Kau harus faham bahawa kita bukanlah berada di medan perang dalam mencari siapa betul, siapa salah, siapa menang, siapa kalah, siapa pandai, siapa bodoh, siapa yang terbaik dan siapa yang terbalik.
Kau dan aku bukanlah musuh dan aku tak perlu melayanmu seperti banduan dan kau tak perlu juga menghakimiku seperti pesalah.
Kalau kau masih ingat, empayar yang sedang kita duduki hari ini adalah apa yang telah kita bina bersama. Kita mulakannya dengan membina sebuah istana pasir di tepi pantai. Beribu kali istana kita roboh dihujam ombak. Kita saling menyalahkan hinggalah akhirnya kita sama-sama menemukan cara terbaik untuk menyelamatkan istana itu.
Istana itu kemudiannya kita teguhkan dengan batu. Kita perluaskan perkarangannya dan kita hiasi dengan bunga-bunga gunung. Kita juga menambah tangga-tangga di dalamnya agar istana itu gah terlihat dari jauh. Kau bina menara paling tinggi agar aku dapat menggapai awan. Sementara kau, yang fobia pada ketinggian lebih rela menjadi penghuni tingkat bawah.
Lalu istana itu kini sudah jadi empayar yang maha luas dan maha besar. Maha tinggi dan maha cantik. Kita pun mulai bertelagah. Aku dengan sifat prihatinku, acap kali naik turun untuk menjengukmu. Sedangkan kau, tak pernah mahu menziarah aku di atas sana. Alasanmu begitu mudah. Kau merasakan bahawa menziarahiku adalah sebuah beban dan bahumu tak sepatutnya digalas oleh tanggungjawab itu.
Fahamkah kau, wahai rakan kongsi empayarku,
Bahawa tanggungjawab itu tergalas atas bahu kita bukanlah atas pilihan kita sendiri. Ia adalah amanah yang diberikan oleh Allah sebagai satu penghormatan kepada kita yang menjadi khalifahNya. Tanggungjawab dan amanah perlu dipikul tidak kira kita menyukai atau tidak. Ia tidak mengenal waktu senang atau waktu susah. Tidak pula ada pengecualian saat menghadapi sukar mahupun senggang. Kita bertuah kerana diberi peluang untuk menggalas amanah. Sedangkan bumi, gunung dan langit yang demikian besar sekalipun, tak pernah mampu menggalas amanah yang diberikan Allah. Bukankah kita jauh lebih berdarjat dari semua itu? Lalu kerana itulah juga kita jauh lebih mulia dari segala makhluk.
Tapi malangnya kau tak menyedarinya.
Lalu kita pun mulai bermusuh-musuh.
Besok, akan kutinggalkan juga menara dan empayar ini. Kutakut kalau kau terus berada di bawah, kau tak mampu menjaga empayar ini seampuh saat kita bersama. Sudah kukatakan bahawa empayar ini maha luas dan maha tinggi. Manusianya bertebaran di seluruh tingkat. Dan kau, tak pernah melihat, kerana hidupmu hanya terperangkap di suatu tempat.
Mendidikmu, wahai rakan kongsi empayarku, adalah suatu tanggungjawab yang maha sukar. Namun sesukar apapun aku takkan pernah meninggalkan tanggungjawab itu kerana kau adalah amanahku, dan kerana aku adalah amanahmu. Bukalah matamu, beranikanlah dirimu. Dunia yang kau lihat hari ini tidak hanya seluas apa yang kau lihat. Aku telah membantumu menjadi buta kerana sifat prihatinku. Sekarang sudah sampai masanya untuk kau belajar melihat semula.
Kau harus faham bahawa kita bukanlah berada di medan perang dalam mencari siapa betul, siapa salah, siapa menang, siapa kalah, siapa pandai, siapa bodoh, siapa yang terbaik dan siapa yang terbalik.
Ini empayar kita.
0 comments:
Post a Comment