Saturday, February 19, 2011 | By: Luna Biru

Jangan Membangkit Pemberian

Tangan kanan memberi, tangan kiri jangan tahu.

Kami hanya lahir sebagai dua beradik; Along dan aku. Jarak usia antara kami sekitar 5 tahun. Ketidakmampuan Umi dan Abah memiliki anak yang ramai menyebabkan mereka akhirnya nekad untuk mengambil anak angkat. 

Lalu, pada tahun 1984, rezeki itu datang menjenguk terus ke pintu rumah, memaklumkan mereka bahawa doa mereka telah sampai ke langit. Seorang wanita bugis tampil menghulurkan seorang bayi kecil berusiia 3 bulan. Aku masih ingat betapa kecilnya bayi itu dalam pelukanku. Kulitnya hitam manis, matanya besar, tubuhnya kurus dan suaranya melengking tajam bila menangis. Tapi aku sangat sukakannya. Aku sanggup berhenti bermain demi menjaganya.Terisi hidupku yang sepi selama ini. 


Pada tahun 1992, rezeki itu datang lagi. Kali ini, seorang bekas pelatih abah di Labuan dulu tampil meminta kami menjagakan bayi kecilnya. Kehadirannya tetap disambut baik dan penuh meriah. Sekarang aku sudah punya dua adik lelaki!


Akhir sekali pada tahun 1996, seorang nenek tua dari sebelah timur Sabah mahu menzakatkan cucunya untuk abah kerana kedua orang tua bayi tersebut sudah tidak ada lagi. Maka, genaplah sudah kebahagiaan dan keceriaan rumah kami dengan kehadiran seorang bayi perempuan comel berketurunan Jepun itu. Selepas itu, abah tidak mengambil anak angkat lagi kerana Allah sudah memberikan rezeki yang mencurah-curah dari darah dagingnya sendiri, iaitu cucunya.

Ketiga-tiga adikku ini dianggap bagai keluarga sendiri. Abah dan Umi tidak pernah membahagi-bahagikan kasih sayang. Mereka selalu bersikap adil dalam melakukan pemberian dan hukuman. Tiada istilah anak angkat, meskipun ketiga mereka tidak ditukarkan nama bapa. Aku ikhlas menyayangi mereka. Mereka melengkapkan kehidupan fitrahku. 

Namun sesekali, bila rasa marah menjelma di dalam diri, apalgi bila tahap marah bertukar menjadi pertengkaran antara kami, kata-kata yang tidak sepatutnya mula muncul dalam mulutku. Mungkin kerana aku sudah mula merasa letih menjaga mereka seumur hidup remajaku. Kehadiran mereka yang pada mulanya menceriakan, bertukar menjadi mimpi yang menyakitkan. Lebih-lebih lagi bila aku tidak dapat menikmati dunia remajaku semata-mata untuk menjaga mereka. Aku mula berfikir-fikir, alangkah baiknya kalau abah tidak mengambil anak angkat, alangkah bagusnya kalau aku tiada adik...

Kemarahan itu pun mula menjadi-jadi bila mereka semakin susah untuk dikawal. Akhirnya, kata-kata itu mula berani keluar dari mulutku. Aku mula membangkit-bangkit kesusahanku selama ini menjaga mereka, mula meminta mereka mengingat jasa-jasaku, dan menuntut pengorbanan yang sama yang pernah aku berikan pada mereka. 

Padahal, baik abah dan umi tidak pernah sama sekali mempersoalkan hal itu sungguhpun mereka lebih berhak mengatakannya. 

Sebagai balasan, aku sekali lagi akan menjadi mangsa kemarahan abah. Abah paling marah bila kami membangkit-bangkit pemberian dan meminta agar orang mengingatnya untuk kita. Macam-macam pula keluar ceramah abah untuk menyokong kemarahannya. Abah malah pernah menampar mulutku yang lancang membangkit kesusahanku selama mengurus adik-adik kecilku itu.  

“Wahai orang yang beriman! Jangan rosakkan pahala sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan kelakuan yang menyakiti seperti rosaknya pahala amalan sedekah orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak) dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat"

Kemarahan abah mungkin bukan sebab untuk menjadikan aku akhirnya berubah. Namun, setelah sebuah muhasabah diri yang panjang (biasanya kalau lepas kena marah, abah kurung kami dalam bilik, suruh berfikir dan tidak dibenarkan keluar tanpa satu kesimpulan), aku akhirnya sedar tentang sesuatu; Bahawa aku bukanlah yang paling malang antara mereka semua. Aku hanya kehilangan sedikit masa berfoya-foyaku, sedangkan mereka sudah kehilangan ibubapa sejak kecil lagi. Apalah dosa mereka sedangkan tidak ada satupun anak di dunia ini yang ingin membesar tanpa keluarga sendiri. Mereka hanya menumpang teduh dan kasih dalam keluarga kami. Mereka adalah zakat yang tertunda untuk Umi dan Abah. Mereka juga bakal membawa kami ke neraka kalau kami kufur pada dugaannya. Aku juga mula sedar bahawa, bukan aku yang seharusnya menuntut hakku dengan membangkit-bangkit pengorbananku yang tidak seberapa, walhal, umi dan abah lebih susah berbanding aku. Aku hanya kehilangan masa, mereka kehilangan wang dan tenaga. Tapi sedikitpun mereka tidak pernah mempersoalkannya. Mereka begitu ikhlas memberi dan ikhlas menerima ketentuan Allah. 

Aku juga tidak seharusnya lupa bahawa adik-adikku ini juga selalu berkorban untuk aku, meskipun terlalu kecil hitungan diameternya. Tapi hanya itulah semampu mereka. Bila aku sakit, merekalah yang menjaga aku, membawakan aku air dan ubat ke bilik. Mereka masih kecil, manalah mereka mampu membawa aku ke hospital sepertimana yang selalu aku buat untuk mereka. Bila aku tidak cukup duit mahu membeli majalah dan buku cerita, Romey akan dengan senang hatinya mengorek duit tabungnya dan memberikannya padaku. Hanya itu yang dia mampu, kerana dia masih kecil.. Manalah dia mampu melakukan sepertiku, sanggup bekerja di kedai baju hanya semata-mata mahu memberikannya duit RM5 untuk membayar yuran perkhemahan. 

Syukurlah aku disedarkan awal...Alhamdulillah...

Aku bersyukur lahir dalam keluarga ini, membesar di tangan abah yang pernah kugelar sebagai Pak Polisi yang Kejam (hahaha!), aku bersyukur dididik di tangan Umi, seorang ibu yang penuh berjiwa kelembutan dan keikhlasan, aku bersyukur punya adik-adik seperti mereka, kerana mereka membentuk nilai jati diriku, tentang pengorbanan dan kasih sayang.

Mungkin sampai sekarang pun mereka tidak dapat menggantikan kesusahanku selama menjaga mereka, tapi Allah selalu punya cara untuk membalas setiap kebaikan, mahupun kejahatan.

Maka, untuk renungan kita bersama, janganlah membangkit-bangkit pemberian yang telah kita korbankan untuk orang lain kerana ia bukan sahaja menghilangkan pahala, tapi hanya membuat orang jadi cuak dan benci.

Eyma Fatima (bertudung putih) -Form 3

Romey Mohriz - The Flute Musician

Khairol Oyo - The Security Guard (Sama birthday macam abah)

“Katakanlah wahai Muhammad sesungguhnya Tuhan-Ku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya antara hamba-Nya dan Ia juga yang menyempitkan baginya, dan apa saja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya dan Dia sebaik-baik pemberi rezeki” (Saba’ – 39).

0 comments:

Post a Comment