Saturday, May 14, 2011 | By: Luna Biru

Bego

Namanya Bego. Eh, bukan nama betul tentu saja. Itu cuma nama panggilan yang diberikan oleh ayahnya sejak kecil. Bego bermaksud bodoh. Entah dalam bahasa apa. Tapi begitulah kira-kira ertinya. Aku juga tidak tahu kenapa dia dipanggil sebegitu kerana bagiku Bego adalah teman yang pintar. Di sekolah, dia juara kelas selama dua tahun berturut-turut. Kalau pun dia jatuh, hanya di tempat kedua. Itu pun baru sekali. Bego juga merupakan juara acara padang. Dia boleh berlari dengan laju dan mengalahkan lawan yang lebih tua dan berbadan besar darinya. Orangnya tinggi dan lurus dengan kulit hitam manis. Rambutnya cuma satu sentimeter dari kulit kepala dan kadang-kadang malah botak terus.


                Bego adalah jiranku, sebaya umur denganku dan bersekolah yang sama denganku. Dia tinggal benar-benar di sebelah rumahku di sebuah berek polis tingkat tiga. Kami tinggal di sebelah tangga sementara mereka tinggal di berek paling hujung. Bego dan keluarganya sudah menempati rumah itu sejak dia lahir hinggalah saat ini ibunya mengandung lagi anaknya yang ke empat. Sedang kami baru saja pindah masuk ke situ sekitar dua tahun lalu, ketika usiaku lapan tahun. Lalu semenjak itulah kami mulai berteman.
                Pada mulanya tentu saja kami cuma saling pandang-pandang tika Bego terpaksa melewati rumahku untuk turun ke tangga. Lalu dari pandang-pandang itu, bertukar pada senyum bila aku mendapati yang aku ditempatkan dalam trak yang sama dengannya. Senyum itu kemudiannya bertukar menjadi sebuah sapa perkenalan rasmi bila kebetulannya aku juga ditempatkan satu kelas dengannya. Sebagai murid baru, cuma dia yang aku kenal. Makanya aku jadi sedikit bergantung padanya begitu loceng rehat dibunyikan hari itu. Untung saja Bego mahu menyambutku dengan ramah. Dia menemaniku ke kantin dan menungguku selesai berbelanja. Dia juga mengajak aku makan di bawah pohon ketapang di tepi pagar sekolah. Bego tidak membeli apa-apa. Dia hanya memakan bekalan ubi rebus yang dibawanya dari rumah.  Itu pun dikongsikannya lagi bersama seorang adiknya di tahun satu.
                Bermula detik itu, maka rasmilah sudah kami menjadi teman sepermainan yang rapat dan akrab.
Aku mulai mengesan sesuatu yang tidak beres berlaku dalam keluarga Bego. Segalanya akan berlaku sekiranya bapa Bego yang berkulit hitam manis dan berwajah garang itu pulang ke rumah. Dia akan menjerit-jerit marah dengan suaranya yang lantang dan kemudiannya akan disusuli dengan suara hentakan dan pukulan. Lalu terdengarlah suara  tangisan dari Bego dan adik-beradiknya. Anehnya, aku tidak pernah mendengar pula suara ibu Bego sepanjang masa itu. Hanya suara marah dan tangisan yang menyayat hati. Ia akan berlangsung agak lama dan berakhir dengan dentuman keras pada pintu tanda bapa Bego sudah pergi lagi. Bila dia pergi, barulah kudengar suara ibu Bego memujuk anak-anaknya. Kejadian itu berlaku hampir setiap hari hingga aku sudah hafal semuanya.

Biasanya bila ia terjadi, aku akan menekup telingaku dengan bantal rapat-rapat. Aku tidak sanggup mendengar semua itu. Sungguh memedihkan sekali bunyinya. Kadang-kadang, mama akan mengajakku pergi agar kami sama-sama tidak mendengarnya. Kadang-kadang, kalau kebetulan ayahku ada di rumah ketika kejadian itu berlaku, dia akan menguatkan suara televisyen supaya kami tidak mendengarnya lagi.

             Suatu hari aku memberanikan diri bertanya pada Bego ketika kami sama-sama menikmati makan siang di waktu rehat.  Aku sudah dilarang sama mama untuk bertanya sebenarnya. Tapi hatiku penasaran benar mahu mengetahui cerita di balik semua itu. Apalagi bila setiap kali selepas peristiwa itu, lebam-lebam pada badan Bego mulai kelihatan. Belum pun sempat lebam yang lama hilang, lebam baru pula menyusul lagi.
“Kenapa ayahmu memukuli kalian?” tanyaku dengan nada ragu-ragu. Khuatir kalau di amarah atau malu.
“Entahlah. Aku juga tidak tahu. Dia punya banyak alasan untuk itu,”
“Ibumu tidak membela kalian?” tanyaku hairan. Kalau aku dimarahi mama, pasti ayah akan membelaku habis-habisan. Dia juga akan melindungiku dari menjadi mangsa cubitan mama.
“Ibu juga dipukuli,”
“Hah? Ibumu juga?”
Bego mengangkat bahunya malas. Dia lalu berdiri di atas akar pohon dan merenung jauh ke luar tingkap. Lama dia menekuri jalan raya dan tenggelam dalam fikirannya sendiri. Akhirnya dia bersuara perlahan.
“Suatu hari aku akan membunuh ayahku,”
Aku terpaku di tempatku duduk dengan sehiris roti sandwich yang masih di tanganku. Kata-kata yang sederhana itu kedengaran begitu menakutkan sekali.  Mata Beego yang selalu bersinar takut-takut itu terpancar kilatan hitam penuh dendam. Aku berdoa agar Bego tidak benar-benar memaksudkannya meski aku juga ingin ayahnya mati supaya dia tidak terus menyeksa mereka.  

                Suatu hari aku mengajak Bego dan adik-adiknya menonton televisyen di rumahku. Ayahku baru saja membelikan sebuah televisyen warna yang bersaiz agak kecil dari televisyen hitam putih sebelumnya. Mama tidak ada di rumah petang itu. Dia menghadiri mesyuarat kaum ibu di balai serbaguna yang terletak di tengah kawasan berek. Aku enggan mengikuti mama kerana ingin menikmati model baru yang kumiliki itu. 
Makanya, untuk melengkapi kegembiraan itu, aku mengajak Bego dan adik-adiknya untuk mengongsikannya.

                Kami menikmati saat-saat santai yang mesra dan gembira. Rasanya aku seperti sudah punya adik-beradik sendiri. Sesuatu yang tidak pernah aku rasai sebelum ini. Namun kegembiraan itu tidak lama.Tiba-tiba saja suara bapa Bego terdengar dari sebelah rumah. Begitu keras bunyinya hingga Bego dan adik-adiknya mendadak pucat. Mereka lalu berdiri dan terkocoh-kocoh bangun dan membuka pintu. Namun sudah agak terlambat kerana ternyata, lelaki garang dan tidak berhati perut itu sudah berada di muka pintu rumahku. Dia merenung bengis tepat ke mata Bego yang sudah menggigil ketakutan. Lalu tanpa belas, sebuah tamparan hinggap ke mukanya. Bukan cuma sekali tetapi berkali-kali, ke kiri dan ke kanan diiring caci makinya yang tidak mahu berhenti.

                Dia lalu menarik kepala Bego dan membuangnya begitu saja keluar. Dia lalu menendang punggung dua adik Bego yang kecil hingga keduanya terpelanting jatuh ke kaki lima. Aku hanya tertegun melihat melihat adegan yang menakutkan itu. Seketika kemudian, dia lalu berpaling ke arahku dan merenungku dengan mata putihnya yang sudah bertukar ke warna merah.

Aku menggigil ketakutan.

Dia menuding jari tepat ke mukaku dan berkata dengan suaranya yang garau dan tertahan,”Kalau sekali lagi kau ajak anakku masuk ke sini, nahas kau aku kerjakan!” ancamnya lalu melepaskan marahnya ke daun pintu. Bup! Berlubang daun pintu rumah kami tepat di tengah-tengah.
Aku terjelapuk di lantai dengan kaki dan jatungku yang lemah.

                Semenjak itu aku sudah dilarang berteman dengan si Bego. Mama mengamuk bila mendapati anak kesayangannya diancam sementara ayah pula bertemu dengan bapa Bego minta diganti pintunya. Tentu saja bapa Bego tidak mahu hingga terjadilah lagi pertengkaran antara keduanya. Akhirnya terpaksa hal itu diadukan ke pihak atasan dan pintu baru pun digantikan semula.

                Apa yang menyedihkan ialah, Bego juga sudah mahu berteman denganku lagi. Dia tidak lagi menungguiku di muka pintu untuk ke sekolah seperti selalu. Dia juga tidak lagi menyediakan ruang untukku di dalam trak. Dia malah sama sekali tidak menegurku di sekolah. Aku jadi sunyi sekali. Pada waktu rehat, aku menunggunya di bawah pokok ketapang namun dia tidak pernah muncul juga.
                Aku merasa sedih sekali. Rasanya aku seperti kehilangan separuh jiwaku. Lalu datanglah malam itu. Sebuah malam yang ngeri dan panjang yang telah mengubah seluruh kehidupanku selepas itu.

                Malam itu aku cuma duduk  seorang diri menonton acara televisyen yang sama sekali tidak menarik perhatianku. Suara televisyen terpaksa kuperlahankan kerana mama sedang istirehat di kamar tidur akibat sakit kepala. Ketika itulah aku mendengar suara tapak kaki menaiki tangga. Aku kenal bunyi itu. Ia adalah bunyi tapak kaki bapa Bego. Serta-merta hatiku jadi kecut. Aku memejamkan mataku dan menekupnya dengan bantal seolah-olah lelaki itu bisa melihat aku dari balik dinding ini.
                Bunyi tapak kaki itu berakhir di muka pintu Bego. Lalu terdengarlah bunyi hentakan pada pintu. Sekejap kemudian terdengar daun pintu dibuka. Pasti ibu Bego yang membukanya kerana aku terdengar bapa Bego bertanya di mana anak-anak. Kukira semuanya sudah tidur kerana memang dari tadi rumah itu sudah sunyi sekali.
                Tidak lama kemudian, terdengar suara ibu Bego menjerit, disusuli tangisan adik perempuan Bego yang ketakutan. Aku tidak dapat menangkap semua butir bicaranya. Hanya sebuah suara yang timbul tenggelam seperti ini;
“...sudahlah abang! Jangan aniaya lagi budak tu...”
“Kau diam! Kau apa tahu!Pergi!”
“...sudah abang. Saya tak sanggup lagi...”
“Ayah...jangan ayah....sakit ayah....”
“Diam!!!”
“...ayah...Nija sakit ayah...”
“....abang tolonglah saya rayu abang...”
“Aku kata diam!!!”
Saat itu mama datang dan memelukku erat-erat. Aku tenggelam dalam dakapan mama dan menangis ketakutan. Suara-suara itu terdengar lagi;
“...abang Long...tolong Nija bang Long....Mak....”
Ah...apa yang menyakitkan yang dilalui Nija yang kecil itu sebenarnya? Aku tidak mengerti sama sekali.  
Terdengar bunyi pintu dihempas lagi. Kali ini bukan pintu luar kerana tidak terlihat kelibat sesiapa pun melalui depan rumah kami. Pasti pintu bilik.
“Abang! Buka pintu ni abang. Buka!”
Tiada jawapan dari bapa Bego yang ada hanyalah jeritan suara Nija yang meminta tolong lagi. Jeritan Nija begitu menyayatkan hati sekali. Dia seperti sedang melalui suatu kesakitan yang mengerikan. Namun tidak lama tangis itu hilang sendirinya. Suara ibu Bego juga sudah lenyap. Sunyi. Sunyi yang mati.
Kami berpandangan sesama sendiri. Aku cuba melepaskan pelukanku dari mama. Aku bergerak menuju ke bilikku, tempat di mana aku lebih dapat mendengar segalanya dengan jelas. Aku menekup telingaku ke dinding. Benar, segalanya sunyi.

Namun tiba-tiba, sebuah jeritan terdengar lagi memecah hening malam yang sepi itu. Suara ibu Bego yang panik dan kalut. Ia memanggil nama Nija berulang-ulang kali. Demikian kuatnya suaranya hingga orang-orang di sekeliling menghidupkan lampu koridor memberikan respon.
Lalu terdengar satu suara yang tidak asing di telingaku.
Bunyi tembakan.
Sekali.
Dua kali.
Dan pekikan lagi.

Bego? Aku menggigil dengan lutut bergegar. 
               

0 comments:

Post a Comment