Pernah kutanyakan pada abah kenapa manusia itu solatnya cukup, zikirnya panjang-panjang, ngajinya sering malam-malam, muzakarahnya lebar-lebar, tapi hatinya masih busuk? Kenapa segala amalan-amalan baik itu, tidak mampu mengubah individu itu menjadi manusia yang takwa dalam ertikata sebenar? Padahal, kalau dihisab duluan tentang solat, antara aku dan mereka, pasti aku yang tertinggal di dinding neraka.
Lalu abah menjawab bahawa "Setiap amalannya itu bergantung pada niat,". Ia bersesuaian dengan hadis Rasullullah dan abah pun mulai menterjemahinya. Akhir sekali abah menutupnya dengan sebuah persoalan untuk aku kupas sendiri;
"Apapun yang kau lakukan, Acil, berpeganglah pada nawaitu. Tanpa nawaitu, kita akan sesat mencari cahaya sedangkan cahaya ada di depan mata. Setiap kali azan berkumandang, tanyakan dirimu, kenapa aku mesti solat? Setiap kali kau mahu membantu orang, tanyakan dirimu, kenapa kau mahu membantunya? Setiap kali kau mahu berubah, tanyakan dirimu, kenapa kau mesti berubah?
Dan, sekiranya jawapanmu adalah selain dari mengharapkan redhanya Allah, maka segeralah kau perbetulkan kembali segala niatmu. Kerana, jika kau solat kerana kau mahu taubat, tanpa kau tahu taubat itu apa, solatmu tidak akan bertahan sampai ke mana. Kalau kau membantu manusia kerana mengharap akan dibantu nantinya oleh manusia itu, kau akan kecewa kalau kau dipinggirkan kemudiannya. Kalau kau berhijrah tanpa tahu maknanya hijrah, perubahanmu tak akan kekal dan kau akan kembali menjadi dirimu yang asal,"
Aku tak tahu apa maknanya luahan ini. Barangkali aku hanya ketagih untuk menulis.
0 comments:
Post a Comment