Thursday, April 14, 2011 | By: Luna Biru

Hidup yang tidak direfleksikan tidak layak untuk dihidupi


Ini hanyalah sekisar refeleksi di atas kewujudan blog Artifak Dalam Botolku yang serba kontroversi ini...

Ada yang bilang, entryku hanya memuatkan tulisan yang mempamerkan kelemahan dan kekurangan diriku semata-mata. Ada juga yang bilang, aku sebenarnya membuat sindiran halus untuk menikam orang dengan buah penaku dengan menggunakan diriku sebagai contoh. Pun ada juga yang mengatakan bahawa aku hanya membuka aibku untuk kubentangkan menjadi bacaan orang. Ada juga yang mempertikaikan kemurnian perasaanku berdasarkan pengalaman sedia ada dalam aku menghadapi kehidupanku.
Biasanya aku hanya akan tersenyum sebagai respon balas kepada kata-kata begitu. Itu pendapat peribadi masing-masing. Dari sudut lain, mereka mungkin benar. Apapun respon yang diberikan, aku bersyukur, kerana ini bermakna mereka memang pembaca sejati blogku, meskipun belum dapat dikategorikan sebagai pembaca aktif. 

Tetapi sebagai tuan empunya blog, maka wajarlah aku untuk memperbetulkan keadaan ini di sini. Untuk itu, aku perlu kembali kepada nawaitu utama pembinaan blog ini sejak dari mula lagi.

Sesungguhnya, tujuan utamaku membuat blog ini adalah semata-mata untuk merakamkan kisah kehidupanku baik pada masa lalu mahupun sekarang melalui kaca mataku sendiri. Setiap kita mungkin berkongsi kisah yang sama, namun pandangan kita menghadapi kehidupan inilah yang membuatkan kita berbeza. Mungkin caraku memandang dunia agak berlainan dari orang lain. Dan aku rasa, di situlah intipati sebenarnya artifak dalam botol akhirnya dapat kuhidupkan. Ianya bisa saja kita sebut sesuatu yang bergelar REFLEKSI. 

Ya. Melalui setiap kisah dalam artifakku, aku sebenarnya lebih membuat perumusan berbentuk refleksi tentang setiap kisah yang kualami. Ia menjadikan aku lebih telus bermuhasabah diri, mencari kelemahan dan kemudiannya memperbaikinya agar aku bisa menapak untuk menjadi yang lebih baik. Benar, aku boleh menuliskan kesemuanya dalam bentuk tulisan di atas dada diary manual. Namun, aku juga ingin agar seseorang mengambil sedikit ikhtibar tentang kehidupanku. Seseorang yang dapat menerima pandanganku dan kemudiannya bangkit dari kelemahannya, bersama-sama dengan aku. Mungkin saja, kehadiran diary digitalku ini dapat memberi manfaat kepada seseorang yang lain di luar sana untuk berubah bersama-sama aku. Aku percaya bahawa setiap niat yang baik akan dibalas baik, meskipun terpaksa menunggu masa yang lama. Bukti dari Tuhan telah menjadikan aku menyakini hakikat itu untuk seumur hidupku. 

Sejujurnya, aku cukup berhati-hati memilih bahasa yang terbaik untuk membuat muhasabah dalam setiap entryku. Aku selalu bimbang kalau-kalau aku bakal menyinggung peribadi mana-mana pihak dan kemudiannya menggunakan blog aku ni sebagai bahan gaduh yang memutuskan persahabatan. Aku juga cukup berhati-hati memilih subjek dan contoh, bimbang akan menjerat diriku sendiri. Untuk itu, aku selalu menyembunyikan kisah sebenar sesuatu peristiwa dan hanya mengatakan pendapat peribadiku dalam menghadapi kemelut itu. Aku tidak mahu niat baikku nantinya disalaherti dan dijadikan bahan untuk dipersendakan lagi.

Tapi itulah...pandangan setiap manusia itu berbeza-beza sifatnya. Selalu jauh menyimpang dari batas yang kita usulkan. 

Namun, percayalah...ini hanyalah sebuah catatan refleksi sebagai satu cara paling mudah untuk aku menginsafi diri. Bak kata satu pepatah; 

Hidup yang tidak direfleksikan tidak layak untuk dihidupi

Aku sangat menyetujui kata-kata ini. Anda, bagaimana?




0 comments:

Post a Comment