Sunday, April 29, 2012 | By: Luna Biru

Bertahanlah...wahai anak-anakku

Bercerita sekisar kisah anak-anak yang mulai membesar ini memang amat menyentap rasa keibuan. Karenah anak-anak baru mahu mengenal dunia, ada-ada saja keputusan yang dibuat tidak difikir dua kali. Apalagi kalau sudah mulai pandai menyimpan rahsia. Nah...maka bermulalah episod sorok-sorok yang bakal membawa padah.


Aku akui lagi ini semua berpunca dari kesilapanku sendiri. Aku memang agak sibuk akhir-akhir ini sampai tiada masa yang benar-benar dianggap terbaik untuk keluarga. Aku cuma ada masa satu jam di rumah seusai pulang sekolah dan itu pun kuhabiskan dengan menyiapkan diriku untuk bertugas pada waktu petang pula. Bila pulang, selesai ini dan itu yang namanya wajib, aku mulai menyatu diri lagi depan kerja-kerja sekolah. Bila anak-anak mengadu, aku cuma mendengar separuh telinga, dan kemudiannya mencari jalan mudah untuk menyelesaikan masalah mereka. Tidak ada waktu yang benar-benar bisa mendengar dengan hati. Bertentang matapun jarang. Hanya salam cium di waktu pagi saat mahu berangkat ke sekolah jadi pengerat hubungan.

Lalu, semua itu dijadikan alasan untuk bertindak luar biasa. Tanggapan bahawa aku tidak memperdulikan mereka telah mendorong anakku yang seorang itu mulai mencari jalan untuk membebaskan gemuruh seorang remaja. Subhanallah...syukur saja aku mendapat tanda buruk. Allah itu maha pengasih lagi maha penyayang. Dia tahu bahawa aku ikhlas melakukan tugasku maka Dia pun menyelamatkan anakku. Tak wujud istilah anak kera disusukan anak di rumah mati kelaparan, kerana Allah sentiasa ada untuk memastikan anakku tidak 'mati kelaparan'.

Wahai anak-anak mama sekalian...

Tidak pernah terlintas di fikiran mama untuk menelantarkan kalian semua. Memang, tindakan mama kadang-kadang agak keterlaluan menyebabkan kamu semua berfikir bahawa mama lebih mementingkan tugas dari keluarga sendiri. Atau barangkali juga kamu sudah jenuh berebut kasih sayang. Masing-masing menanggap bahawa yang ini lebih disayangi dari yang itu; yang itu lebih diberi perhatian dari yang ini. Tapi mama mohon pengertian kamu semua. Jangan sesekali pernah berfikir bahawa mama pernah membeza-bezakan kasih sayang. Apa yang mama beri pada yang terkemudian dari kamu adalah sama seperti apa yang mama pernah beri pada kamu waktu kamu sebaya mereka dulu. Apa yang mama lakukan sekarang, segala kesibukan-kesibukan ini adalah tugas yang sama seperti yang mama galas sejak 14 tahun yang lalu, saat mama mulai menjadi guru. Segala kejayaan yang mama kecapi sekarang sudah pernah mama kecapi sejak dulu lagi. Kalian fahamkah? Mama tidak mengejar kejayaan itu untuk diri mama. Bukan kejayaan yang mama kejar. Mama hanya lebih menumpukan kepada pembangunan modal insan itu sendiri. Bagi mama, menjadi guru itu bukan cuma mengajar manusia ke arah akademik semata-mata. Tapi juga membina jati diri mereka melalui bidang kemahiran yang mereka tak pernah sedari kewujudannya dalam hidup mereka. Bukankah kalian sendiri pernah melalui saat-saat itu? Kamu semua pernah menjadi murid mama. Oh..mungkin masa sudah merenggut segala kenangan itu. Tapi percayalah...segala jati diri yang ada pada kamu sekarang ini adalah bermula dari segala apa yang mama pernah berikan pada kamu sebagai guru, sehinggakan kamu pernah mengkagumi mama bukan sebagai mama, tapi sebagai teacher Zue...Sekarang adalah giliran adik-adik kamu...dan mama hanya melakukan rutin kehidupan mama persis seperti apa yang mama pernah lakukan pada kamu dulu.

Anak-anak mama...

Mama minta maaf kalau mama terlewat untuk memahami kamu. Mama juga sudah penat memahami kehidupan mama. Kadang, ada waktunya mama ingin saja berhenti dari semua ini. Tapi bila melihat cahaya di mata anak-anak didik mama, yang tiga daripadanya adalah anak mama sendiri, maka mama kalah lagi. Mama hanya ingin memberi mereka peluang untuk menikmati kejayaan, sama seperti apa yang mama pernah berikan pada kamu dulu. Mungkin cara mama agak keterlaluan dan sudah tidak sesuai lagi digunakan di zaman ini.

Baiklah. Mama akan berubah. Mulai detik ini, tidak ada lagi istilah mendengar separuh telinga. Kalau kamu datang dan mengadu, datanglah pada mama dan mama akan tinggalkan semuanya untuk mendengarkan kamu. Mama akan menatap mata kamu dan mendengar dengan sepenuh hati mama. Mama tidak akan lagi mencari semudah-mudah jalan untuk menyelesaikan masalah kamu dan kita akan sama-sama memecahkan setiap permasalahan dengan cara yang dipersetujui bersama. Mama tidak akan menangguh-nangguh lagi janji yang telah kita sepakati bersama. Kamu adalah intan di jiwa mama. Murid-murid mama adalah permata di hati mama.

Anak-anakku...bertahanlah. Jangan mudah dipengaruhi oleh sesuatu yang namanya emosi. Sesuatu yang seronok itu selalunya membawa akibat yang fatal. Gunakanlah segala ilmu yang mama berikan selama ini dengan bijaksana. Janganlah hanya kerana anggapan kamu yang salah tentang mama menyebabkan kamu mengambil keputusan yang salah dalam hidup kamu. Hidup bukan selebar daun kelor. Hidup biarlah berpaksi atas iman dan fikiran yang rasional. Jadilah seperti ikan di laut; yang takkan pernah masin meskipun di kelilingi oleh laut yang masin. Pandai-pandailah memilih kawan kerana mama tak mungkin dapat mengintai setiap latar belakang kawan-kawan yang kamu gauli. Ingatlah, berkawan dengan penjual minyak wangi, kita juga akan menjadi wangi. Berkawan dengan penjual cacai angkat najis, kita juga akan berbau najis.

Kawan datang dan pergi, tapi keluarga, tetap untuk selamanya.

Ingatlah anak-anakku, kuberi kamu sayap dan kamu terbanglah. Tapi jangan lupa untuk pulang...


Ya Allah...terima kasih kerana memberiku ilham di saat-saat aku kehilangan arah. Lindungilah anak-anakku Tuhan sepertimana engkau sentiasa melindungi aku. Insya Allah...Amin...

0 comments:

Post a Comment