Sudah lama aku berhajat mahu apungkan cerita ni di udara. Malangnya selalu saja ada yang membantutkan niat. Harap kali ni hajat aku tercapai.
Baiklah.
Sepasang kasut di atas adalah pemberian dari seorang ayah murid aku. Ia bukanlah bersempena dengan Hari Guru mahupun hadiah hari lahir. Hadiah ini diberikan sebagai salam kemaafannya kerana anaknya telah terlanjur buat Teacher Zue marah!
Wah....macam best ceritanya, kan?
Sebenarnya aku tak berniat pun nak marah anak dia ni. Semuanya berlaku di luar dugaan aku sama sekali. Kenapa aku marah pun aku tak berapa ingat (atau sebenarnya aku ingat tapi aku malas nak tulis). Tapi apa yang pastinya, kemarahan aku tu telah menyebabkan murid aku ni teresak-esak menangis. Bila tengok dia macam tu, aku rasa menyesal pulak. Hajat hati nak panggil dia balik dan buat slow talk biar dia betul-betul faham sebab kemarahan aku. At least biar dia faham akan kesalahan dia. Itu bukanlah bermakna yang aku nak menghalalkan perbuatan aku tapi sekurang-kurangnya ia dapat meringankan beban murid aku dari menanggung sakit hati sorang-sorang.
Namun hajat itu tidak kesampaian sebab aku tak sempat nak catch-up dia balik. Sedar-sedar saja loceng sudah berbunyi. Akhirnya pulanglah murid aku ni dengan buku di dada. Frankly aku pun agak seram-seram sikit waktu tu sebab khuatir dia ngadu ngan bapa dia. Hampeh...siaplah aku besok kalau si bapa datang membela anaknya. Paling teruk kalau dia ngadu hal ni pada cikgu lain atau pada guru besar sebelum mendapat apa-apa explanation dari aku. Lebih parah lagi kalau dia ajukan komplen pada pihak PPD! Adeh...tau-taulah makbapak sekarang ni semua dah advance. Kalau dulu, bapa hantar anak pegi sekolah bawa rotan suruh cikgu rotan anak. Tapi sekarang dunia sudah jauh berbeza, Persepsi masyarakat kepada kaum guru juga banyak mengalami musim perubahan yang ketara...
Tapi alangkah terkejutnya aku bila esoknya aku dapati ada sekotak hadiah diletakkan atas meja aku. Bila aku buka, isinya adalah sepasang kasut seperti dalam gambar di atas. Kasut itu diberikan oleh ayah murid yang aku marah kelmarin. Dalam kadnya dia menulis yang dia minta maaf banyak-banyak sebab anaknya sudah buat aku marah besar. Dia juga berjanji akan lebih telus dalam menjaga anaknya agar tidak berulang kesilapan yang sama di masa akan datang.
Kau tau tak apa perasaan aku waktu tu?
Aku malu!
Kenapa aku malu aku pun tak tahu. Mungkin aku malu sebab aku tak sedia dengan respon seperti ini. Mungkin aku malu bila kemarahan aku dibalas dengan idea yang langsung tak terlintas dalam kepala aku macam ni.
Entahlah.
Apa yang pastinya, aku malu yang sangat-sangat sampai aku tak tahu mana nak sorok muka aku. Aku lebih malu lagi bila si murid rupanya sedang perhatikan aku dari celah tingkap dan menunggu reaksi aku sambil tersenyum-senyum kambing. Cepat-cepat aku letak balik kasut tu dalam kotak dan sorok bawah meja. Waktu rehat, murid tu datang jumpa aku dan tanya kalau kasut tu sesuai tak dengan saiz aku. Katanya, kalau tak sesuai, bapanya suruh pulangkan balik supaya dia boleh tukarkan saiz yang ngam dengan kaki aku. Pernyataan itu lagi buat aku malu besar....Sudahnya, aku selalu cuba elak dari tertembung mata dengan murid aku sorang ni dan paling penting, aku mengelak dari terserempak dengan bapa dia yang selalu jemput dia pulang sekolah.
Kini, sudah hampir setahun perkara ni berlalu. Murid aku ni sudah pun masuk tingkatan 1. Aku dah berapa kali cuba pakai kasut ni terutama bila si murid asyik tanya kenapa aku tak pernah pakai kasut yang bapa dia bagi. Macam mana aku nak jawab ya? Korang tengoklah tumit kasut yang tinggi gila tu....Sanggup ke korang nak pergi mengajar pakai kasut tu. Pulak tu kena panjat tingkat dua lagi! Silap-silap bila aku marah, aku bantai je murid aku guna tumit kasut ni. Bukan aku tak hargai pemberian orang, tapi agak-agaklah....
Apapun, jauh di sudut hati aku, aku sebenarnya merasa terharu atas pemberian ini. Bukan sebab nilainya pada matawang ringgit. Tapi kerana nilainya dari sudut keguruan. Sungguh, aku memang marah full-blast pada anaknya waktu tu. Jadi aku tak sangka sungguh kalau kemarahan itu akan dibalas dengan cara selembut ini. Lebih dari itu, aku tak sangka kalau di dunia moden begini, masih ada manusia a.k.a mak bapak yang masih hargai nilai kemarahan seorang guru. Kemarahan kami selalunya dipandang serong dan lazimnya sering tidak diendahkan. Siapalah kami di mata mak bapak yang jauh lebih educated dari kami....tapi kes ini sekurang-kurangnya telah mengubah sedikit persepsiku.
Kepada murid aku, teacher minta maaf sebab terlanjur marah dengan kadar yang begitu maksima pada kamu dulu. Teacher ni memang ada masalah throwing tantrum sikit. Teacher bersyukur kamu tidak ambil hati dan menerima semua itu dengan hati terbuka. Kepada si encik bapa....er.....anak encik ada tiga orang lagi ni saya nak ajar. Kalau saya marah lain kali, tolong jangan bagi kasut 4 inci lagi ye...tapi bagilah kasut snikers nike ke, adidas ke....hehe....
Fuh...lega. Akhirnya keluar juga cerita ni.
0 comments:
Post a Comment