Saturday, February 5, 2011 | By: Luna Biru

Pantai Manis, Masih Manis


Pantai Manis 1984

Aku masih ingat kecik-kecik dulu, kalau balik Papar (dulu kami di Labuan), mesti singgah berkelah di Pantai Manis, Papar. Tak sah percutian tanpa singgah ke sana. Awal-awal pagi lagi arwah nenek dan umi akan bangun menyediakan makanan masak dan bahan-bahan mentah untuk dibawa ke sana. Abah pula sibuk dengan peralatan memancingnya dan menyediakan pelampung. Riuh-rendah rumah dengan suara arwah nenek menyuruh kami cepat bersiap. Katanya, bagus kalau ke pantai awal pagi, anginnya segar dan menyihatkan.
Kami pula dua beradik dengan Along, masing-masing sibuk mencuba baju mandi dan menyiapkan pakaian ke dalam beg. Aku ingat lagi waktu tu aku menangis tak mahu pakai baju mandiku yang berwarna merah jambu, yang abah belikan di Singapore.


Oleh kerana kami jarang balik ke sini, abah, sebagai pakcik tunggal dalam keluarga di sebelah Papar, mahukan acara perkelahan ini disertai oleh anak-anak buah dan cucu-cucunya. Biasanya, mereka semua berkumpul dulu di rumah lalu sama-sama bertolak ke pantai. Penuh sesak kereta Mazda SL7274 abah dengan kami sekeluarga dan anak-anak buahnya. Kami akan menghabiskan seharian di pantai, dari makan pagi sampailah ke minum petang. Ia menjadikan acara berkelah itu menjadi acara tetap setiap kali balik kampung. Suatu acara yang paling aku tunggu-tunggu dan aku rindui setiap kali berjauhan dari Papar.  Ia menjadikan aku begitu rindu untuk selalu balik kampung. Merindukan pantai manisku, sepupu-sepupuku yang nakal dan paling penting, kebersamaan itu. Sebenarnya, abah selalu juga membawa kami berkelah di Labuan, tapi rasa gembira itu tidak sama seperti di sini.

Aku masih ingat lagi betapa cantiknya tempat ni dulu. Pasirnya putih dan luas. Kalau waktu surut, pantainya timbul berpulau-pulau. Kalau waktu pasang, pulau pasir akan tenggelam dan digantikan dengan air laut yang biru jernih. Pucuk daun Salem (pokok Ru) meliuk-liuk ditiup angin dan dicelah-celah daun akan terdengar bunyi angin bergesek merdu. Warung-warung tradisonal bersusun di hujung pantai menjual cendol, pecal dan gado-gado.  Di atas bukit, sebelum masuk ke pantai pula ada jalan menuju ke tempat keramat yang telah dimurnikan menjadi tempat lawatan. Kami budak-budak dilarang sama-sekali ke sana, takut keteguran makhluk halus, kononnya. Tapi, aku tengok sepupu-sepupu aku yang besar panjang tu bukan main lagi bergambar sakan di sana. Kalau berjalan jauh sedikit, kita akan sampai di Bukit Kinandukan yang terpencil dan misteri. Abah dan anak-anak buahnya akan memancing di sana. Hasil tangkapan itulah pula yang akan menjadi lauk kami untuk tengahari.

Sayang saja waktu itu, dunia belum secanggih hari ini, menjadikan semua kenangan itu hanya dapat dirakam di alam khayal tanpa dapat dicetak di kertas filem atau dalam bentuk digital.


Pantai Manis 1990

Masa berlalu dan akhirnya, kami sekeluarga berpindah semula ke sini bila abah berhenti kerja sebagai Engineer di Sabah Gas. Suatu hal yang ku nanti ialah perkelahan di Pantai Manis lagi. Tapi mungkin kerana sudah menjadi pemastautin tetap di Papar menjadikan acara perkelahan itu tidak lagi menjadi perkara wajib. Masa yang kutunggu-tunggu itu tak kunjung tiba juga. Aku tertanya-tanya, bila lagi mahu ke sana? Kenapa bila semakin dekat, rasanya semakin jauh pula. Padahal dulu, sungguhpun jauh, lebih kerap ke sana.

Akhirnya pada 9 Disember 1990, sewaktu sambutan hari lahir Along yang ke 17, abah membawa kami sekeluarga ke sana. Kali ini, hanya kami saja sekeluarga tanpa anak-anak buah abah dan sepupu-sepupuku yang nakal itu. Tapi Pantai Manisku, masih manis seperti dulu. Lautnya masih biru, pantainya masih putih dan anginnya masih segar dan nyaman. Berbeza rasanya kali ini bila hanya aku sendiri membina istana pasir di bibir pantai.

Pantai Manis 1994
Ketaksubanku pada Pantai Manis mash menggila-gila. Aku masih mencari kenangan itu dalam derai ombak dan angin monsun. Tanpa sepengetahuan umi, aku selalu curi-curi ke sini bersama Susan, Connie dan Bibie. Bila mula bercinta, aku mula membawa kekasihku, Faizul. Biasanya kami berempat akan menghabiskan masa di pantai ini dengan limit masa yang tidak mencurigakan orang tua kami. Aku cuba menghidupkan suasana dengan 'memaksa' mereka membuat unggun api dan membuat barbeque. Tapi, sekali lagi, rasa itu tidak pernah sama. 

Tahun ni juga, Pantai Manis keluar berita di TV3 kerana pembuangan sampah yang tidak terkawal di sepanjang jalan menuju ke pantai. Tak lama selepas keluar berita tu, Pantai Manis dilanda projek besar-besaran pembaikan dan pembinaan. Akhirnya, wajahnya berubah bagai sebuah resort dan diwartakan sebagai Taman Negara. Pemandangannya cantik dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan awam. Gerai-gerai tradisional dihimpunkan dalam sebuah bangunan Food Court yang panjang dan besar. Jeti dibina di muara sungai bertentangan dengan laut. Pondok-pondok kecil pula dibina setiap 20 kaki. Pantai Manisku benar-benar manis dan menjadi tumpuan perkelahan keluarga dan individu. Tapi sayang, aku tak pernah sekali pun dapat merasakan keindahan pantai ini bersama keluargaku. Abah tak pernah lagi menginjakkan kakinya ke pantai ini. Nasib malang telah menimpa keluarga kami yang menjadikan abahku yang ceria itu berubah menjadi manusia pasif dan primitif. Nenek pula meninggal dunia pada tahun yang sama sementara sepupu-sepupuku sudah mula berpindah ke bandar lain. 

Aku menikmati pantaiku dalam isolasiku sendiri. Bagai pita rakaman, aku bagai mendengar suaraku sendiri ketawa serta kerit marah arwah nenek yang selalu takut keteguran.

Pantai Manis 1996
Pantai Manis kutinggalkan menuju ke pantai lain di sebelah timur. Kukira ia menjanjikan satu kisah cinta yang nyata seperti di zaman kanak-kanakku yang indah. Tapi mungkin tak akan ada yang dapat menyamainya. 

Sekembalinya aku, alangkah terperanjatnya aku dapati bahawa pantai manisku yang bergelar 5 bintang itu telah berubah menjadi pantai yang nanar. Mereka mengatakan bahawa ribut greg telah menghakis keindahan pantai itu sehingga menjadi senanar itu. 

to be continued

3 comments:

Atie said...

yg paling aku pasal pantai manis ialah...ms kita di SMAIP dulu ada ura2 yg mengatakan SMAIP akan berpindah ke pantai manis...sesuatu yg sebenarnya menggembirakan hati semua students...pd ms itu...tp sayang sampai hbs kita di SMAIP kempunan merasa bangunan baru di Pantai Manis...syukur...adik2 Junior akhirnya merasa keindahan bangunan SMAIP itu...Syukur

Anonymous said...

kalau nk ikut resepi ni blh ke x tuka guna yis basah

Unknown said...

Inilah juga dukaku, tika membaca catatan ini, terimbas kwmabli semas seawal belum sekokah tepatnya tahun 1968 banyak masa kuhabiskan di sana.
Hingga tahun 1972 apabila telah darjah 2 dan berpindah ke Sandakan, Pantai Manis, Kuala dan Bukit Kinanfukan tempat bermanja, telah jauh daripada jangkauan ingatan.
Saudara.. ada banyak ingin kukisahkan setelah bebrp kunjungan puluhan tahun, aku telah rekodkan Bukit Kinandukan, Kuala dan Pantai Manis dalam cerpen dan sajak. Malam ini,pada malam kwmerdekaan ke 60 Malaysia, aku akan kisahkan Bukit Kinandukan dalam dendang Syair ciptaan sendiri di BENTARAKATA, jalan Gaya Kota Kinabalu.
Eratnya jiwaku denganmu Kinandukanku!

Post a Comment