Thursday, April 18, 2013 | By: Luna Biru

Bila kelucahan menjadi senjata PRU13

Sedikit keliru menghadapi PRU13 ini bilamana kelucahan menjadi senjata ampuh untuk saling menumpaskan lawan. 

Keghairahan parti-parti yang tampil dengan semangat nasionalis dan cuba membakar ideologi patriotisme dengan cara sebegini sememangnya sangat menjijikkan. Sudah tentu kita yang hanya melihat tidak tahu menahu mengenai kesahihan duduk benar perkara ini. Namun sedemikian waktu kita terus didesak untuk percaya hingga setiap satu kita mulai berbantah-bantah tentang siapa yang lebih mulia. Lalu kita pun bertindak menjadi hakim dan pakar gencat.


Aku tak kata politik itu kotor. Tapi aku boleh katakan bahawa musim pilihan raya adalah musim paling kotor dalam dunia. Manusia sanggup melakukan apa saja demi menggapai impian. Namun kasihanilah manusia yang benar-benar berjuang kerana hak yang akhirnya dicabul oleh kerakusan sebuah mimpi. 

Ketaksuban dan kefanatikan adalah suatu kelemahan manusia yang hanya menghadkan makna kebenaran. Dua prinsip ini mampu mendorong kita untuk melakukan apa saja asalkan kita menjadi benar. Sia-sialah aku menunggu berpuluh tahun untuk menghadapi sebuah pilihan raya yang matang dan rasional. Hakikatnya, sampai kapan pun, musim pilihan raya itu tetap sesuatu yang menjijikkan. 

Dan aku?

Aku hanyalah seorang manusia kerdil yang hanya punya satu pena di tangan. Pena itu hanya punya satu peluang untuk menari di atas kertas yang bakal dipangkah nanti. Aku sudah punya jawapan sendiri. Begitu juga kamu-kamu semua. Betul, kita tidak mahu memiliki seorang pemimpin yang tidak bermoral. Tapi kita juga tidak akan mahu hidup di kalangan rakyat yang hanya tahu menabur fitnah semata-mata untuk menjadi benar. Tidak ada parti sempurna, itu hakikat yang kita kena terima. Tapi kita tidaklah mencari kesempuranaan. Hanya sekadar mencari kehidupan dengan kadar risiko yang lebih minima. 

Undilah dengan matang. Hentikan nilai kebiadapan dan kelucahan. Takut kelak, dunia sekotor ini akan ditiru oleh generasi akan datang. 

Wallahuaklam

0 comments:

Post a Comment