Ini lagu kesukaan abah. Abah cakap, abah sukakan lagu ni sebab senikatanya. Lalu tanpa diminta, abah pun mula mengupas satu persatu makna dalam bait senikata lagu tersebut. Aku masih ingat lagi waktu tu umur aku baru 11 tahun. Ternganga-nganga aku dibuatnya.
Hendak dijadikan cerita, beberapa hari lepas tu, guru Muzik kami tak masuk kelas dan digantikan dengan seorang guru pelatih yang baru ditempatkan di sekolah kami. Pasal dia tak tahu mahu ajar apa, jadi dia pun bawa kami berborak-borak pasal lagu. Dia tanya apa lagu kegemaran kami. Memandangkan waktu tu tengah popular lagu Hukum Karma dari Wings, maka kawan-kawan kelas aku pakat-pakat cakap suka lagu tu. Lepas tu cikgu pelatih tu suruh kami nyanyi pula lagu kegemaran kami. Waktu tu aku masih ingat betapa paniknya aku. Bukan apa, aku ni memang lemah sikit kalau bab-bab menyanyi ni. Lagipun, menjadi anak abah, aku tak begitu terdedah dengan lagu-lagu baru sebab di rumah aku cuma ada kaset P.Ramlee dan Uji Rasyid saja. Aku doa-doa agar masa cepat berlalu supaya cikgu tak sempat mau tanya aku.
Tapi mungkin cikgu perasan yang muka aku dah kalut, akhirnya, kena juga giliran aku. Oleh kerana tiada lagu lain yang ada dalam kepala aku waktu tu maka aku pun jawab sajalah kononnya itu lagu favorite aku. Satu kelas gelakkan aku kecuali cikgu. Dia tanya kenapa aku sukakan lagu tu sebab lagu tu sudah lama dan tak ramai generasi muda macam kami yang suka dengan lagu lama. Aku pula sebab mahu cover malu, terpaksalah berlagak bijak dengan mengulaskan kembali segala apa yang abah telah kupaskan pada aku sebelum ini. Sungguhpun aku tak berapa faham dengan apa yang abah cakapkan, tapi aku dapat menghafal dengan baik setiap satu ayatnya. Selesai saja aku memberikan penerangan, satu tepukan gemuruh yang berbunyi agak memerli datang dari kawan-kawan aku. Tapi aku tak pandang semua tu. Aku cuma pandang cikgu pelatih tu sorang saja. Dia orang terakhir yang tepuk tangan sambil tersenyum kagum. Waktu tu, aku percaya yang dia betul-betul sudah terpesona dengan segala penjelasan yang aku berikan.
Malamnya, aku tulis balik semua peristiwa tu dalam diary aku. Waktu tulis diary tu, aku cuba memahami kembali bait-bait senikata yang terlakar dalam lirik lagu tersebut. Aku cuba gabungjalinkan dengan penjelasan abah, dan akhirnya, aku mula mengerti sesuatu. Memang indah bait lagu ini. Ia menceritakan tentang kesanggupan seseorang untuk mengorbankan apa saja demi orang yang dicintainya. Si pencinta sanggup membelakangkan keinginannya, semata-mata untuk bahagia kekasih yang dicintainya. Aku masih ingat macamana tersentuhnya aku dengan lirik itu. Tiba-tiba saja aku teringatkan abah yang sanggup melepaskan jawatan tingginya sebagai engineer di sebuah syarikat perkapalan antarabangsa kerana sudah tidak tahan sering berjauhan dengan kami. Meski akhirnya keputusan abah telah membawa satu kesilapan fatal yang membawa kemerosotan ekonomi melampau dalam keluarga kami selepas itu, tapi abah tidak pernah putus asa untuk meneruskan perjuangannya. Abah bertatih merendahkan darjatnya menjadi pemandu bas sebagai satu pemula langkah pada kehidupan baru kami. Dan umi, yang sudah dibaluti dengan kesenangan yang pernah abah limpahkan padanya selama ini, mula belajar membuat kuih untuk dijual di pasar. Kemiskinan semakin menghimpit kami hinggakan umi pernah mengorbankan kain telekungnya untuk membuat baju sekolahku. Itukah pengorbanan?
Sejak itu aku pun bertekad untuk berkorban. Oleh kerana aku terlalu kecil untuk mengorbankan perkara yang besar-besar, maka aku bermula dengan berkorban kecil-kecilan. Aku memulakannya dengan berkorban perasaan. Menyedari betapa hidup semakin sulit, maka aku korbankan rasa maluku yang pernah menjadi anak orang 'kaya' untuk menjual kuih buatan umi di tamu. Aku juga mengorbankan masa senggangku bersama rakan-rakan semata-mata untuk menjaga adik-adikku sementara umi dan abah mengurus keperluan hidup. Paling penting, aku berkorban dengan pura-pura menikmati semua yang aku lakukan sungguhpun aku sama sekali tidak begitu redha dengan semuanya.
Hingga akhirnya aku sedar bahawa kebiasaan itu sudah menjadi pelazimanku sampai sekarang.
...bersambung...
2 comments:
satu bukti paling nyata kau mewarisi bakat UMI yang pandai buat masak dan buat kuih. ada satu yang paling aku ingat masa kita di SMA, waktu itu bulan puasa dan aku bagi kau kad raya....dalam kad raya tu...yang paling aku ingat...aku gelarkan kau "si Penjual jamu"....yang akhirnya aku menjadi warga SMA pertama yang mendapat balasan kad raya dari kau....hahaha......jangan lupa kau juga mewarisi bakat ABAH dalam banyak Hal.....heeeee...(maaf kalau saku salah menafsir)
penjual jamu...haha...lama sudah kulupakan panggilan itu. Tapi berkat jual jamulah kali aku kekal lawa aaaa tie....haha
Post a Comment