Wednesday, December 7, 2011 | By: Luna Biru

Review filem Ombak Rindu dari kacamataku



Aku sudah berjanji dengan teman bunga Melatiku untuk membuat review mengenai filem Ombak Rindu. Kami menonton filem ini bersama dengan janji temu yang sudah diatur sejak mula. Seharusnya aku membuat review sejurus selepas aku menonton filem tersebut.  Namun, memandangkan kadar kesihatan yang kurang baik maka aku menundanya hingga ke hari ini. Malah, saat menonton filem itu juga kondisi kesihatanku sudah mula berada dalam keadaan yang kurang menyenangkan. Aku khuatir sekali kalau keadaan kesihatanku menganggu pandanganku mengenai filem itu hingga memberikan penilaian yang tidak adil. Jadinya aku terpaksa menunggu sampai aku betul-betul sihat. Dan, ya, rasanya hari ini otakku sudah cukup sihat untuk menginterpretasikan filem itu berdasarkan kacamataku sendiri.


Sebenarnya, aku tidaklah begitu berghairah untuk menonton filem ini. Bukan kerana aku tidak sukakan hasil sentuhan Osman Ali atau mempertikaikan keindahan sastera yang dilakar oleh novelis Fauziah Ashaari. Tapi aku bimbang sekali kalau nantinya adaptasi ini hanya menjadikan cerita ini semakin keliru dengan pengolahan dan pengubahsuaian yang akan merosakkan jalan cerita. Sudah terlalu banyak filem adaptasi tempatan yang jauh menyimpang dari elemen idea asal. Kita lihat saja filem Lagenda Budak Setan karya Ahadiat Akashah, drama Badai Semalam karya Khadijah Hasyim atau Isteri, Rosmini Shaari. Mungkin bagi mereka yang tidak membaca novel tersebut tidak merasakan kekecewaan sebagai seorang pembaca kerana mereka hanya menonton. Namun bagi yang membaca, perbezaan ini amat dirasai kerana kita sudah disogok dengan imaginasi yang jauh menyimpang dengan visual yang dilayarkan. Dan, sebagai penulis novel,  tentu saja perkara ini sangat menyakitkan. Bayangkan sajalah kalau karya yang kita hasilkan dengan titik peluh dirosakkan oleh mereka yang merasa diri mereka lebih tahu tentang seni dari kita. Sementara kita sendiri pula sudah kehilangan hak untuk mempertahankan milik kita.

Oh. Maaf. Terlalu panjang mukadimahku. Itu maknanya aku sudah sihat betul sampai aku boleh menaip panjang lebar begini. Terima kasih Atie kerana telah mendoakan kesihatanku.

Baiklah. Berbalik pada review Ombak Rindu.

Aku tidak menafikan  betapa hebatnya filem ini hingga mampu mengundang air mata dan ilham cinta yang lahir dari penjelmaan karakter-karakter hebat. Plot cerita disusun dengan begitu baik hingga kita begitu jelas memahaminya. Sungguhpun penghayatan kita sesekali disentap dengan lompatan dari satu scene ke satu scene yang serasa dipotong tanpa izin, namun dalam sekejap kita mampu kembali lagi menghayatinya. Filem bagi aku, mudah saja. Asalkan penceritaannya baik, diikuti dengan pengolahan skrip dan susunan lakonlayar yang baik, maka baiklah filem itu. Bila semuanya itu sudah saling melengkapi, maka aku tidak terlalu memandang pada elemen-elemen kecil yang menganggu perjalanan cerita. Dan sememangnya filem Ombak Rindu melengkapi semua resepi itu. 

Andaikan aku tidak pernah membaca novel ini, sudah pastilah aku akan sangat bersetuju dengannya. Namun kerana aku sudah awal-awal disuguhi dengan idea Fauziah Ashaari, maka selengkap manapun resepi yang disempurnakan oleh Osman Ali, terasa belum benar-benar sedapnya. Baiklah. Biarlah aku bertindak adil. Andaikan saja aku belum pernah sama sekali membaca novel ini (dan sebenarnya aku tidaklah terlalu teruja dengan novel ini waktu membacanya dulu-aku hanya menyimpannya baik-baik dalam memori aku sebab plotnya agak berbeza dari novel lain), bagi aku filem ini terlalu cepat bergerak. Setiap adegan dihabiskan dengan gelojoh dan cepat meskipun pengarah mampu menutupinya dengan adegan yang sangat berjiwa. Kekuatan filem ini lebih tertumpu kepada kehebatan lakonlayar yang membuatkan kita memaafkan keadaan yang cuba disampaikan dalam bentuk melankolik yang menyentuh jiwa.  

Satu-satunya babak yang cukup aku kesali berlaku dalam keadaan yang begitu tergesa-gesa ialah ketika Pak Dollah membuka rahsia sebenar Hariz kepada Puan Sri. Alangkah baiknya jika babak ini tidak dilakukan dalam masa sesingkat itu. Namun, sekali lagi, kekuatan dialog dan keberkesanan lakonan Zaidi Omar menyelamatkan keadaan. Dan rasanya, itulah juga kekuatan sebenar Osman Ali dalam menggarap filem ini hingga mampu diceritakan dalam durasi masa dua jam. Memang bukan mudah menterjemahkan buku ke filem kerana filem itu visual manakala buku adalah interpreatsi minda. 

Aku tidak akan pula mempersoalkan keberkesanan dan kehebatan barisan pendukung watak dalam filem ini yang tidak dapat dinafikan lagi keunggulannya. Mimik muka, bahasa tubuh dan kekuatan dialog sangat membantu menghidupkan cerita hinggakan kita benar-benar percaya bahawa mereka semua telah bersatu dalam karakter masing-masing. Pertama kali mendengar Maya mengalunkan ayat suci kalamullah, hati bagai disentap kesyahduan hingga aku benar-benar percaya bahawa Maya itu adalah sebenarnya Izzah. Aaron Aziz sebagai Hariz bagiku berjaya mempamer watak kontradiksi personalit sebagai lelaki ego pada zahirnya namun lembut dalam hatinya. Watak ini membuat kita percaya bahawa darah yang mengalir dari orang baik-baik seperti Pak Dollah dan isterinya seharusnya menjadikan Hariz seorang yang baik namun oleh kerana dia dibesarkan oleh Puan Sri yang egosentrik maka perilakunya berubah.  Lakonan Lisa sebagai Mila yang terobsesi dengan impian puteri kecilnya juga mampu membuat kita membencinya, sekaligus merasa kasihan padanya. Bront Palare pula tidak perlu sepatah perkataan pun untuk menggambarkan perasaannya. Aku sudah lama mengkagumi mimik muka milik pelakon satu ini. Aku masih ingat Hati Malaya, Sekali lagi dan Anak Halal yang mana peranannya tidak sebagai pelakon utama, tapi cukup memberikan impak mendalam. Begitu juga dengan Zaidi Omar, Normah Damanhuri dan Delimawati, mahupun yang memegang watak Seha.

Secara keseluruhannya, epik melankolik yang menyentuh rasa sudah berjaya diabadikan dalam kisah ini. Jadi, supaya lebih adil, aku tidak akan membuat perbandingan mana yang lebih baik, samada filem atau novel. Keduanya mempunyai ciri tersendiri dalam meluahkan imaginasi idea. Mungkin kita terpaksa mengakui bahawa ini adalah Ombak Rindu versi filem dan itu adalah Ombak Rindu versi novel. Meski aku dapat merasakan kekecewaan yang dialami oleh Fauziah Ashaari, namun, sebagai penonton Ombak Rindu, aku boleh katakan bahawa filem ini sudah berjaya dalam penceritaannya. Apalagi yang kita mahu? Jika dibandingkan dengan filem-filem David Teo, filem ini ternyata jauh lebih hebat.

p/s : Aku tak suka babak Wahfi. Sangat menganggu.


2 comments:

Atie said...

nah...aku puas hati setelah dapat membaca review kau pasal filem ombak rindu. ternyata pendapat kau bernas sekali dan aku merasa puas dengan komenmu. memang betul lain indahnya dan kepuasannya saat membaca novel ombak rindu dan lain pula kepuasannya menonton filem ombak rindu. terima kasih zue atas review yang bagus sekali pada penilaianku yang kurang arif pasal filem, akukan paling suka membaca komen kau pasal filem, selalunya aku akan membaca review kau duluan sebelum aku memutuskan untuk menonton filem. tapi satu-satunya filem yang aku mahu tonton dulu sebelum membaca komen kau adalah ombak rindu, jangan lupa komen pasal "Slonglap" ya dan "Bila Kubur Berasap"(betulkah tajuknya ne...aku kurang pasti.....sebab aku dalam perhitungan samada mahu menonton filem ini atau tidak....komen skit pasal....Filem yang tajuknya ada kaitan dengan TOYOL tu...lupa la tajuknya....sebab aku kepingin mau tengok....hehehe

p/s: filem ombak rindu betul2 punya signifikan tersendiri sama aku zue....pengabdian cinta izzah, Milah, Hariz, malah si Bront sangat mengesankan aku... sampai2 aku teringat pada kisah cintaku yang selalu mati....sampai2 aku teringatkan cinta diamku.....hehehe...

Luna Biru said...

terima kasih kerana sudi membaca walaupun panjang lebar.

Post a Comment