Sunday, July 1, 2012 | By: Luna Biru

Panasnya dunia kita


Cuaca panas dan pengap melanda daerah Papar. Waktu pagi, matahari rakus menyinar seolah-olah ia tahu bahawa waktu petang nanti ia tidak dibenarkan lagi untuk berpesta di situ. Pagi kini sudah tidak sama macam pagi yang dulu-dulu. Mentari yang rakus seakan menguras seluruh kekuatan untuk akhirnya menjadi sangat lelah di waktu petang. 


Antara sela-sela mentari itu, aku pun berada di tengahnya; berjuang antara tugas seorang guru dan ibu. Lelah dan pongah. Tersepit antara jadual waktu dan tugas mengambil dan menghantar anak tadika bukanlah sesuatu yang dapat dinikmati apalagi kalau keduanya berjalan pada orbit yang sama. Namun, aku percaya bahawa Tuhan tidak mengurniakan masa 24 jam sehari untuk kita terus berada dalam darurat sentiasa. Seperti juga mentari yang terik itu, sampai waktunya ia menyisih juga, memberi laluan untuk awan menutupinya lalu hujan membasahinya. Lalu seperti juga aku Sekeras apapun aku bertempur dengan waktu saat jam kerja, semua itu akan segera berlalu begitu bila petang menjenguk diri. 


Aku cuma perlu bersyukur dan tidak perlu terlalu merungut. 

0 comments:

Post a Comment