Friday, July 6, 2012 | By: Luna Biru

Anjakan yang tak teranjak


Kadang, ada satu sisi dalam diri kita yang susah mahu berubah. Apalagi kalau sisi itu sudah sebati betul dengan diri sendiri, tertanam dan dibaja sejak kecil hingga ia sudah jadi sebahagian dari diri kita. Sama ada kita sememangnya tidak sedar, atau sedar tapi belum mahu berubah, atau juga sebab belum merasa perlu untuk berubah sebab tidak merasa berkepentingan dalam hidup. 

Manusia itu tiada yang sempurna. Sebanyak manapun kegigihan untuk berubah, tetap saja ada antara sifat buruk kita yang terselit antara sisi tulang rusuk yang bersembunyi hingga kita selalu lupa akan kewujudannya. Seperti saki-baki nasi yang kita makan setiap hari, kita tidak mungkin dapat memastikan bahawa semuanya masuk ke perut kita. Tetap saja masih ada yang tertinggal, baik di celah jari mahupun di celah gigi. Begitupun sikap. Kita tidak boleh menghakis semuanya sekaligus apalagi kalau sifat itu sudah bersatu bagai urat di dalam daging. Syukur pada Tuhan kerana sentiasa memberi peluang pada hambaNya untuk memperbaiki diri meski harus bertatih merayap. 


Doa adalah penyembuh paling mujarab. Masa adalah jarak dalam satu ruang menunggu yang samar-samar. Sungguhpun lelah menanti, namun aku sentiasa berharap agar kita mampu memperbaiki segala sesuatu yang sememangnya sangat mudah untuk diubah, kalau mahu. Ia menuntut keikhlasan, kerjasama dan sedikit perjuangan melawan nafsu malas dan marah. Kalau kita mencapai itu, aku yakin, kegagalan hari ini pasti tidak akan berulang. 

Amin. 

p/s : Tapi aku tidak mungkin mampu melakukan semua ini sendirian. Bantu aku.  


0 comments:

Post a Comment