Friday, June 6, 2014 | By: Luna Biru

*Kulepaskannya pergi

Hari ini kulepaskan pipitku pergi...

Tanpa sayap, tanpa paruh, tanpa sesen pun duit di tangan dia pergi juga. Kulihat kilatan takut lewat matanya saat menatapku kali terakhir di boarding gate. Aku tahu takutnya berpecah tiga; satu kerana dia tahu aku bakal terluka, kedua kerana dia lebih takut keterlukaanku bakal menghambatnya pergi. Aku dapat merasakan ciuman lewat matanya. Namun yang paling utama ialah dia takut bakal kehilangan peluang paling bernilai ini lagi kerana aku...



Pemergiannya tanpa segala sesuatu yang bernama kelengkapan merupakan satu tamparan hebat buatku. Entah kerana dia mahu membuktikan bahawa dia sudah cukup matang untuk berdikari; atau kerana dia ingin aku tahu bahawa kerisauanku adalah suatu hal yang tak berasas; atau mungkin juga kerana dia sudah berada pada batas usia kritikal. Yang pastinya dia hanya ingin membuktikan sesuatu....kalau bukan padaku, pembuktian itu adalah untuk koleksi peribadinya sendiri yang bakal menambah keyakinan dirinya dan menaikkan harga dirinya...

Bukan salahnya. 

Semua orang punya mimpi. Setiap kita berhak memeluk dan meraih mimpi. Aku adalah perampas tegar yang buta oleh cinta, ketamakan dan dendam. Aku yang tidak terlahir sebagai manusia yang mahu dipimpin, cenderung merasa angkuh dengan keberdayaanku. Aku lupa, suatu saat manusia bakalan nekad juga; seperti burung yang walau sekecil mana akan besar dan bersayap juga. 

Melihatnya lenyap di balik pintu kaca menuju ke gerbang impiannya, aku tergamam. Kilatan takut tadi tak kulihat lagi. Jesteru yang ada hanyalah kelegaan dan birat kebebasan. Dia bahkan tidak menoleh ke belakang untuk tahu aku masih di situ atau tidak. Dia nekad. Benar-benar nekad. Tanpa sesen duit di tangan dia nekad mengharung nasibnya...

Kutelan liurku yang mendadak jadi pahit. 

Baru ku sedar saat itu bahawa bukan dia yang menggantung nasibnya padaku. Ternyata selama ini akulah yang mengalungkan seluruh jiwa ragaku di lehernya. Aku bagai hantu kecil yang mati terlanggar dan berpaut di kaki ibunya yang masih hidup. Aku bagai toyol yang menggendeng belakang tuannya kerana takut ditinggalkan. Kufikir akulah yang terkuat dan terhebat. Namun hari ini dia telah membuktikan betapa silapnya aku...

Sudah kukatakan padamu kawan bahawa pemergiannya adalah suatu tamparan yang hebat. 

Ia menyedarkan aku bahawa sesuatu sudah sampai masanya untuk diubah. Aku harus berhenti jadi naif. Paling utama, aku harus berhenti jadi seorang perisau. Hati perempuanku harus dibunuh mulai sekarang. Aku tak perlu lagi merisaukannya. Tidakkah kau tahu kawan? Bahawa terlalu mengambil berat itu hanyalah sebuah ilusi tentang kasih sayang? Hakikatnya, ia hanya menyusahkan; merimaskan bagi pihak yang dirisau dan pembunuh mutlak pada si perisau. 

Jadi hari ini pipitku sudah terbang nun tinggi di langit sana...

Tamparan yang menghujam di pipiku berubah menjadi sakit yang nikmat. Aku  akhirnya tersenyum penuh sarkastik. Pilu dan lega berbalam dalam gelora nafasku. Tiada apa lagi yang kuharapkan saat ini kecuali ingin meredhai kebahagiaannya. Dia sudah memberikan segala yang terbaik untukku selama ini. Dia berhak untuk mendapatkan semua itu kembali. Tidak adil kuletak palang atas pintu bahagianya hanya kerana aku merasa lebih layak untuk menderita. Dia telah membina usahanya dengan susah-payah. Kejamlah aku untuk merampasnya hanya kerana dia tak mampu bersamaku di saat aku memerlukannya. 

Tak ada pemilikan mutlak. Tak ada hamba sahaya. Tak ada pengabdian kekal. 

"Terbanglah kau wahai piptku...kerana aku tahu besok kau kan pulang sebagai enggang..."







0 comments:

Post a Comment