Semakin galak penyebaran dakwah berbentuk Islamiah di facebook. Sepatutnya ia satu perkara yang disyukurkan. Kalau dulu susah betul nak cari ilmu. Sekarang berlambak di internet dan boleh cari sesuka hati. Mereka yang mempunyai kemahiran boleh saja mengkreatifkan hadis-hadis untuk dijadikan JPG picture untuk memudahkan rakan-rakan share samada di fb mahupun di blog.
Tapi, ramai tak sedar bahawa dalam keghairahan mengongsi maklumat ini ada beberapa hal yang boleh menerbitkan kekeliruan. Pertamanya, kesahihan hadis. Aku bukanlah pandai mana, sekadar ilmu sejengkal urat yang pernah dipelajari waktu 4 senawi dulu. Peraturan pertama ketika menerima atau membaca sesuatu hadis ialah memeriksa kesahihan hadis. Kesahihan sesuatu hadis itu dapat dilihat dalam banyak perkara seperti:
1.Perawi hadis. Sila rujuk dari sumber yang benar mengenai makna perawi hadis dan siapa perawi-perawi yang dipercayai dan perawi mungkar.
2. Kecelaruan dari makna asal yang diterjemahkan ke dalam BM. Sebab itu penting untuk mempelajari Bahasa Arab.
3. Pertentangan dengan isi Al-Quran kerana hadis tidak pernah bertentangan dengan Al-Quran.
4.Terdapat kekacauan atau terasa berat di dalam susunannya, baik lafadznya ataupun ditinjau dari susunan bahasa dan Nahwunya (grammarnya).
Pemalsuan hadis sudah wujud sejak zaman Rasullullah lagi. Bahkan ketika itu, Rasulullah sendiri turut berjuang untuk membanteras perkara ini. Inikan pula di zaman moden yang serba-serbi mudah ini menjadikan penyebaran hadis-hadis palsu ini begitu berleluasa hingga sukar untuk kita membezakan mana yang benar mana yang bathil. Sebab itu apa yang penting ialah merujuk kembali pada yang lebih arif dan jangan wewenang menekan butang 'share' tanpa mendapat verification yang betul.
Suatu hal lagi yang amat aku kesalkan ialah prasa yang berbunyi : 'Sila share/linkkan kepada rakan-rakan anda sekiranya anda benar-benar muslim sejati'. Oh...jadi kalau aku tak menekan butang share bermakna aku bukan muslimah sejati. Sejak bila ukuran kesejatian kita dinilai hanya dari butang share? Sejak bila pula pendakwahan maya ini sudah boleh menjadikan kita muslim sejati sedangkan ukuran kesejatian itu adalah bertitik-tolak dari iman, amal dan takwa?
Perkara ini mengingatkan aku pada sms berangkai yang masih dipegang dan dipercayai hingga kini. Sedangkan Majlis Fatwa Kebangsaan sendiri sudah mengharamkan perkara ini namun kekurangan pengetahuan menjadikan manusia sentiasa sentiasa takut padanya. Kini, sms berangkai sudah mulai menjauh dan digantikan pula dengan aktiviti share yang tetap meletakkan kita pada jalur yang sama.
Kewujudan laman-laman muka buku yang bercorak Islamiah juga semakin banyak setiap hari. Admin yang mahir berphotoshop akan menggubah hadis bahkan beberapa kata-kata mutiara yang begitu cantik ilustrasinya memudahkan kita untuk terus menshare. Tapi pernahkah kita terfikir untuk menyelidik akan kebenaran sang admin? Satu contoh yang agak mendangkalkan hati aku ialah mengenai satu isu yang dikeluarkan bertajuk Bahaya Makan Hati Binatang dari Dunia Maca-Macam. Admin menggunakan istilah 'kafir' untuk merujuk kepada pihak saintis yang telah menggalakkan kita memakan hati binatang untuk menambah hemoglobin dalam darah. Ok. Aku tidak akan mempersoalkan benar atau tidaknya fakta yang diberikannya. Aku hanya lebih tertumpu kepada istilah yang digunakannya ketika membuat perbandingan. Dalam ayat tersebut, admin telah menulis seperti ini;
Kita diajar dalam buku biologi, buku pemakanan (kajian dan terbitan para kafir ni) bahawa kalau nak dapat vitamin B dan kalau nak tambah darah kita kena makan hati haiwan dan hati ayam.
Sains juga menggalakkan makan hati kerana khasiat zat besinya yang sangat diperlukan manusia. Tetapi sebenarnya Nabi kita tidak menggalakkan pemakanan organ dalaman. Mana kita mesti pilih? Nak ikut kafir ke nak ikut Nabi Muhammad ?
Persoalannya, kenapa mesti menggunakan istilah kafir? Yakinkah bahawa semua santis itu kafir? Satu hal lagi yang perlu diingatkan ialah, kita dibolehkan untuk memakan benda-benda makruh sekiranya dalam keadaan terdesak dan jika ianya melibatkan kesihatan. Sedangkan dadah disahkan membawa bahaya, tetapi manusia gunakan juga untuk merawat sakit. Dalam konteks ini, hukumnya harus. Penggunaan istilah kafir terlalu kasar bunyinya dan boleh menyebabkan kecelaruan kepada mereka yang baru mahu bertatih dalam Islam. Dan, apa pula pandangan masyarakt kafir itu sendiri bila terbaca artikel ini sedangkan Rasulullah sendiri telah mengatakan bahawa Hati Muslim itu ada pada lidahnya. Rasulullah sendiri telah menegaskan mengenai kategori-kategori golongan kafir dan golongan mana yang harus kita gauli dengan baik sungguhpun berlainan agama.
Terdapat banyak lagi contoh-contoh poster berbentuk Islamiah (kononnya) yang agak celaru di fb. Ada antara poster yang terus menjatuhkan hukum pada manusia tanpa apa-apa sokongan yang dapat menyokong pada kenyataan mereka. Sebagai manusia yang dikurniakan akal, maka adalah sebaiknya kita menyaring dulu setiap maklumat sebelum berani menekan butang share. Janganlah sekadar hendak mengupdate status maka kita menceduk apa saja yang ada di depan mata dengan niat ingin berkongsi sesuatu yang baik padahal tanpa sedar kita sednag melakukan satu kemungkaran senyap. Belajarlah dari yang arif mengenai bidang hadis ini. Mereka yang bergelar ustaz pun memerlukan masa berpuluh tahun untuk mempelajari semua itu, inikan pula kita yang tidak mempunyai pendidikan formal.
Aku harap pihak Fatwa Kebangsaan dengan kerjasama Jakim mahupu Jahiens akan segera dapat menangani perkara ini sebelum ianya semakin merosakkan akidah umat Islam sejagat. Kepada kawan-kawanku yang suka sangat dengan butang share, maaflah kalau aku tak sambung perjuangan korang. Kalau korang nak anggap aku ni bukan muslimah sejati, suka hati koranglah. Aku ada prinsip sendiri dan yang paling penting, keislamanku bukan dinilai dari matamu atau pada butang enter. Allah lebih mengetahui. Maka tak perlulah kau bersusah-payah menilai atau menghukum aku.
Sekian.
0 comments:
Post a Comment