Saturday, August 17, 2013 | By: Luna Biru

Perjalanan ini 7

Ladang-ladang kelapa sawit, hentian-hentian R&R dan gerai-gerai hantu kami lewati lagi dalam perjalanan antara Tawau-Lahad Datu. Aku cuba melelapkan mata tapi saat mata itu terpejam, yang kulihat adalah mimpi-mimpi pemanggil dusta.

Saat melewati Lembah Danum, hati terusik mahu melawat Menara Kayangan. Aku tak pasti apa ada di atas sana kerana aku sama sekali tidak mempunyai apa-apa maklumat mengenainya. Apa yang aku tahu, dari kemuncak menara, kita dapat melihat seluruh Kota Lahad Datu. Sebab itu ia dipanggil menara kayangan sebab lokasinya merupakan kemuncak tertinggi di daerah ini.


Perjalanan dari pintu masuk ke menara memakan masa lebih kurang 15 minit menaiki kenderaan. Jarak sejauh 10km itu terasa amat menyeksakan dan menakutkan. Bukit-bukit tinggi dan berpusing menjadi cabaran utama. Rasa menyesal pun mula menyesak dasa bila aku mulai diserang mabuk jalan.

Ketika berada di kemuncak, kabus tebal menyelimuti dengan kadar kesejukan yang menggigilkan tulang. Hujan renyai pula turun menguji ketahanan tubuh. Rupanya menara yang dimaksudkan tidak terletak di daratan ini. Kita perlu naik lagi ke atas bukiy dan mendaki dua menara kalau benar-benar berhajat mahu melihat kota Lahad Datu dari kayangan.

Jadi, alang-alang basah, biarlah sampai ke pangkal lengan. Kami pun memanjat menara setinggi 8 bangunan itu. Sayang juga memikirkan yuran masuk tadi kalau tidak sampai ke atas. Malangnya, kabus yang tebal mematahkan segala hasrat. Akhirnya kami pun pulang dengan hati yang dipaksa puas..

Tak apalah.

Sekurang-kurangnya orang Papar dah sampai panjat kaki tangga menara kayangan.

0 comments:

Post a Comment