Sunday, October 13, 2013 | By: Luna Biru

Si cilik berjiwa besar

27 August 2011.

Itu adalah tarikh saat kali pertama aku menemui dia....si cilik berjiwa besar itu. Detik itu adalah menjelang dua hari sebelum Syawal menjelma. Aku masih ngotot belum membeli baju raya idamanku. Semua tak kena...yang itu warnanya kurang terang, yang ini pucat, yang satu mahal dan ya...macam-macam lagilah komplen-komplen ngeri.

...lalu aku menemui dia...

dia datang membawa sekeping laporan polis yang mengatakan bahawa rumah keluarganya baru saja hangus dijilat api. Dia memohon ehsanku untuk memberinya sedikit duit...cukup setakat untuk mereka empat beradik makan malam itu.


Sedercap keinsafan segera menyusup dalam hatiku yang tidak pernah dimamah puas. Alangkah malunya pada diri...di saat aku gila menghabiskan duit untuk menambah koleksi pakaian dalam almari, wujud dia yang tidak punya apa-apa...

Aku masih ingat malam itu aku menangis dalam kereta dan berdoa agar Allah wujudkan keajaiban untuk membuatnya ditahan oleh pihak berkuasa lalu dihantar ke RKK. Jadi bila dia di RKK nanti, sudah pastilah dia akan bersekolah di Sk.Surati. Aku benar-benar berharap agar doaku di malam-malam terakhir Ramadhan itu akan dimakbulkan Allah...

Setelah dua tahun berlalu...

Ternyata Allah telah memperkenankan doaku. Lebih menginsafkan, rupanya Allah telah memakbulkan doa itu tiga bulan selepas aku memunajatkannya. Hanya aku yang tidak sedar kerana aku tidak pernah masuk mengajar di kelas anak manis itu. Aku tidak pernah menyedari kehadirannya hinggalah saat ini...

Dan hari ini,
dia berdiri maujud di hadapanku. Berbekalkan masa lalunya yang kelam dan berbinar, dia bangkit menjadi seorang murid yang teguh dan berprinsip. Ternyata, dia masih merakam wajahku dalam kotak ingatannya, sama seperti aku yang tidak pernah melupakannya.

Kalau dua tahun lalu si cilik itu mengemis untuk mengisi perutnya, kini dia berdiri gah di atas pentas, bersedia menjadi juara D-Code dan sekaligus membawa sayapnya terbang ke Amerika.

Insya Allah....

0 comments:

Post a Comment