Anak bujangku sorang ni....
Bersungguh-sungguh dia merayu supaya aku dapat hadir ke Majlis Pecutan Akhir PMR-nya. Dan seperti biasa, kita yang golongan cikgu-cikgu ni agak keliru sikit untuk menunaikan hajat anak bila memikirkan kelas-kelas yang bakal terbiar kalau CRK dipohon. Jadi aku cuma mampu janjikan dia yang aku pasti hadir mengikut keluangan masaku sendiri.
Aku sampai lewat dua jam dari masa yang ditetapkan. Tapi syukur juga ni sebab aku pun bukan tahan lama-lama duduk mendengar slot motivasi. Waktu aku sampai majlis sudah berada di kemucak iaitu acara penghayatan dan restu ilmu.
Sejujurnya, encik motivator mempunyai rangkaian perancangan motivasi yang hebat. Beliau pun dengar-dengarnya bukanlah calang-calang orangnya. Tapi malangnya, beliau tidak memiliki aura dan karisma untuk membuat para peserta menjiwai tiap detik itu dengan lebih natural. Bagi aku, dia berkemampuan untuk menyuntik tapi tidak menyengat. Dia juga terlalu lama 'hold' kan momentum kesedihan hingga akhirnya ia tidak lagi berlaku secara asli tapi mulai dipaksa-paksa.
Kelemahannya secara umum banyak terletak pada intonasi suara serta konotasi bahasa. Pendeklamasian yang seharusnya memberi impak akhirnya tersungkur tanpa makna. Nasib baik latar belakang muzik banyak membantu...waktu ni terus-terang aku sudah mulai gusar. Aku terfikir macamanalah motivator ni mampu nak mencairkan hati kering si Arin sedangkan Arin sudah terbiasa dengar suara mama dan abahnya jadi penyajak unggul. Bila aku tengok sekeliling, masih ramai pelajar yang terlunta-lunta mencari runtun, termasuklah si Arin sorang ni. Akhirnya aku ambil keputusan untuk keluar bilik seminar sebab tak sanggup nak hadapi kenyataan yang Arin tidak mampu menjiwai nilai sensitiviti seperti yang diharapkan.
Dari luar bilik, aku dengar encik motivator terus-terusan berusaha menyelami watak. Bila kuyakini suntikannya mulai mengena, aku masuk balik ke bilik. Dan yah....syukurlah...mata sang Arin sudah mulai dibasahi air penjiwaan. Aku tidak pasti bahagian mana yang membuat hatinya sedikit goyah. Tapi aku bersyukur benar melihatnya.
Rentetan dari itu, salju pun cairlah. Pada Arin aku bisikkan, Lepaskanlah Arin....Terbangkan marahmu. Bunuh dendammu. Buka matamu dan kau akan melihat sisi-sisi baik yang sentiasa hidup mendampingimu, menemanimu saat kau susah dan senang...kami juga manusia biasa. Bukan malaikat yang tandus dosa. Ada detiknya kami juga salah beraksi dan memberi kesan yang fatal dalam hidupmu. Tapi percayalah, tidak seinci pun di hati kami pernah mau menyakitimu....Lepaskanlah Arin...dan kau akan melihat betapa besarnya kasih sayang jauh berbanding dendam...
Dan Arin pun cair dalam syahdu rasanya. Segulir air mata mengalir di pipiku saat dia berpelukan bersama abahnya....
Arin anak yang baik sebenarnya. Tapi dia terlalu berambisi mengejar mimpi sampai aku takut dia diserang penyakit 'wahan'. Keinginannya untuk membuktikan pada abahnya betapa bagusnya dia telah menggelapkan jiwanya untuk melihat dunia lain. Dia bagai manusia yang hidup dalam kotak. Dia begitu dahagakan pujian abahnya tanpa dia tahu betapa bangganya abah pada dia. Ah...budak-budak. Bagi mereka kasih sayang itu perlu ditunjukkan dalam bentuk kata-kata dan tidak hanya pada perlakuan semata-mata. Tidak kisahlah betapa jerihnya abah menghantar dia tiap minggu ke latihan sukan, namun dia tidak mampu melihat itu semua sebagai tanda cinta. Matanya hanya saksi pada majazi. Normal? Kukira semua kanak-kanak begitu. Mereka hanya akan sedar makna cinta bila usia bercambah dewasa. Kerana itu, cinta perlu diungkap...
Dan aku?
Sebagai orang yang paling rapat dengannya setakat 15 tahun ini, sebagai orang yang jadi diary tempat dia menulis isi hatinya, sebagai dinding tempat dia melepas marahnya, sebagai telinga tempat dia membisik sedih dan gembiranya....turut luluh melihat kisah sendu ini...nasib baik aku ingat aku pakai eye liner avon yang tak waterproof yang bakal cair bila-bila masa. Kalau tak, aku pun naik sekali join makcik-makcik yang nangis sakan peluk-peluk anak tu....
Kepada Arin dan abang...
Kisah pemberontakan jiwa antara ayah dan anak adalah suatu fasa yang akan berkitar menurut paksi-paksi masa tertertu. Kita pernah melalui fasa itu dan kita juga pernah berlagak bak pendekar menentang segala batas wajar yang telah ditetapkan oleh orang tua kita. Apapun yang kita rasai sekarang adalah musim penggantian yang Tuhan berikan atas hutang yang pernah kita lakukan di usia remaja dulu. Tuhan memberikan pengulangan bukan sekadar untuk membuat kita memahami karma. Tapi juga sebenarnya memberi peluang untuk kita menebus dosa, memperbaiki kesilapan dan sekaligus mencari penemuan yang lebih tepat dalam menghadapi konflik di dunua remaja. Kita selalu merasa orang tua kita dulu silap menggunakan pendekatan. Maka, perbaikilah kesilapan itu sekarang. Dan janganlah pula kita sekali-kali berputus asa dengan anak seperti mana kedua orang tua kita yang tidak pernah berputus asa dengan kita...
Subhanallah...
Aku bersyukur merempuh masa untuk ke sini.....
Amin...
1 comments:
Syabas dan tahniah..insya'allah..beroleh kejayaan cemerlang dalam UPSR.amin..
Post a Comment