MAJLIS ANUGERAH JASAMU DIKENANG ANJURAN PIBG SEKOLAH KEBANGSAAN
PENGALAT BESAR,PAPAR (SKPB)
Aku & SKPB
Ketika majlis perpisahan di SKPB tahun 2010 |
Petang kelmarin aku dikejutkan dengan satu panggilan telefon dari seorang staff yang bertugas di SKPB. Beliau, iaitu Encik David Lupi, sebagai wakil sekolah dan pihak PIBG menjemput aku untuk menghadiri Majlis Anugerah Jasamu Dikenang pada keesokan harinya bertempat di SKPB. Jemputan ini amat memeranjatkan memandangkan majlis perpisahan untuk ku di sekolah itu telah pun diadakan seawal Januari tahun lepas. Lagipula, malu juga rasanya untuk menerima penghargaan seperti ini kerana usia perkhidmatanku di sekolah tersebut hanyalah setahun iaitu sepanjang tahun 2009. Namun Encik David Lupi menegaskan bahawa majlis ini bukanlah merupakan majlis perpisahan melainkan sebuah majlis meraikan bekas-bekas guru yang pernah berkhidmat di SKPB selama ini. Beliau juga menjelaskan bahawa terdapat seramai 12 orang guru termasuk aku yang diraikan dalam majlis tersebut.
Bagi memenuhi undangan tersebut, aku pun berangkat ke SKPB pada jam 9.00 pagi memandangkan majlis bermula pada jam 9.30 pagi. Namun majlis bermula agak awal kerana jemputan VIP yang seharusnya datang pada jam 9.45 datang lebih awal dari masa yang ditetapkan. Antara jemputan VIP yang dijemput adalah Encik Daud Alam, selaku pengerusi PIBG SKPB, Encik Ikhbal Khan Bin Ismail, wakil PPD Papar serta beberapa dif kehormat yang lain. Majlis dirasmikan oleh YB Datuk Ghulam Haidar Khan Bin Bahadar Khan, ADUN Kawang.
Tentatif majlis disusun dengan begitu kemas dan berjalan lancar mengikut peruntukan masa yang ditetapkan. Suka untukku katakan di sini bahawa inilah majlis rasmi yang paling menyenangkan yang pernah ku hadiri. Setting tempat, sungguhpun hanya di dalam kelas, diatur sebegitu kemas sekali seolah-olah kita berada dalam majlis makan malam rasmi di hotel-hotel mewah. Meja-maja makan disusun mengikut kumpulan. Makanan ringan dihidangkan sementara mendengar ucapan dari pihak VIP. Makanan tengahari pula dihidangkan begitu majlis selesai. Ia mencetuskan rasa santai yang amat selesa. Encik Daud Alam mengatakan bahawa majlis itu sengaja dijalankan di sekolah memandangkan kekangan bajet agak terhad. Namun, kesungguhan pihak sekolah dan PIBG untuk menimbulkan suasana korporat sepanjang majlis tersebut adalah satu hal yang patut diberikan pujian. Secara peribadi, majlis ini adalah amat berharga sekali padaku berbanding dengan mana-mana majlis rasmi yang pernah kuhadiri selama ini yang diadakan di hotel-hotel mewah. Syabas diucapkan kepada pihak sekolah dan PIBG atas usaha yang mantap ini. Tidak hairanlah sekolah ini banyak menghasilkan sumber manusia yang cemerlang hasil gandingan padu yang terjalin sekian lama.
Anugerah Penghargaan buat Encik Blen Asik.
Sebuah anugerah telah diberikan kepada seorang guru yang berkhidmat di sekolah ini iaitu Encik Blen. Beliau telah bertugas selama hampir 15 tahun di sekolah ini. Encik Blen merupakan seorang guru yang kurang upaya kerana memiliki kerabunan mata yang agak kronik. Masih kuingat dulu, beliau bertatih menaiki tangga menuju ke kelas dan hanya berpaut pada tiang dan dinding-dinding kelas untuk berjalan. Menurut cerita dari rakan sekerja, beliau tiba-tiba diserang penyakit misteri hingga matanya menjadi rabun sungguhpun pada mulanya beliau adalah manusia normal. Namun, ketidakupayaannya untuk melihat tidak pernah menghalangnya untuk terus berkhidmat mendidik anak bangsa.
Ketika profil beliau dibacakan sebelum anugerah diserahkan, air mataku hampir menitis dalam keharuan. Sungguh, Allah maha adil. Dalam ketidaksempurnaan yang diberikanNya pada Encik Blen, Dia juga telah memberikan satu kekuatan dan kelebihan yang menjadikannya begitu istimewa berbanding guru-guru lain, termasuk aku. Menurut profail tersebut, Encik Blen telah membawa beberapa orang pelajar SKPB dalam pertandingan tarian dan sukan pingpong hingga bertaraf Asia. Tidak ramai guru yang mempunyai kemampuan sehebat ini. Aku beri tabik hormatku padanya.
Puan Norainah Hj. Pg. Ag. Jaafar
Sungguh tidak kusangka bahawa aku akan menemukan cikguku ini di sekolah ini. Kali terakhir aku berjumpa dengan Puan Norainah ialah ketika aku berusia 17 tahun di SJS, Papar. Ketika itu beliau baru ditugaskan di sekolah tersebut setelah mendapat KPLI di Maktab Perguruan Gaya,Kota KInabalu. Beliau menggantikan Cikgu Rose, iaitu guru Bahasa Malaysia kami yang menyambung pelajaran ke United Kingdom. Kehadirannya adalah di saat-saat akhir sebelum kami menduduki peperiksaan SPM.
Kegilaanku pada matapelajaran BM dan sastera ketika itu membuat aku agak kecewa kehilangan Cikgu Rose yang begitu aku kagumi.
Ku kira, Cikgu Norainah merupakan guru paling sopan dan lembut yang pernah masuk ke kelas kami 5B Sastera ketika itu. Kelas kami memang agak terkenal dengan masalah disiplin yang agak teruk. Maka, keberadaannya di kelas itu dengan penampilannya yang penuh keibuan itu seakan tidak mampu menarik perhatian pelajar bermasalah seperti kami. Aku akui ketika itu juga aku tidak banyak memberi tumpuan kepadanya. Pernah sekali beliau menegurku yang asyik bercerita ketika sesi pengajaran dan pembelajaran diadakan.
Satu hal yang paling aku ingat ketika beliau sudah diambang pasrah pada kami ialah, mengenai kepertian hidupnya sepanjang tempoh belajar dahulu. Kesempitan wang menjadikan beliau tidak mampu bergaya dan memiliki barang sehebat orang lain. Menurutnya lagi, beliau baru dapat menikmati kemampuan berbelanja setelah bekerja. Dia menasihati kami agar belajar bersungguh-sungguh demi masa hadapan kerana kegagalan hanya akan membuat hidup kita sengsara. Ceritanya itu kusimpan begitu sahaja, namun masih belum membuatku mahu berubah.
Namun satu hal telah terjadi yang mengubah persepsiku kepada seorang guru penuh santun ini untuk sepanjang hayatku. Ketika itu, peperiksaan percubaan SPM dijalankan. Aku dengan yakin menjawab semua soalan yang diberikan termasuklah untuk soalan kertas BM. Ketika keputusan diumumkan, alangkah terperanjatnya aku mendapati bahawa aku telah gagal dalam peperiksaan percubaan tersebut. Apa yang memeranjatkan lagi ialah aku mendapat F9 untuk kertas BM. Aku terus berjumpa dengan Cikgu Norainah dan bertanya mengenai hal tersebut. Cikgu Norainah menjelaskan bahawa aku tidak menulis nombor soalan pada kertas karangan, yang sememangnya menyalahi konsep peperiksaan. Dengan suara lembutnya dia menjelaskan lagi bahawa, apa yang dilakukannya adalah semata-mata untuk memberi pengajaran dan ingatan kepadaku supaya aku tidak leka pada peperiksaan SPM yang sebenar nanti. Dia juga mengatakan bahawa suatu hari nanti, aku akan berterima kasih padanya sungguhpun pada waktu ini aku merasa begitu marah padanya. Dia memuji hasil kerjaku, namun katanya lagi, semua itu tidak akan ada gunanya kerana pegawai pemeriksa kertas soalan tidak akan menyemak kertasku tanpa nombor soalan.
Sungguh, kegagalan itu hampir meranapkan kepercayaan ku bahawa akulah yang terbaik. Jauh di sudut hati, aku merasa marah padanya yang kurasa bertindak kurang adil dan tanpa budi bicara. Namun kegagalan itu juga menjadikan aku lebih menumpukan perhatianku pada matapelajaran lain. Aku mula membuang semua sifat burukku, mengurangkan lepak, bahkan meninggalkan teman lelaki ketika itu, hanya semata-mata aku ingin memberi lebih tumpuan pada pelajaran. Aku sudah merasa sakitnya gagal, dan aku tidak mahu menerima kegagalan ini pada peperiksaan SPM nanti. Pada Cikgu Noarainah, aku berjanji dalam hatiku, bahawa dialah orang pertama yang akan kutunjukkan keputusan SPM ku nanti.
Alhamdulillah, ketika keputusan SPM dikeluarkan, aku mendapat pangkat 1 dengan aggregat 20. Paling menggembirakan adalah apabila aku menjadi satu-satunya pelajar di sekolah itu yang mendapat keputusan A1 dalam Bahasa Melayu. Begitu gembiranya aku waktu itu, hingga aku lupa akan janjiku untuk menunjukkan keputusan itu pada Cikgu Norainah. Aku masih ingat waktu itu aku berlari ke warung makan dekat panggung, tempat abah mencari rezeki untuk menghadiahkannya slip keputusan peperiksaanku. Aku tidak lupa, itulah kali pertama abah memeluk aku, menangisi kejayaanku dan memberitahu pada semua orang di warung bahawa aku adalah anaknya. Anaknya yang nakal dan selalu buat hal, ternyata kini berdiri di hadapannya dan membuatnya tersenyum bangga.
Persoalannya, aku masih lupa sampai sekarang sama ada aku ada berjumpa dengannya atau tidak untuk mengucapkan terima kasih padanya. Namun, nama dan wajah kecil molek milik Cikgu Norainah itu kusimpan baik-baik dalam hatiku. Benar, kalau bukan kerana dia, aku tidak akan berada di tempat ini. Sungguhpun aku tidak dapat mencapai cita-citaku untuk menjadi penulis kesusteraan melayu, namun tugas kami masih sama; iaitu mendidik anak bangsa demi negara tercinta.
Kepada Cikgu Noraina, dengan rasa rendah hati dan penuh ikhlas, saya ingin mengucapkan sejumlah rasa terima kasih pada cikgu. Mungkin cikgu tidak sedar betapa besarnya impak yang cikgu telah berikan dalam kehidupan seorang Zubaidah Ramley. Mungkin cikgu tidak tahu, bahawa di balik kejayaan saya hari ini, adalah berasaskan kepada keputusan cikgu yang dulunya saya anggap kurang adil. Mungkin juga cikgu tidak tahu, betapa berkesannya kaedah yang cikgu gunakan dalam masa yang singkat itu untuk mengubah saya, seorang pelajar yang pernah hampir mencicirkan masa depannya. Semoga Allah berikan segala yang terbaik untuk cikgu sekeluarga. Semoga juga cikgu dapat menghasilkan lebih ramai sumber manusia seperti saya. Semoga juga saya dapat menjadi setabah cikgu, semanis cikgu. Amin...
YB Datuk Haji Ghulam Haidar@Yusof Bin Khan Bahadar
Kementerian Kerajaan Tempatan Dan Perumahan merangkap ADUN Kawang
Inilah kali pertama aku bertentang mata secara langsung dengan YB Datuk Haji Ghulam. Orangnya ramah dan tampan. Mulanya aku agak segan untuk berjumpa dengannya apatah lagi dengan niat untuk meminta derma. Lebih-lebih lagi beliau bukanlah wakil yang menaungi kawasan Pekan. Namun, mengingatkan projek Sekolah Rakan Alam Sekitar (SERASI) SK. Surati yang begitu lama tertangguh, akhirnya aku memberanikan diri. Sungguh mengujakan apabila beliau ternyata menyahut permintaanku dengan ramah dan mesra. Tanpa surat rasmi dan protokol, beliau dengan murah hati mendermakan wang peribadinya sebanyak RM400 untuk keperluan projek sekolahku.
Semoga sumbangan ini mampu menjadikan projek SERASI di sekolahku menjadi satu penanda aras untuk sekolah rendah daerah Papar. Sejumlah penghargaan dan Terima Kasih diucapkan kepada YB Datuk dari kami warga SK. Surati atas sumbangan ini. Semoga budi yang yang YB Datuk taburkan menjadi benih yang kian bercambah setiap hari. Amin...
Sekitar majlis...
Kenangan bersama bekas warga SKPB |
Inilah hadiah yang aku terima! |
Memang best majlis ni! |
Akhirnya, dapat juga aku bergambar di sini... |
3 comments:
Segala jasa dan bakti yang pernah ditabur akan berubah menjadi pepohon yang rendang.
Ikhlas dari insan yang amat menyayangimu...
Alhamdulillah...saya amat bersyukur dan gembira setiap kali berjumpa dengan bekas pelajar yang hariini sudah berjaya dalam bidang masing-masing. Sesungguhnya perjalanan hidup yang jauh ini akan bermula dengan satu langkah. Sepayah manapun, langkah itulah yang akan menjadi kembara kita. Semoga Zubaidah terus cemerlang menggapai bintang. InsyaAllah.
Terima kasih, cikgu.
Post a Comment