Untuk renungan diri
Kadang-kadang bangun pagi hati terasa segar dan cerah kerana tahu yang hidup sungguh indah. Pabila hampir setiap hari berperasaan yang sama, lumrah manusia, hati mula lupa yang sesekali hidup ini perlu mengecap duka. Apa saja yang berlebihan itu tidak pernah baik, walaupun yang bernama bahagia.
Lalu datanglah tragedi mengetuk kaca jiwa. Kaget bercampur tak percaya. Kenapa? Kerana selama ini lalai dan alpa. Bukankah suka dan duka itu silih berganti datang untuk melengkapi putaran kehidupan?
Tragedi ini satu pengajaran. Supaya hati ingat masa masa sulit dan bersyukur dengan kurniaan Tuhan. Kita pasti pernah tertanya, kenapa aku? Kenapa aku diuji begini? Tapi jawapannya ada di depan mata. Ujian ini adalah untuk kebaikan dan kekuatan kita. Walaupun kita meratap, menangis dan berkeluh-kesah menidakkan pengajaran dalam tragedi itu, sedangkan belum tentu lagi kita tahu apakah yang baik dan apakah yang buruk untuk diri kita sendiri.
"...Tetapi boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui."
(Al-Baqarah: 216).
Tragedi adalah ujian dan hanya yang benar-benar beriman akan melihatnya sebagai sesuatu yang mesti ditempuh dengan hati yang kuat dan minda yang lapang. Ini penting untuk apa saja ujian. Siapa yang sukakan ujian? Tapi manisnya ketika lulus ujian, hanya yang pernah merasa saja yang tahu.
Kita semua perlu tragedi, setidak-tidaknya untuk meyakinkan diri bahawa kita masih diingati Tuhan. Saat kita bersedih, menangis, meratap di tengah ujian, pasti di bibir tersebut nama Tuhan, itulah hikmahnya. Tuhan ingin mengingatkan kita bahawa kita perlu sentiasa ingat Tuhan, kerna itu kita perlu tragedi.
"Maka ingatlah kepadaKu, Aku pun akan ingat kepadamu..." (Al-Baqarah, 152).
========================================================================================
Entry di atas aku copy paste dari blog peribadi seorang sahabatku yang paling selalu rasional dan bijaksana dalam mengurus emosiku yang tidak menentu ni. Membacanya buat aku mulai menginsafi diri dan untuk pertama kalinya sejak tragedi itu, aku senyum. Terima kasih sebab kembalikan senyumku, sahabatku.
0 comments:
Post a Comment