai anak seperti aku. Aku adalah kontra bagi semua senarai yang diinginkan abah. Aku tidak pandai berhujah dan sangat pengecut untuk naik ke atas pentas. Aku paling lemah seni dan kurang mahir bergaul dengan masyarakat. Aku bukan pelajar pilihan di sekolah dan tidak punya karismatik langsung untuk memimpin persatuan apapun.
Aku hanyalah seorang pelajar yang bertubuh kecil yang gilakan sukan. Sukan dalam hidupku adalah bagai nadi yang sukar dipisahkan. Tidak kiralah sukan olahraga ataupun permainan, maka aku pasti akan berada di atasnya untuk berentap. Tidak kiralah juga siapa lawanku, akulah manusianya yang pantang berundur sebelum berjuang. Namun bagi abah, seorang perempuan itu tidak layak berada di atas trek atau padang dengan seluar pendek dan baju singkat.
Aku juga hanyalah seorang budak yang begitu menyintai kebebasan. Aku sangat menikmati kehidupan di tengah hutan atau menyusur denai-denai yang berduri dan berlumpur. Aku rela berjalan kaki berbatu-batu jauhnya semata-mata untuk mendapat lencana kemahiran pengakap. Dan, entah darah ksatria mana yang menyusur dalam darahku, aku begitu menyukai seni bela diri. Sungguhpun ditegah, aku tetap akan curi-curi belajar ilmu mempertahankan diri dan berlagak kononnya ke kelas tambahan.  Dan, ya,tentu saja, semuanya sangat kontras dengan kepercayaan abah. Abah adalah lambang lelaki melayu tipikal yang mempunyai kepercayaan tradisional tentang hak diskriminasi. Lalu aku adalah mangsa pada kepercayaan abah yang agak jauh ketinggalan di belakang.    
Pernah aku terfikir bahawa abah sepatutnya menikam aku mati saja waktu kulahir dulu.
Aku betul-betul benci abah.


Perlahan aku melihat segurat cahaya dari balik pintu yang dikuak kecil oleh seseorang. Aku tahu itu pasti mama. Dia pasti mengkhuatirkan aku yang sedari tadi berkurung terus di dalam bilik setelah dihukum teruk oleh abah. Aku mendengar derap kakinya yang mulai mendekat. Seketika kemudian aku mendengar suaranya menjerit panik. 
“Mama...tolong Dian, mama...” aku cuba bersuara. Namun sia-sia kerana ternyata aku sendiri tidak mampu mendengar suaraku.
“Dian....!” demikian kuatnya suara mama menggegar seluruh isi di otakku. Aku cuba menggapai tangan mama yang merengkuh kepalaku ke atas pehanya.
“Kau kenapa, Dian? Abang...!” berbalam-balam suara mama antara dengar dan tidak di telingaku. Aku masih memejam mataku cuba mengusir segala kepahitan yang kualami di seluruh tubuhku. Seketika kemudian, aku mendengar derap kaki abah berlari menuju ke arah kami.
“Dian kenapa? Dian kenapa?” terdengar suara abah panik. Aku dapat merasakan sentuhannya di bahuku. Dia memusing kepalaku dan mencuit sedikit cairan yang mengalir dari mulutku dengan jari telunjuknya. Kukira dia pasti akan membawa jarinya itu ke hidungnya untuk mengenalpasti cairan itu.
“Ini gila!” bergema jeritan abah mengecutkan seluruh jantungku. Tapi aku sudah terlalu sakit untuk merasa takut.
“Gila apa?” tanya mama hairan. “Abang, Dian kenapa?”
Tanpa menjawab pertanyaan mama, abah merangkul tubuhku dengan keras, membalikkannya hingga aku tertiarap di atas pehanya. Abah menampar belakangku dengan kuat, cuba mengeluarkan segala racun yang sudah kutelan sejak dua jam yang lalu. Terasa beratus biji tablet putih berusaha keluar dari perutku namun aku terlalu lemah untuk memaksanya keluar.
          Ketika melihatku semakin layu, abah membalikkan semula tubuhku. Dia mengangkatku dengan kedua tangannya yang kekar dan berlari menuju keluar rumah. Abah memasukkan ku begitu sahaja ke dalam kereta, menghidupkan enjin dan menderam enjin laju-laju. Aku masih mendengar suara mama menjerit-jerit dari luar pintu rumah.
          Setitis airmata mengalir di sudut mataku. Ya Allah, jangan cabut nyawaku. Aku sudah melukai hati mama dengan begitu sayat sekali.

          Aku dapat merasakan betapa lajunya kereta yang dipandu oleh abah. Dia pasti panik sekali melihat anak gadisnya ini sedang berusaha membunuh diri dengan menelan ubat melebihi dos. Kukira abah waktu itu sedang berperang dengan dirinya sendiri. Dia pasti tahu kalau semua yang kulakukan ini adalah kerana memprotes dengan tingkahnya yang sudah memalukan ku dengan teruknya petang tadi.
          Abah sebenarnya tidak cuma anti dengan keminatan dan kecendurunganku. Tapi dia juga anti dengan kawan-kawanku. Tidak ada satupun kawanku yang disukainya. Kalau kawanku datang ke rumah, abah akan mengkritik mereka tentang adab dan penampilan hingga mereka akhirnya pulang sebelum masuk ke rumah pun. Waktu hari raya, abah akan memalukanku di hadapan rakan-rakan dengan menceritakan keburukanku sepanjang bulan ramadhan. Kalau abah menjumpaiku di kedai bersama rakan-rakanku, abah akan segera menyuruhku pulang dan menuduh mereka penyebab pada kenakalanku.
          Kemucak pada semua itu adalah petang tadi.
          Waktu itu aku memang sedang dimarahi abah kerana masih berkeras untuk mengikuti pertandingan bola sepak perempuan sungguhpun sudah dilarang keras. Abah menganggapku sebagai penderhaka tegar. Kemarahan abah semakin membara bila aku mulai membela diriku. Natijahnya, abah mulai menampar mukaku, memukuliku dengan tali pinggang dan membaling apa saja yang ada di hadapannya.
          Terus-terang, aku sudah lali dengan semua itu. Ia adalah makananku sejak kecil dan penambahan yang satu ini rasanya bukan apa-apa lagi bagikku.
          Tapi aku silap tentang satu hal.
          Ketika tanpa sengaja aku menoleh ke samping pintu, ternyata, rakan kelasku sedang berdiri kaku di sana dengan mulut ternganga.
Kukira abah sudah melihatnya dari tadi kerana kedudukannya yang tepat menghadap pintu. Dapatkah kau bayangkan perasaanku waktu itu? Betapa aku ingin sekali bumi terbelah dua dan memakan aku bulat-bulat!
__________________________________________________________________
Aku merasa kereta berhenti. Sudah sampaikah ke hospital?
Sekali lagi aku cuba membuka mataku. Namun ia tetap menjadi sebuah kesia-siaan yang fatal. Aku menajamkan telingaku. Terdengar bunyi enjin berderam-deram cuba dihidupkan abah. Oh, kereta tua abah pasti mati lagi di tengah jalan. Kereta tua ini memang sudah perlu diganti baru.
Aku kemudiannya mendengar bunyi pintu kereta dibuka lalu ditutup kembali. Abah pasti keluar untuk melihat enjin keretanya dan berusaha memperbaikinya. Namun aku silap. Abah ternyata membuka pintu belakang, tempat aku sedang berbaring. Abah menarik tubuhku dengan penuh hati-hati dan kemudiannya meletakkan aku di belakangnya. Sesekali dia memanggilku, cuba untuk menyedarkan ku dari pengsan. Aku masih hidup, abah, bisikku dalam hati.
Abah kemudiannya mengemaskan aku di belakangnya, mirip seperti yang abah lakukan waktu ku kecil dulu. Abah meletakkan kedua tanganku ke depan dan memegangnya dengan erat. Lalu dengan langkah yang laju, abah berlari menyusur jalan raya yang gelap dan sunyi. Aku tidak tahu berapa jauhkah lagi hospital itu dengan jalan tempat kami berada. Apa yang pasti, sepanjang tempoh itu, abah tidak berhenti membaca ayat-ayat penenang. Entah cuba menenangkan aku, atau dirinya sendiri.
Ada sesuatu yang maha ngilu berlangsung di sini, di ulu hatiku. Pedihnya menjalar sampai aku tidak tahu harus menangis atau menjerit. Barangkali aku silap sesuatu tentang abah. Atau aku tersilap menafsir tentang caranya mengemudi aku yang lahir jauh dari aspirasinya. Ataukah caranya menyayangi adalah suatu jalan yang kurang kufahami bentuknya? Seumur hidup aku cuma tahu mengkritik tentang cara abah membesarkan aku. Pernahkah aku menyelami hatinya jauh ke dasar tentang perasaannya kepada aku? Selama ini aku cuma melihat betapa bencinya dia kepada aku kerana aku tidak pernah benar-benar merasa kasih sayangnya padaku. Aku membidas kemahuannya dan berusaha memaksanya menerima segala kelemahanku. Aku lalu menuduhnya tidak mengerti perasaanku sedangkan aku sendiri tidak pernah mahu mengalah dengan segala kelemahannya.
Kalau abah lebih mendekati kakak bukan kerana abah lebih menyayangi kakak berbanding aku. Tapi kerana kakak mampu membuat abah memahaminya tanpa perlu melakukan kekerasan seperti yang aku lakukan. Kalau Tuhan sedang menunjukkan ku jalan, maka barangkali inilah jalannya untuk aku membuka minda.
Abah terus memapah aku dengan langkah yang sebentar laju, sebentar perlahan. Tubuh tua abah pasti tidak segagah dulu. Sesekali dia berhenti, menarik nafas, mengemaskan gendongannya dan mengelap mulutku. Bahunya sendiri sudah basah oleh cairan yang tidak mahu berhenti keluar dari mulutku. Dia memanggilku berkali-kali.
“Dian...kita sudah sampai,”
Tanpa membuka mata, aku masih dapat melihat cahaya putih dari lampu hospital. Abah mempercepatkan langkahnya menuju ke bilik kecemasan.
“Tolong...tolong...!” jerit abah antara penat dan panik begitu sampai di situ. Aku terdengar derap-derap langkah jururawat menuju ke arah kami.
“Pakcik, kenapa anak pakcik?”
“Tolong...selamatkan dia...tolong...”
Aku merasa tubuhku ditarik perlahan dan dibaringkan di atas katil beroda empat. Mereka baru saja mahu mendorongku ketika telingaku menangkap bunyi yang agak kuat dari sebelahku. Bunyi seperti buah nangka yang jatuh dari pohon yang tinggi.
“...eh....pakcik tu...”
Aku berusaha membuka mataku. Dari cahaya yang berbalam, aku melihat abah tersungkur di atas lantai jubin hospital yang dingin.
“Abah....” aku menjerit sekuatnya. Namun suara itu hanya pecah di dalam kepalaku. Aku melihat sekumpulan jururawat mengerumuni abah. Aku berusaha bangun tapi katilku sudah didorong masuk ke dalam bilik kecemasan.
Abah...ampukan Dian abah..

0 comments:

Post a Comment