Friday, May 13, 2011 | By: Luna Biru

Ratu lalang....


Lalang...
Orang-orang bilang, lalang tidak punya fungsi. Hanya bertugas sebagai penyemak alam. Namun aku melihat lalang sebagai satu nilai artistik yang paling bagus seninya. Cuba kau lihat lalang itu, indahkan? Badannya tinggi berwarna hijau. Bunganya lurus bagai bunga padi. Warnanya ada putih, ada kuning. Bila ditiup angin, tubuh liuknya akan melentuk ke kiri dan kanan. Sekejap dia tunduk ke sini, sesaat lagi, merebah ke sana. Kalau lagi dipancar mentari, cahayanya disergap ke dalam partikel. Lalu kemudiannya, bila mentari mahu jatuh, dia membebaskan bebanan partikel itu hingga sporanya berhijrah ke tanah lain. Di tanah lain dia hidup lagi. Memperkembang indahnya dan menggabung benihnya dengan benih lalang yang lain, hingga wujud satu jenis lalang lagi.

Kalau kau melihat lalang, cuba perhatikan akarnya. Jangan tertipu dengan gemulai liuk lentoknya, kerana akarnya kuat mencengkam di bumi. Kalau dipotong, dia tumbuh lagi. Kalau dipijak, dia bangun kembali. Kalau diracun, lalu hujan turun, tunggu tiga hari, dia pasti sihat kembali. Kecuali kalau kau simbah minyak tanah dan nyalakan api. Maka dia akan mati buat tempoh yang lama. Hanya itu cara membunuhnya. Kalau kau mahu kekal lagi, dirikanlah pondok di atasnya. Pondok yang rapat mencecah tanah. Nah....dia pasti tak punya ruang untuk bernafas lagi.

....begitulah umpanya seorang sahabatku. Sahabatku yang lalang, si Ratu Lalang. 


Namun kukira bukan salah siapa-siapa kalau akhirnya manusia itu menjadi lalang. Lalang cuma mahu menjadi ramah, berteman dengan semua orang. Lihat lalang itu, sekejap dia ke kiri, sekejap dia ke kanan,kan? Dia cuma mahu mendengar cerita. Siapa bilang lalang tidak punya pendirian? Lihat sekali lagi akarnya seperti yang ku ulas tadi. Akar itu cukup kuat untuk digoyahkan. Akar itulah kekuatan peribadinya. Bahawa pada saat akhir, dia hanya berpihak di atas dirinya saja.

Ah, lalangku yang indah,, bertubuh langsing dan melentok gemulai....betapa sekejapnya kau telah memaling muka dariku. Belumpun sempat ku habisi ceritaku, lalu kau sudah mendengar ceritanya pula. 


Perlukah aku menyiram racun dan membakarmu, lalu membina pondok untuk menghancurkanmu? Oh, rasanya tidak perlu. Kerana aku sudah terlambat. Lalang itu sudah melepaskan partikelnya di tanah lain dan terus hidup membawa ceritaku.

0 comments:

Post a Comment