Wednesday, October 30, 2013 | By: Luna Biru

Dunia guruku

Aku tidak pernah bermimpi untuk menjadi guru. Tidak sekalipun, bahkan sedikitpun. Aku sangat menentang idea ini yang dicetuskan oleh arwah mama dan tentu saja didokong penuh oleh abah. 

Kalau kamu tanya aku, apa cita-citaku waktu kecil dulu, maka jawabku, sebenarnya aku sendiri tidak tahu. Ia adalah persoalan yang paling susah untuk kujawab hinggakan guru kelasku marah benar padaku. Kukira aku mahu jadi polis macam abah, aku mahu jadi pelukis, jadi novelis, jadi wartawan, jadi kaunselor, jadi journalis, jadi arkitek atau jadi manusia. 


Tapi akhirnya aku telah tersuruk dalam dunia guru.  Pilihan itu telah menjadikan aku kehilangan peluang-peluang yang lain. Dalam ketidakpastian, aku cuba meletakkan cintaku di sini. 

Dan kini, setelah 16 tahun berlalu, dalam segala kesulitan menterjemah makna dan dasar dunia keguruan, tanpa sedar aku sudah berdiri gah dalam entiti ciri diri yang tersendiri. 10 tahun mencari pengalaman di sekolah yang sama, dari lahir, lalu bertatih, jalan dibimbing dan makan disuap, dicemuh dan disanjung datang serentak; aku cuba terus mengenali diri. 6 tahun seterusnya aku mulai berdiri, berlari anak lalu kini berlari deras hingga tanpa sedar, aku sudah berlari terlalu laju dari manusia lain. Namun, tanggungjawab menjadi anak, isteri dan ibu adalah cubaan terbesar yang sering menjadi alasan untuk aku berhenti berlari. Syukurlah mereka ada di situ untuk menghentikan aku. Betapa tidak? Tanpa kewujudan sebuah institusi bernama keluarga yang kudirikan bersama suamiku, aku tidak tahu ke dunia mana sudah langkah ini kuheret. Sekarang kau mengertikan? Bahawa aku manusia yang mudah lupa diri. Mudah berlari tanpa menoleh ke belakang dan mudah tersesat dalam terobosan dunia yang ingin aku genggam. 

Jadi aku pun cuba memperlahankan langkahku biar kududuk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan orang lain. Jangan terlalu perlahan kerana nanti aku lupa lagi untuk berlari. 

Baiklah. 

Bidang keguruan ini ternyata sungguh menyeksakan. Kita tidak hanya terbebat dengan kekeliruan antara tugas utama dan tugas-tugas sampingan yang sudah menjadi utama. Kita juga terus dihimpit tentang waktu, kesulitan mengejar tarikh mati dan kegilaan merealisasikan ideologi dari manusia-manusia bijakpandai. Tapi sesulit apapun dunia itu, bidang ini adalah terlalu istimewa untuk dibenci. Buktinya, aku menyumpah diriku setiap malam saat menulis rancangan pengajaran di buku tebal yang epik; tapi bila besok, saat muridku dapat mempelajari sesuatu hasil dari perancanganku, aku ternyata bahagia sekali. Lalu bila aku keluar kelas dan murid-murid nakal menjerit,"I love you teacher! Will see you again tomorrow!"   aku jadi ketawa sendiri. Saat aku sakit dan tidak bisa hadir, lalu besoknya muridku akan menunggui aku di pagar, dan kemudiannya akan menjerit gembira begitu melihatku; seluruh kesakitanku hilang...tawa mereka, senyum mereka dan kata-kata polos yang keluar dari mulut mereka adalah penawar paling mujarab yang mampu menghapuskan kebencianku pada sistem pendidikan di Malaysia. 

Ya. Yang perlu dikecam adalah sistem. Bukan kerjaya. Kerjaya ini mulia kerana profesinya, kerana nawaitunya. Namun sistem telah mencemarkannya hingga kita tidak mampu lagi menjadi guru dalam makna yang hakiki. 

Guru Mengajar, Murid belajar? 

Itulah sepatutnya. 


0 comments:

Post a Comment