Friday, May 27, 2011 | By: Luna Biru

Hadiah di Hari Guru

Entryku ini pasti sudah lambat sekali.

Mungkin aku belum terlalu merasainya kerana sekolahku belum meraikan hari guru. Acaranya hanya akan disambut pada 17 Jun nanti. Lambat sekali,kan?

Nah...biasanya kalau sambutan hari guru, aku pasti jadi ibu yang paling sibuk sekali. Maklum, 4 anakku sudah bersekolah. Masing-masing mahu memberikan hadiah untuk guru mereka. Bukan cuma 1-2 orang. Malah kesemua gur yang mengajar mereka pun mahu diberikan. Bayangkanlah kalau seorang anak ada 7 orang guru lalu didarab pula dengan 4? Itu belum masuk bajet nak membungkus hadiah-hadiah tu lagi. Wah....

Jadi selalunya aku cuba mencari hadiah yang paling murah tapi boleh diguna pakai dengan sebaiknya. Saban tahun hadiah itu bertukar ganti. Aku ingat suatu hari dulu aku menyediakan hampir 100 biji muffin untuk dihadiahkan kepada guru-guru anakku. Comel sangat. Nasib baiklah waktu tu belum ada kamera digital untuk kurakam kesemuanya. Pernah bila tiada bajet, aku hanya sekadar membuat penanda buku yang diedit khas untuk guru-guru di sekolah mereka. Pernah juga,aku membeli mug khas hari guru tetapi kemudiannya semuanya pecah di kotak waktu anakku yang membawanya tanpa sengaja menjatuhkannya. Pernah juga aku hanya membelikan keronsang di kedai RM2 atau sekarang dikenali TCT Trading. Keronsangnya murah saja RM2 untuk 9 biji. Jadi, bolehlah untuk 9 guru. Syukurlah anak-anakku menerima setiap pembelianku dengan baik. Tiada yang komplen kalau hadiah yang mereka bakal berikan kepada cikgu mereka nampak kecil berbanding kawan-kawan lain.

Tapi yang seronoknya, saban tahun aku juga akan mendapat hadiah paling banyak dari murid berbanding guru-guru lain. Sebanyak mana yang aku beri, sebanyak itu jugalah yang bakal akku terima. Atau kadang-kadang malah lebih. Namun hadiah yang paling mengharukan sekali ialah waktu aku di SKPB. Waktu itu, seorang ibu datang padaku di hari guru dan menghadiahkan aku sepasang kain untuk dijadikan baju kurung. Dia juga memberikan aku sepasang keronsang perak yang bertakhta mutiara yang agak besar saiznya dan kutahu, agak mahal harganya. Namun bukan itu yang mengharukan aku. Bukan nilai harganya. Tapi kerana sang ibu mengatakan bahawa keronsang itu telah dibelinya setahun lepas namun dia baru sekali memakainya. Bila kutanya kenapa, katanya sebab dia bekerja dua syif sehari. Pagi menjadi pembersih sekolah dan malam menjadi penjaga sekolah. Jadi, dia tidak tahu mahu ke mana memakai keronsang secantik itu sedangkan ke majlis perkahwinan di kampungnya pun dia tidak pernah punya kesempatan. Daripada disimpan lama-lama di almari, katanya, lebih baik cikgu yang pakai. Rasanya cikgu lebih layak dan berhak. Katanya lagi, dia berharap aku sudi menerima pemberian itu walaupun sudah menjadi barang terpakai.

Nah...terharu sungguh aku mendengar penjelasan si ibu.

Pada mulanya tentu saja kutolak pemberiannya. Namun ketika dia bersungguh memberikannya, aku terpaksa menerima juga. Pada hari terakhir aku meninggalkan sekolah itu, aku sempat mengirim sepasang tudung untuknya melalui anaknya. Aku harap dia menyukai pemberianku. Selepas itu, aku tidak pernah berjumpa dengannya lagi. Semoga dia sihat dan tabah menghadapi kehidupannya yang memerihkan itu.

0 comments:

Post a Comment