Tuesday, April 24, 2012 | By: Luna Biru

Terima saja

Sekian waktunya aku sudah terarah menjadi manusia yang bebal rasa. Sedari kecil selalu dipaksa berkorban untuk orang lain dan mengorbankan perasaan serta kemahuan sendiri sebagai satu jalan pintas meredakan ketegangan. Aku mesti jadi lilin, jadi lampu atau jadi api yang sinarnya dapat menerangi malam yang gelap. Aku dipaksa akur untuk menidakkan segala kemahuanku, bahkan hak ku sekalipun. Aku juga perlu menerima kenyataan bahawa aku bukan istimewa, dan tidak ada ruang di dunia ini untuk aku diistimewakan seperti manusia-manusia lainnya yang hidup di sekeliling aku.


Ya. Itu sudah kumaklum dan sudah jadi sebahagian dari darah dagingku. Ajaran yang diasak dalam kepalaku itu sudah sebati dengan kewujudanku. Umi dan abah sudah berjaya mendidik aku sebulat acuan mereka.

Tapi kadang, hati ini tersentap juga. Aku cuma manusia biasa. Aku boleh saja berkorban sepanjang waktu, bahkan setiap detik nafasku sekalipun. Tapi, ada waktu-waktunya, saat aku tersepit antara ruang, batas dan waktu, hatiku ini menjerit juga mohon sedikit pengertian untuk dimengerti. Sedikit saja. Aku bersumpah tidak akan meminta lebih. Malangnya, sampai ke detik itu pun selalu tiada yang sudi memberikannya untuk aku.

Kenapa?

Kerana aku jarang meminta lalu permintaanku dianggap janggal?
Kerana aku jarang mengeluh maka keluhanku dianggap fatal?
Kerana aku jarang menuntut maka setiap tuntutanku dianggap bebal?

Lalu aku mesti apa? Menyalak-nyalak di tepi bukit atau di facebook?

Mengertilah aku juga tidak suka meminta. Apalagi merayu domba agar aku dikasihani. Tapi bila sekali rayuku hulur, itu bermakna aku benar-benar sudah tersepit.

Kenapa tak satupun dari kamu yang dapat mengerti?

0 comments:

Post a Comment