Wednesday, February 9, 2011 | By: Luna Biru

Atiek...Rinduku dalam Pelangi..

Atiek...Intrologi sebuah Kerinduan...

Atiek...Duduk paling kiri, depan aku.

Arwah nenek selalu cakap dulu; kalau tiba-tiba kita ingat seseorang atau tetiba rindukannya, itu bermakna, dia pun sedang rindukan kita. Seru namanya di muka pintu sehabis solat Subuh, percayalah, kamu pasti akan bertemu dengannya walau dengan apapun caranya.

Lalu suatu hari, tiba-tiba aku jadi rindu pada seorang sahabat lamaku yang kupanggil Atiek, ketika usia masih rebung di zaman persekolahan dulu. Aku sebut namanya berulang-ulang kali dalam hatiku dan aku lakukan petua arwah nenek. Hakikatnya, aku tak yakin dia rindukan aku juga. Mungkin saja dia hanya teringatkan aku waktu membelek-belek album lama.

Aku cuba bongkar balik kenangan tentang kami. Tak begitu banyak sebenarnya sebab hubungan persahabatan itu pun baru bermula di usia 14 tahun. Sungguhpun kami sekelas,pada mulanya kami bukanlah rapat sangat. Tapi entah atas peristiwa apa akhirnya yang menjadikan kami begitu serasi hingga akhirnya dia menjadi sebahagian dari hidupku. Ketika kami berpisah di akhir usia 16 tahun, aku percaya bahawa sepotong hatiku telah dibawanya pergi bersama.

Aku begitu rindukan gadis kecil molek yang berkulit hitam manis itu. Dia begitu memahami aku, memahami jiwa seniku dan sentiasa memberi semangat untukku. Aku masih ingat kami duduk di belakang sekali di dalam kelas dan curi-curi bercerita di kala sang guru sedang sibuk mengajar di depan. Bila ditegur, kami akan sambung bercerita lewat nota-nota di atas kertas. Aku masih ingat juga Atiek akan memunjungkan mulutnya bila begitu asyik bercerita. Bagiku, Atiek begitu istimewa. Dia tidak pernah memalingkan mukanya dari ku sungguhpun semua wajah tak sudi melihatku yang agak nakal ini. Kalau aku dimarahi guru, dia hanya akan tersenyum padaku. Senyum yang cukup bermakna yang bagiku seolah-olah dia ingin memberitahu bahawa, kami tetap kawan. Kami banyak berkongsi kisah-kisah peribadi, juga tentang harapan. Kepadanya, kusandarkan cerita impianku...entah dia masih menyimpannya atau tidak...Jarak masa 19 tahun memungkin segalanya.

Wahai angin Subuh...sampaikanlah salam rinduku buat Atiek ku yang manis dan lucu. Aku ingin benar dia juga merindukan aku...Temukanlah kami Ya Allah...

Atiek...Pertemuan di dunia Cyber

Akhirnya, di halaman Facebook jugalah yang menamatkan pencarian selama 19 tahun. Suatu hari, ketika membuka akaun facebook yang hampir kututup gara-gara satu peristiwa yang menyakitkan itu, aku mendapati sebuah nama tertera di satu sudut kecil bergelar 'friend request'. Nama itu begitu asing bagiku; Melati Atie. Tapi aku cukup tertarik pada gambar profailnya yang hampir menyamai gambar profail 'rembulan jingga'ku. Lazimnya, aku akan terus saja menekan butang 'confirm' tanpa melihat pemilik empunya akaun. Namun hari ini, didesak rasa ingin tahu, aku melawat halaman dinding Melati Atie, mencari foto wajahnya dalam koleksi peribadinya. 

Nyatanya, wajah itu mengingatkan aku pada seseorang di masa laluku; sebuah wajah yang aku rindu dan aku cari untuk sekian waktu. Tapi wajah itu juga sudah berubah sifat dan bentuknya. Dia bukan lagi gadis kecil molek dengan tudung bulat labuh yang hampir menutup sebahagian mukanya. Wajah itu kini sudah agak berisi dengan seri warna-warna solekan. Aku hanya menyimpan wajahnya di relung hati seakhir usia 16 tahun. Masa sudah berlalu. Padahal mungkin saja dia juga terkejut melihat perubahan diriku. Akhirnya, kuutus dia sebaris mesej pendek. Jawapannya ku dapat pada keesokan harinya. Jadi, benarlah dia Atiek ku...


Atiek...Antara Rindu & Kenangan

Mula dari itu kami pun bertukar-tukar cerita lewat mesej peribadi di halaman facebook. Terlalu banyak kisah yang tertinggal dalam jarak waktu yang menjurang itu. Ringkasnya, sahabatku yang manis itu kini sudah bergelar seorang ustazah, belum berpunya dan sedang menyambung pelajarannya ke peringkat siswazah. Padanya ku ceritakan sedikit kisah hidupku. Masa sudah jauh tertinggal di belakang. Mustahil untuk kukejar kembali dan meletakkannya di hadapannya meskipun aku ingin sekali dia tahu hidup yang kususur sepanjang ketiadaannya. Dan aku juga percaya, dia juga merasakan hal yang sama. 

Tapi syukurlah juga segelintir kisah terakam dalam blog yang masih boleh dikongsi lewat dunia maya. Ku khabarkan padanya bahawa sebahagian kisahku masih boleh ditemukannya dalam sebuah botol kaca di persada laut. Kukirimkan ehsan suka dan dukaku  di sebuah Artifak Dalam Botol. Kukira, dia pasti sudi meluang sedikit ruang untuk membacanya; atau bahkan sabar menunggu botol seterusnya hanyut untuk ku utus artifak seterusnya. 

Bacalah Atiek...Tangisku ada di situ, begitu juga mimpi dan bahagiaku...

Atiek...Diary Seorang Guru

Nyatanya Atiek juga merakam kisahnya lewat dunia blog. Terus-terang saja aku belum punya masa untuk membuka setiap halaman. Setakat detik ini, hanya satu 'entry' saja yang dapat kubuka lantaran desakan waktu yang buntu. Entri yang kubaca begitu menyentuh hatiku. Entri itu pula kubaca berulang-ulang kali sehingga aku dapat menghafalnya sendiri. Ada pilu yang menyusuk antara qulbi setiap kali ayat-ayat itu menari-nari di kepalaku. Lalu airmata pun seakan tak mahu berhenti mengalir saat ku tahu betapa beruntungnya aku selama ini; bahawa di suatu sudut dunia ini, rupanya aku masih punya sahabat yang begitu menghargai aku, merindukan aku dan masih menyimpan setiap bahagian diriku dalam dirinya. Padahal dia kutinggalkan begitu sahaja dulu hanya kerana perinsipku yang bencikan perpisahan...

Maafkan aku Atiek...aku fikir aku sudah cukup menyimpan dirimu dalam memoriku. Ternyata, banyak rupanya yang aku sudah lupa tentangmu. Kau benar, aku tidak ingat tentang surat terakhir yang aku kirim padamu. Sepucuk surat 'mohon pamit duluan' itu tidak pernah mengalir masuk dalam zarah ingatanku. Aku malah tidak ingat bagaimana kali terakhir pertemuan kita. Aku juga tidak ingat tentang kad hari raya dan kad lahir yang kukirim padamu. Kotak memoriku yang kecil ini hanya menyimpan sejumlah kisah persahabatan kita, hanya sekisar kisah kau dan aku  dalam meniti dunia remaja. Aku hanya ingat kisah kita menangis bersama, dan ketawa di kala gembira. 

Maafkan aku Atiek...satu hal yang perlu kau tahu tentang aku ialah aku paling benci perpisahan. Aku tidak mahu terikat dalam kesedihan atas sebab perpisahan. Aku juga paling tidak mahu menjerat diriku dengan rasa pilu pada rangkulan akhir perpisahan. Maka kerana perinsip itu, kau kutinggalkan mentah-mentah 19 tahun dulu bersama sepucuk surat pengganti esakku. Waktu itu aku yakin kita akan berjumpa lagi. Aku telah berjanji pada diriku bahawa aku pasti akan menjengukmu di sekolah barumu. Tapi aku tidak ingat sama ada aku menunaikan janji itu atau tidak. Tolong ingatkan aku Tie...kerana sesungguhnya aku ada beberapabkali ke sekolah itu melawat sahabat kita yang lain. Aku tidak pasti adakah kita pernah bertemu di sana atau tidak.

Atiek...Aku & Duniaku

Kukira tidak adil kalau kuceritakan padamu tentang ironi hidupku. Aku ingin menipu kau, bahawa aku bahagia-bahagia saja. Aku ingin memberitahumu betapa suksesnya aku dan aku ingin kongsikan denganmu tentang beberapa hal yang membanggakan tentangku. 

Tapi, barangkali kaulah seorang makhluk ciptaan Allah yang tak mampu kuajak berbohong. Aku sudah kerap menipu diriku dan orang lain tentang semua itu. Bila mengingat betapa polosnya wajahmu menunggu aku habis bercerita dulu, aku sedar, aku tak mungkin dapat menipumu. Matamu itu Tie...aku masih menyimpan sinar matamu yang tulus, meski tak bisa kutatap lagi sekarang. Tapi mata itu buat aku hilang kemampuan untuk menjadi seorang pembohong. 

Tiek...ketahuilah...aku hampir tewas melawan arus hidupku. Aku tidak kuat lagi Tie...Belati itu telah melukakan seluruh tubuhku, menyiat kulit dan tulang belulangku. Aku bahkan tak mampu berdiri tanpa berpaut pada tebing-tebing akar yang akhirnya pula memancarkan darah merah dari tanganku. 

...dan barangkali inilah pengakuan pertama yang aku pernah lakukan seumur hidupku. Pengakuan yang tak pernah kukongsi dengan siapapun termasuk suamiku. Di hadapannya aku adalah pembohong terbaik. Aku mahir berlakon dengan wajah tenang dan suci seorang isteri, kerana aku tahu, dia tidak lebih tabah dari aku. Jadi, aku perlu tabah untuk dia. Entah keberanian apa yang menjadikan aku begitu membuka diri padamu. Kukira kerana matamu itu Tie...sedang aku tak pasti masihkah kau memiliki sepasang mata jernih yang menyimpan kolam penuh perhatian itu...

Jangan tanyakan aku kenapa Tie...Kerana tak mungkin kukongsikan denganmu. Cukuplah kau tahu bahawa di balik wajah ini ada cerita duka yang kusimpan, ada airmata yang mengalir diam-diam di atas sejadah dan bilik mandi dan ada perih yang memedih dalam setiap ketikan alphabet di papan kekunci komputer riba ini. 

0 comments:

Post a Comment