Aristoteles pernah mengatakan bahawa manusia dengan segala sifatnya adalah memiliki kerumitan yang sama dengan alam semesta.
Kerumitan utama dalam diri manusia pada pandangan aku adalah berpaksi pada soal emosi dan perasaan. Setiap manusia memiliki ketidak stabilan emosi, itu yang pasti. Ada manusia yang mempunyai nilai ketaksuban yang tinggi tetapi kurang logistik ; ada pula yang kurang prejudis tetapi pendendam ; ada pula yang mudah merasa tertekan serta tahap kecemasannya tinggi ; dan ada bermacam lagilah....
Namun kerana kita manusia, maka Tuhan menganugerahi kita akal untuk berfikir dan kemampuan untuk mengawal diri sebagai satu usaha untuk menyeimbangkan segala ketidakstabilan pada emosi itu. Malangnya, berapa ramai antara kita yang mampu menggunakan senjata ampuh itu untuk menyelesaikan masalah ketidakseimbangan ini?
Ok. Itu mukadimah untuk entry yang cuba kutulis agar tidak melukakan hati siapa-siapa ini. Aku sendiri sebenarnya tidak tahu letak diri aku di karakter mana. Aku juga seperti manusia lain mempunyai masalah ketidakseimbangan emosi yang sudah tentu sering membawa keburukan pada orang lain. Itu fitrah kita sebagai manusia. Tapi itu bukanlah satu jalan untuk menghalalkan segala onar yang telah kita lakukan kesan daripada kesalahan memilih emosi. Salah tetap salah. Kita tidak mungkin mampu menjadi manusia sempurna yang celik berfikir sepanjang masa. Satu-satunya hal yang boleh kita lakukan adalah dengan meminimakan risiko pada keterlanjuran emosi yang telah kita lakukan.
Apapun, seumur hidupku, aku sudah cuba sebaik mungkin untuk tidak bersikap prejudis dalam membuat keputusan mahupun dalam rentak caraku berfikir. Prejudime bagiku adalah pembunuh senyap yang menikam hak kebenaran dan kewarasan kita untuk berfikir. Fikiran yang terarah pada prejudisme menutup ruang di bawah sedar kita untuk melihat sisi baik pada diri seseorang. Memegang pada prinsip bahawa manusia itu dibuat dari seketul daging, maka aku percaya bahawa daging itu tetap berguna meskipun ia sudah membusuk. Tapi apalah dayaku untuk memaksa orang lain berfikir seperti aku melihat dunia. Bak kata pepatah, sikap manusia itu dibentuk oleh pemikiran. Pemikiran manusia itu pula dipengaruhi oleh ilmu dan pengetahuan. Mungkin sebilangan manusia menganggap bahawa prejudisme adalah satu cara hidup. Kepercayaan itulah yang kemudiannya mencampakkan aku ke laut mati berkali-kali. Aku sudah berkali-kali cuba melatih diri untuk memiliki sikap sebegini. Namun agak malang kerana aku tidak terlahir untuk memiliki sifat genius yang boleh mentransformkan diri aku secepat sesumpah.
Pengajaran pada hari ini; Prejudisme itu membunuh. Ia bukan saja membunuh hubungan baik, tapi juga membunuh sifat baik dalam diri kita. Prejudisme menerbitkan sifat was-was yang melampau hingga kita tidak lagi mampu mengizinkan fikiran baik melintasi perjalanan otak kita. Was-was itu pula adalah perasaan yang sentiasa curiga pada kejujuran orang lain hingga kesannya kita kelihatan seperti manusia yang perasan bagus a.k.a angkuh. Keangkuhan ini pula adalah kunci kepada riak samada kita sedar mahupun tidak.
Sekarang kau lihatkan chain-reaction daripada sebuah ketidakstabilan emosi yang penuh prejudis?
0 comments:
Post a Comment