MATANGLAH MENERIMA ADUAN
Kita sering berhadapan dengan beberapa situasi yang memerlukan akal cerdik kita dalam kehidupan sehari-hari. Situasi-situasi seperti ini seringnya melemaskan kita dan memerlukan lebih kewarasan dan kematangan kita untuk bertindak dengan lebih rasional.
Aku sedang bercakap tentang sikap seorang pengadu. Bukan pengadu domba, tetapi pengadu yang sering mengadukan kesedihan, kekesalan dan kemarahannya pada orang-orang di sekelilingnya. Setiap hari, si pengadu ini akan membuat komplen tentang apa saja di sekitarnya. Dia mempunyai banyak alasan untuk dirungutkan. Si ibu mengadu pada anaknya tentang sikap anaknya yang lain, si kakak mengadu pada adik tentang adik-beradik yang lain, ibu mertua mengadu pasal menantunya, menantu pula mengadu pasal mertuanya, kawan sendiri komplen kawan yang lain, malah ketua jabatan pula mengadu pasal anak buahnya kepada staffnya sendiri.
Tapi aku sempitkan skop ini kepada hal kekeluargaan semata-mata.
Lazimnya, bila menerima aduan demi aduan, kita seringnya mula bertindak sendiri apatah lagi bila setiap hari diasak oleh perkara yang sama. Kita tidak sedar bahawa si pengadu kadang-kadang hanyalah sekadar meluahkan isi hatinya tanpa memerlukan kita untuk membuat tindakan lanjut. Di sinilah sebenarnya akal bijak kita diuji dalam menghadapi situasi yang merimaskan seperti ini. Kesilapan mengambil tindakan boleh menyebabkan perpecahan, perbalahan malah mungkin memutuskan silatur-rahim sesama kita.
Aku bukanlah berkata bahawa aku seorang bijak dalam menangani isu-isu seperti ini. Tapi aku bolehlah katakan bahawa aku dewasa dengan pengalaman. Pengalaman itu banyak mengajar aku dan membuat aku jadi lebih matang untuk mengatur sesuatu tindakan. Waktu kecil dulu, aku sering mendengar arwah nenek mengadu pada abah soal umi. Umi pemalaslah, umi begitulah, beginilah dan macam-macam lagi. Abah yang baru pulang dari kerja itu akhirnya menjadi bengang bila setiap hari mendengar perkara yang sama. Akhirnya abah mula marah-marah sama umi. Umi pula, bila dimarah begitu, akan mempertahankan dirinya dan marah balik pada arwah nenek (ibu mertuanya). Lalu jadilah pertengkaran yang akhirnya menjadikan satu perang dingin yang panjang. Abah tidak tahu bahawa arwah nenek juga sering mengadu pada umi tentang sikap abah, tapi umi diamkan saja sungguhpun dia sendiri sudah bosan dengan aduan yang sama setiap hari. Abah juga tidak tahu bahawa arwah nenek hanyalah mengadu kerana ia membuatkan dia berasa dekat dengan abah, sekadar berkongsi cerita. Tindakan terburu-buru abah hanya merosakkan keadaan.
Begitu juga halnya dengan sepupu-sepapatku. Bila berkunjung ke rumah, ibu mereka, iaitu makcikku, sering mengadu hal anak-anak mereka. Terus-terang, setiap aduan yang kita dengar mengubah sedikit persepsi kita pada individu tersebut. Aku tak sangka pula sepupuku yang manis dan baik itu suka melawan emaknya. Tapi, siapalah aku untuk mengambil tindakan,kan? Jadi, semuanya berlalu begitu sahaja. Ibaratnya, masuk telinga kiri, keluar telinga kanan. Tapi alangkah terperanjatnya aku suatu hari, sepupuku itu menelefonku dan marah benar padaku kerana telah mendengar Umi mengadu padanya pasal perangai pemalas aku. Huhu…tak adil sungguh. Kalau aku tau, dari dulu lagi aku yang serang dia duluan.
Hal yang sama berlaku bila si ibu mengadu pasal perangai anak-anaknya yang lain kepada kita. Macam Umi, selalu mengadu itulah, merungut inilah. Pun, biasanya aku biarkan saja. Bagiku, begitulah kali perangai ibu-ibu yang kesunyian. Tiada modal lain mau bersuara. Tapi aku akan cukup tersinggung bila diserang oleh adik-beradik yang lain bila tiba masanya aku pula yang buat perangai. Hi….geram betul! Sekali lagi, kenapalah bukan aku yang bertindak duluan?
Pun, begitu juga halnya pada aduan si ibu mertua pasal anak-anaknya, mean, ipar duai kitalah. Pantang berjumpa atau balik kampung, macam-macam berita terkini yang dijadikan topik perbualan oleh si ibu mertua mengenai anak-anaknya. Kadang-kadang sampai terkeluar air mata mengadu sikap anak-anaknya. Pun lagi, aku hanya bertindak menjadi dinding yang tuli dan bisu. Aku hanya menyerap semua aduan tanpa membuat apa-apa tindakan lanjutan. Tapi, alangkah kesalnya hati bila sekali lagi kita diserang bila tiba pula giliran kita untuk diadu. Perkara yang sama berlaku lagi.
Kalau terkena orang yang ekstrem, pastilah sudah dibawa bertengkar. Tapi kalau terkena orang yang lemah hatinya, hanya air mata menjadi teman. Kerana itu pepatah arab ada mengatakan;
Jangan bertengkar dengan orang yang bodoh. Kerana orang yang bodoh akan memalukanmu di depan khayalak. Jangan pula bertengkar dengan orang yang lembut. Kerana orang yang lembut akan memakimu di dalam hatinya. Sesungguhnya, doa dari orang yang lemah dan teraniaya itu terbuka tanpa hijab di depan Allah.
Begitulah fitrahnya sikap seorang pengadu; sebagaimana dia mengadu padamu, begitulah juga dia akan mengadukanmu pada seseorang. Jadi, siapalah kita untuk mengambil tindakan dari pihaknya. Orang-orang seperti ini,yang bertindak melulu, bolehlah kukatakan seperti manusia yang menangguk di air yang keruh. Mungkin mereka fikir betapa baiknya mereka di mata si pengadu hingga mereka terlupa bahawa, mereka pernah berada di tempat yang sama sedikit masa dahulu.
Kalaulah boleh kuhamparkan rahsia hatiku ini untuk mereka baca, pastilah mereka tidak akan sanggup menerima hakikat betapa teruknya mereka di mata si pengadu. Aku tak salahkan sikap si ibu yang suka mengadu. Sudah memang begitulah adat orang tua-tua. Tapi aku cukup kesal bila ada antara kita yang bertindak kurang bijak dengan mendahului aduan si ibu dengan tindakan-tindakan yang merugikan kita semua. Syukurlah Allah kurniakan aku akal yang waras, pengalaman yang cukup berharga dan prinsip yang kental, yang dapat kupraktikkan dengan bijak di usia dewasa ini.
Bagiku, seorang ibu, hanyalah ingin seseorang mendengar luahannya, berkongsi cerita dan berbagi duka. Seorang ibu tidak akan pernah mahu anak-anaknya, ipar-duai, suami isteri bertelagah sesama sendiri. Dia hanya perlukan sebuah dinding, sepertimana kita punya diari untuk meluahkan perasaan. Jadi, sebagai dinding, tidak perlulah kita bertindak bagi pihak orang lain. Siapalah kita untuk menghukum orang sedangkan diri sendiri pun selalu menjadi mangsa aduan si ibu. Janganlah pula fikir yang anda begitu sempurna hingga sanggup merosakkan hak asasi orang lain sedangkan harga dirimu sudah lama lebur di tapak kakinya.
Ingatlah, setiap tindakan yang kita lakukan akan memberi kesan pada orang lain. Dan orang lain itu pula punya haknya di sisi Allah. Jangan menghukum sesuka hati.
Kita Kan Tersesat Pabila Malam Menjemput Bulan Semula Ke Sangkar Waktu
Kita Kan Tersesat Pabila Malam Menjemput Bulan Semula Ke Sangkar Waktu
0 comments:
Post a Comment