Yakub demikian setia mengorbankan perasaannya demi Rahil yang dicintainya. Lea adalah pengabdian mutlak sang isteri demi merebut cinta seorang suami. Bilhah dan Zulfa pula sanggup menjadi pengkhianat setelah gagal mendapat sebarang tempat di hati Yakub. Mereka hanyalah sebuah tanggungjawab tanpa cinta. Alangkah malangnya...
Lalu Ruben, Yahuda, Lewi dan sepuluh lainnya adalah hasil kongsi kasih yang malang itu. Mereka adalah waris pencinta yang tandus perhatian dan dahaga cinta mutlak. Yakob telah memberikan semua cinta itu pada Yusuf yang digilainya setelah Rahil pergi meninggalkannya selamanya saat melahirkan Benyamin.
Cinta telah menjadikan manusia hilang arah kewarasan. Seperti Yakub yang tanpa sedar telah membelakangkan hati berbelas manusia lain demi satu cinta untuk Yusuf; dia telah bersikap pilih kasih hingga timbullah pengkhianatan dan cemburu yang akhirnya membawa terdorongnya kerakusan sebuah nekad. Cinta Yakub juga telah membuatnya lupa bahawa Tuhan juga bisa jadi pencemburu setelah dia meletakkan dua cinta dalam hatinya.
Maka banyaklah hati terluka lantaran cinta yang keterlaluan itu hingga membawa Yusuf terdampar ke lautan takdir yang tak pernah terfikir olehnya. Dan Zulaikha, bagai Yakub, adalah lambang pencinta tegar yang sudah terobsesi oleh keliru dan rasional. Tak ada dunia selain Yusuf. Sementara Yusuf, adalah bahagian dari tanda keindahan Tuhan, tak punya apa selain cintanya pada pemilik sejatinya.
Demikian adalah sinopisis rangkaian kisah Nabi Yusuf yang telah difilemkan oleh seorang penerbit Iraq. Filem bersiri ini memuatkan keseluruhan kisah Nabi Yusuf yang dimuatkan dalam Al-Quran, dicampur dengan pengumpulan data dari kitab-kitab lama Mesir. Jangan tanyakan aku haram-halalnya membuat filem yang merepresentatasikan nabi Allah, kerana aku bukanlah pakar dan aku bukan juga manusia yang bertanggungjawab membuat filem itu. Aku cuma penonton. Pembuatan filem ini tentu saja mendapat tentangan besar dari ahli sunni Al-Azhar. Namun mungkin, sedikit hukumnya dapat diinterogasi di sini.
Terdapat 111 ayat dalam Al-Quran dalam pengkisahan Nabi Yusuf. Setahu aku, filem ini pula mempunyai 98 episod. Aku tak tahu persis siri-siri nombor episod kerana aku menontonnya dalam bentuk CD yang telah dijilidkan kepada 10 bahagian. Satu bahagian adalah berdurasi 3 jam lebih. Jadi itu bermakna aku telah menghabiskan masa lebih 30 jam menonton filem ini selama 3 hari.
Melalui kisah Yusuf Allah telah membuktikan betapa benarnya saat Dia berkata berfirman:
Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) seindah-indah kisah dengan jalan Kami wahyukan kepadamu Al-Quran ini, padahal sebenarnya engkau sebelum datangnya wahyu itu, adalah dari orang-orang yang tidak pernah menyedari akan halnya. (Yusuf ayat 3)
Kisah Yusuf memang ternyata sangat indah, seindah dirinya. Setiap nabi dan rasul punya kisah tersendiri. Tapi mungkin kisah Yusuf lebih dari yang lainnya kerana ia berakhir bagai sebuah fairy tale, penuh dramatis dan happy ending. Pencinta happy ending akan menangis penuh syukur.
Aku sendiri berkali-kali mentis air mata saat menonton filem ini terutama dalam bahagian 9; iaitu saat Allah menjawab semua penderitaan Yusuf. Instead of memikirkan halal-haramnya hukum, filem ini ternyata telah banyak memberi impak yang sangat mendalam hingga aku benar-benar memahami apakah sebenarnya makna cinta itu sendiri. Lakonan Mostafa Zamani, adalah sesuatu yang sangat luar biasa. Aku akui bisa angau melihatnya. Mungkin Nabi Yusuf meminjamkan cahayanya saat Mostafa melakonkan watak ini. Watak Zulaikha juga terkesan jauh lebih dari sekadar luar biasa. Tidak hairan Katayoun Riahi yang melakonkan watak ini terkesan wujudnya Zulaikha dalam kehidupannya selepas filem ini. Perannya telah berjaya membawa manusia mendalami makna cinta.
Banyak iktibar yang dapat kita saksikan dalam filem ini. Banyak pula jawaban yang aku temui pada persoalan yang selalu menganggu benakku dari kecil sejak diceritakan kisah ini. Salah satunya adalah mengenai penderitaan Nabi Yakub menanti anaknya. Terus-terang aku katakan, sejak dulu aku hairan mengapa Nabi Yakub menangis sampai putih biji matanya kerana menangisi pemergian anaknya. Tidakkah beliau merasa redha dengan takdir yang Allah tentukan? Dan ya, dalam filem terjawab; bahawa keredhaan dan keikhlasan pada takdir Allah adalah kunci pada kebahagiaan. Nabi Yakub sendiri telah ditegur oleh Jibril kerana kelemahannya ini. Kata kuncinya di sini ialah bertolak-balik pada kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan Ismail.
Dalam kisah ini juga Allah telah memberi perumpamaan kemarau sebagai kiamat. Sepertimana Nabi Yusuf yang mengerahkan penduduk Mesir menyimpan gandum di masa makmur, maka sebegitulah kita manusia adanya. Berapa banyak tuaian yang disimpan di lumbung gandum, sebegitu jugalah nantinya yang dapat diambil oleh mereka. Bukankah kita juga begitu? Seberapa banyak amal yang kita lakukan di dunia, amal itulah nantinya yang akan kita tuai di akhirat kelak. Sebuah metodologi yang sangat mudah tapi kita selalu alpa.
Dan kisah cinta Zulaikha? Demikian hebatnya cinta pada Yusuf hingga sanggup hidup sengsara lebih 30 tahun; menanggung beban rasa bersalah dan dosa yang kian mencengkam hingga tak tersisa apapun darinya kecuali dirinya sendiri. Dia tak sedar bahawa cintanya pada Yusuf adalah jambatan menuju ke jalan tauhid. Rindunya pada Yusuf adalah metafora rindunya pada sang pencipta. Setelah mengenali Tuhan, dia tak memerlukan apa-apa lagi, bahkan cinta Yusuf pun tidak diinginkannya lagi.
Tuhan menampakkan keindahan dan keagungannya dalam diri setiap Nabi. Lebih tepatnya. para Wali Tuhan dengan amal saleh adalah cermin dari sifat-sifatNya. Yusuf mendapat bahagian ini lebih dari yang lain. Dia adalah cermin sifat keindahan dan keagungan Tuhan. Tidak hairanlah Dia dicipta dengan segala keindahan.
dan Mostafa Zamani?
Kalau dia hanyalah sekelumit dari keindahan Yusuf sudah mampu membuatku angau, maka bayangkan sajalah kalau kita benar-benar berjumpa Yusuf! Kugoogle, Mostafa terpilih dari 3000 orang yang telah melalui audition. Sang penerbit mencari mata itu...mata yang dimiliki oleh Mostafa. Entah kerana dia telah mendapat ilham atau kerana dia sendiri pernah bertemu Nabi Yusuf dalam mimpi; yang nyatanya, mata itu memang sangat bermain peran dalam filem ini.
Hanya satu saja yang aku kesalkan;
bahawa cuma aku seorang yang menonton filem ini. Betapa inginnya aku menonton bersama abang dan anak-anak, agar kami semua dapat mengupas makna yang cuba disampaikan dalam filem ini. Malangnya, mereka bukan sekutuku....Mudah2an Allah mengurniakan aku keturunan yang bergila-gila macam aku.
Demi sesungguhnya, kisah Nabi-nabi itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang mempunyai akal fikiran. (Kisah Nabi-nabi yang terkandung dalam Al-Quran) bukanlah ia cerita-cerita yang diada-adakan, tetapi ia mengesahkan apa yang tersebut di dalam Kitab-kitab agama yang terdahulu daripadanya, dan ia sebagai keterangan yang menjelaskan tiap-tiap sesuatu, serta menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi kaum yang (mahu) beriman.
(Yusuf/111)
Kalau mahu tonton filem ni secara online boleh layari di sini. Aku menyeru dengan segala rendah hati pada kamu semua....tontonlah... kalau boleh merayu, maka inilah rayuanku...
0 comments:
Post a Comment