Friday, June 6, 2014 | By: Luna Biru

sebuah ketakutan

Tuhan, lihatlah aku.

Aku sudah tua dengan kulit pipi yang menyonyot ke bawah dagu. Tubuhku mengurus dan warnaku sekusam buah ciku yang kesat dan menggerutu. Jemariku melepuh, mataku mengherot sebelah, anak-anak uban bercacak ngeri di atas ubun-ubunku. Aku takut melihat wajahku sendiri di cermin, apalagi membiarkan wajah itu dirakam oleh gajet digital.

Aku tua dan hodoh. Cantikku telah dirampas waktu.

Tuhan lihatlah aku.



Tubuhku sudah longlai. Tulangku makin rapuh. Mataku semakin rabun. Tenagaku berhambur atas lantai. Namun belum sekali pun aku pernah berputus asa dalam memohon dan meminta kepadaMu.

Tuhan lihatlah aku...

Kerana aku tak bisa melihatMu, kecuali merasakan kehadiranMu, dalam setiap degup jantungku dan hela nafasku. Ku tahu Kau selalu ada; memerhatikan aku, memeluk aku; menghukum aku; mengingatkan aku...

Tuhan lihatlah aku...

A closer look.

Aku ingin berbisik padaMu, kerana kutahu Kau selalu lebih tahu; tentang ketakutanku, kepayahanku, keengkaranku dan ketawakalanku.

Tak ada yang lebih tahu tentang takutku kecuali Kau, Tuhan. Bahkan aku sendiri tak tahu setinggi apa takut itu hinggalah dua kakiku menggigil sejuk dan jatungku mendadak dingin...

Tuhan lihatlah ketakutan dalam mataku.

Dengarlah irama ketakutan lewat jantungku.

Rasailah gejolak ketakutanku.

Fahamilah seluruh ketakutanku...

Pada siapa lagi harus kuadukan ketakutan itu selainMu, setelah tak ada manusia yang mampu menyelaminya?

0 comments:

Post a Comment