Tuesday, May 14, 2013 | By: Luna Biru

Bila cikgu khilaf a.k.a Bila cikgu memang baran

Kisah cikgu pukul murid mungkin tajuk yang paling biasa kita dengar (aku cakap pukul, bukan rotan ok. Rotan dibenarkan dengan bersyarat). Jumlahnya barangkali sama dengan kes ibubapa dera anak. Bezanya cikgu tak lah sampai ke tahap mendera sebab mungkin tak banyak masa macam ibubapa yang hidup mati dengan anak. 

Tapi biasa atau tidak didengar, nyatanya kisah ini tetap menjadi duri yang menyakitkan dalam kehidupan masyarakat kita. 


Guru dituntut untuk lebih bersikap sabar kerana mereka adalah golongan professional yang terdidik dengan ilmu psikologi dan disiplin etika kerja. Menolak pada hakikat bahawa guru itu juga manusia biasa yang punya masalah, emosi dan beban, maka masyarakat menolak mentah-mentah alasan bahawa guru itu memukuli murid kerana kesalahan murid itu sendiri. 

Sebagai guru, aku faham perasaan guru yang terlibat dalam kes seperti ini. Ya, kita kadang tidak mampu mengawal kemarahan apalagi bila kehidupan seakan tidak berada di pihak kita. Beban tugas dan deadline selalu membuat kita terjerut antara perangkap masa dan objektif PDP yang belum dicapai. Kadang pula, hanya jasad saja berada di dalam kelas manakala hati pula ada di dalam timbunan fail. Saat inilah kita sering diuji dengan karenah murid yang macam-macam. Lalu iman pun bergolaklah bila sang syaitan tahu persis bahawa kita berada di luar batas ketenangan. Kita pun khilaf. 

Tapi sedarkah kita bahawa ketidakmampuan kita mengawal murid pada hari itu adalah sepenuhnya berpunca dari kita yang gagal menguasai diri? Kita sendiri tidak bersedia dari segi mental dan perancangan mengajar hingga murid sedar akan kekurangan yang ada pada PDP gurunya. Kita kena akur bahawa terdapat lebih 30 orang murid pelbagai kecerdasan yang bercampur di dalam satu kelas. Kegagalan kita merancang menjadikan kita selemah-lemah guru. 

Lazimnya, apabila kekhilafan ini terjadi, rasa penyesalan akan datang mengetuk sukma saat kesedaran kembali menjenguk. Ada antara kita yang sudi menghulur maaf dan ada pula yang tekad menegak kebenaran. Situasi semakin meruncing apabila pihak ibubapa terus-terusan menghentam kekhilafan kita tanpa ampun. Ego, marah dan kesal bersatu. Mana yang mahu dipilih? 

Betul, tiada cikgu bodoh suka-suka nak pukul murid. Tapi, sebagai guru, kita juga kena ingat bahawa memukul juga ada caranya. Aku percaya kalau cara itu betul, ibubapa akan faham. Aku juga percaya kalau kita fahamkan murid tentang kesalahan mereka, murid-murid ini tidak akan bertindak untuk membalas dendam dengan mengarang dongeng kepada ibubapa mereka. Memukul bahagian muka bukanlah satu resolusi walau apapun alasannya lebih-lebih lagi kalau kita mengajar di tahap 1. Bayangkanlah kalau hal ini berlaku kepada anak anda sendiri (waktu tulis ni aku terbayang Abe dan Ade yang nakal). Memukul biarlah beradap. Pukul mendidik, bukan membelasah, apalagi mendera. Rasulullah sendiri mengharamkan memukul bahagian muka atas alasan-alasan tertentu. Bahkan dalam Islam sendiri sudah menetapkan syarat untuk memukul. Ini bermakna, memukul tidak salah asalkan mengikut peraturan. 

Kalau khilaf menjadi pertaruhan, maka atas nama penyesalan, aku cadangkan agar  para cikgu yang terkhilaf ini segeralah menjernihkan keadaan dengan sebaik-baik urusan. 

Tapi, kalau sudah cikgu tu memang jenis yang panas-baran, susah sikitlah nak komen, kan? Tidak dinafikan memang ada cikgu yang sakit mental, makan syabu atau sememangnya berpenyakit hitam. Kalau anak anda dipukul oleh cikgu sebegini, maka carilah penyelesaian terbaik. Kita punya saluran-saluran tertentu khusus untuk menjaga kebajikan kita. Gunakanlah sebaiknya. 

Jadi, kepada para ibubapa yang pernah mengalami masalah seperti ini, jangan cepat melatah. Selidik dulu punca anak dipukul. Kalau mereka dipukul oleh guru yang khilaf, maka itu bermakna ia tidak akan menjadi kes berulang. Kesalahan mungkin bermula dari anak anda. Sungguhpun tidak ada alasan yang dapat menghalalkan kekhilafan guru ini, tapi berpada-padalah kalau mahu 'menghentam' guru balik.

Tapi, sekiranya anak anda dipukul oleh guru yang memang panas baran, maka bertindaklah segera untuk melindungi anak anda. Betul, guru itu golongan professional tapi tidak ada yang dapat menjamin bahawa mereka normal sepanjang usia perkhidmatan mereka. 

Sebagai guru, sebagai ibu, aku juga sering terperangkap antara emosi dan rasional. Waktu aku khilaf dan 'terpukul' anak orang, aku rasa aku berada di pihak yang betul. Tapi bila anak aku dipukul cikgu, baru aku tahu apa rasanya mak bapa budak tu yang bermati-matian kusangkal hak mereka. 

Wallahuaklam. Sama-samalah kita memperbaiki diri. 

p/s : Tulisan ini hanya untuk guru yang mengajar sekolah rendah sahaja. 








0 comments:

Post a Comment