credit to : http://online-cerdas.blogspot.com/2012/03/bagaimana-anak-burung-memanggil.html |
Esok sudah masuk bulan Julai.
Bermakna lagi kurang 3 bulan peperiksaan UPSR akan tiba menjenguk murid-muridku, dan anakku, Anis.
Sampai setakat bulan Jun lepas, murid tahun 6 ku yang seramai 33 orang itu masih berada di bawah pengawasan yang betul-betul awas. Belum ada satupun yang bersayap kuat untuk kuterbangkan sendiri ke langit luas. Mereka adalah sekawanan anak burung yang setiap hari perlu kubawakan seekor cacing untuk kusuakan ke dalam mulut. Pancing yang aku beri pun dorang tak gunakan dengan betul. Kalau berpancing pun, perlu ku bawa juga segenggam umpan.
Oh, gusarnya hati.
Akukah yang salah kerana gagal menjadi guru yang mampu mendidik manusia melayu berbahasa inggeris? Ataukah aku perlu jadi cikgu yang menyalahkan aset? Atau perlukah saja kutembakkan kesalahan itu kepada ibubapa mereka sebab tak lahir sebagai orang putih? Atau bagaimana kalau kucadangkan kita jadi Jepun yang tetap maju dengan bahasa mereka sendiri?
Kita boleh saja terus beradu menunding jari. Kita ada dua puluh jari. Campur kau-kau-kau-kau punya, campur aku punya, boleh jadi seratus. Tapi mempersalahkan tidak mengurangkan apa-apa beban pun. Apa yang perlu diterima hakikat sekarang ini ialah; muridku masih tidur dan belum mampu bangun dari dunia kemalasan dan kelalaian. Aku gagal memotivasikan mereka untuk menjadi perkasa untuk berjihad melawan musuh diri sendiri. Aku belum jumpa satu formula untuk mendisiplinkan murid-murid aku tentang ilmu nahu dan prasa. Paling penting, aku belum mampu memikul amanah untuk menjadi sehebat harapan yang tertulis pada kad hari guru tahun lepas, dalam kisah Kekuatan Cinta Seorang Guru.
"Ya Allah...berilah aku kekuatan untuk menghadapi keadaan ini. Kau terangilah hati anak-anak muridku dengan cahaya keberkahanMu agar mereka mudah menerima segala ilmu kebaikanMu, Kau fasihkanlah lidah mereka untuk terus berzikir atas namaMu, dan semoga dengan lidah itu pula mereka mampu menjaga dunia ini dengan segala ilmu yang mereka pelajari. Kau permudahkanlah segala urusan hingga mereka menemukan kejayaan dan kau berikanlah kesudahan yang baik pada setiap usaha yang mereka lakukan. Kau tiupkanlah semangat jihad dalam diri mereka untuk menentang musuh kemalasan dan kelalaian agar mereka mampu menjadi manusia yang kau berkati dan redhai di dunia dan akhirat. Sesungguhnya, segala amal baktiku, ibadahku, solatku dan jariahku adalah semata-mata untukMu ya Allah...ikhlaskanlah aku dalam menunaikan amanah ini. Kau berikanlah aku ketabahan dan kekuatan dan Kau bukakanlah segala pintu kesejahteraan agar kami terus berada dalam landasanMu, Ya Allah...Amin-Amin Ya Rabbal Alamin.."
0 comments:
Post a Comment