Wednesday, October 30, 2013 | By: Luna Biru

Isolasi


Saat papan kekunci ini kuketik, sebuah rasa rindu tentang isolasi membentak-bentak dalam diri. Sudah lama nian aku tidak menghayati makna sendiri dalam dunia yang cuma ada aku dan diari ini. Aku terlalu leka melayan nestapa hingga mencari jalan mudah untuk mencari bahagia, meskipun ia bukan diriku yang sejati. Aku cuba melarikan diri dari kerisauan yang panjang dan tanpa sedar menumpang belas orang untuk meminjamkan aku makna ketawa. Namun pada akhirnya aku tetap tak bahagia juga. Kepura-puraan tidak bisa berlangsung selamanya. Lalu pada akhirnya, kita tetap akan memilih untuk menjadi diri sendiri. Syukur saja kesedaran cepat datang sebelum keterlupaan dan keterlekaan menjadi maharaja yang berkuasa di atas dunia-duniaku. 


Lalu, di atas papan kekunci ini, yang ternyata jauh sekali bezanya dengan papan kekunci di telefon selular, aku cuba kembali menjadi diriku. Betapa aku ingin tenggelam dengan rakus kelegaan kerana telah menemukan kembali diriku yang sesat dalam media sosialisasi yang tidak ke mana. Rasa malu terbit dalam diri. Bagi mereka yang benar-benar memaklumi siapa aku, pasti hairan dengan tingkahku semenjak-dua menjak ini. Seperti bukan kau...bak kata seorang kawan baik. Tapi syukurlah kalau kau sudah kembali menjadi seorang Ade yang aku kenali. Ade yang aku rindu. Serindu aku pada hasil cetusanmu dalam artifakmu...

Maaf mengabaikan perasaan kamu semua. Sesungguhnya, aku tidak pernah benar-benar tahu kalau artifak ini adalah sesuatu yang bermakna buat kamu hingga kamu menantikan ketikannya setiap hari. Terima kasih kerana tetap setia bersama aku. Barangkali kehairanan kamu sampai ke telinga hatiku, lalu bertukar menjadi doa di langit sana, hingga aku pun mulai menginsafi diri. 

Hakikatnya, aku bukan sengaja membiarkan kamu-kamu semua tertunggu-tunggu update entryku. Atas alasan yang terlalu peribadi, atau mungkin juga tidak bisa kukongsikan, maka aku memutuskan untuk minta maaf saja. Dan aku tahu kalau kamu semua pasti sentiasa sudi memaafkan aku meskipun dengan persoalan yang tidak mampu kujawab. 

Baiklah. Setelah beraksi seperti manusia telanjang di dinding muka buku, maka hari ini, aku telah kembali ke sini. Cintailah aku seperti apa adanya dulu. Maafkanlah kekurangan dan kekhilafanku. 

0 comments:

Post a Comment