Monday, June 10, 2013 | By: Luna Biru

Damai Eco Ranch, Ranau (Episod 3)



Memang seronok sungguh berada di Damai Eco Ranch ini pada waktu malam. Biasanya pihak hotel mahupun resort yang kami pilih sebelum ini lebih menumpukan kepada acara relaxing. 

Berbeza dengan resort ini yang menyediakan pelbagai aktiviti pada waktu malam yang juga sesuai untuk semua lapisan umur, kecuali kanak-kanak kecil. Mungkin kalau ada peti cadangan, aku nak cadangkan agar pihak resort buat sedikit playground khusus untuk bebudak ni. 



Jadi untuk memulai acara malam ini kami mencuba untuk melakukan aktiviti memancing. Caj dikenakan RM2 untuk satu pancing tanpa had limit masa. Joran dan umpan disediakan. Kalau pemancing dapat ikan, harga ikan akan dikira mengikut jenis dan berat. Oleh sebab kami tak cukup bajet, jadi ikan yang dipancing dilepaskan semula. Kesian ikan tu sumbing bibirnya. 


Aktiviti kedua ialah bermain pool. Aku tak ingat berapa cajnya tapi lebih kurang RM10 untuk 4 game. Ngalih juga ni mau menghabiskan 4 game dengan tenaga pemain yang langsung tak professional ni. Game terakhir abang bagi saja dekat pelanggan lain yang sudah basi nunggu kami habis main. 


Sambil-sambil main pool, ada pula sebahagian yang try main archery. Anies jugalah pemain Hunger Game kami yang unggul. Baru mula main sudah tebakan tepat di tengah bulatan kuning. Yang lain tu, ke laut jugalah jawabnya....


Jadi itu sajalah aktiviti kami malam ni. Sebenarnya ada lagi permainan dart yang kami tak cuba sebab dikenakan deposit RM25. Pasal tak mahu tanggung risiko, aku pun tak joinlah game tu. 

Kami tidur agak awal malam ni sebab penat sangat. Jauh di sudut hati aku, walaupun agak gusar memikirkan soal bajet yang makin menyempit, tapi aku bersyukur sebab aku mampu bahagiakan hati budak-budak ni. Kepada mereka yang berminat untuk ke sini, kena fikir juga soal bajet makan. Cafe memang menyediakn makanan dengan kadar harga yang murah.Tapi bila ahli keluarga yang ramai macam kami ni, memanglah jadi beban juga.

Satu lagi info, sebelum ke sini, kena siapkan keperluan asas seperti rokok (ori), mineral water dan maggi. Kalau benda ni habis, agak sukar juga mau keluar membeli sebab memerlukan masa setengah jam untuk ke Pekan Ranau dan 6KM ke Poring. Air mineral dan maggi ada dijual di kantin termasuk rokok cap Pilak. Tapi oleh sebab rokok abang dunhill, maka terpaksalah kami turun ke Poring jam 8.00 malam semata-mata nak beli rokok...

0 comments:

Post a Comment