Wednesday, August 8, 2012 | By: Luna Biru

Peluru-peluru sesat

Aku memahami kalau kekadang kita khilaf mengatur emosi. Bagai sebuah peluru berpandu yang kehilangan kompas, maka ia pun tersesatlah tanpa peduli siapa atau apa.

Aku juga kekadang berada dalam situasi itu. Oleh itu, aku tidak susah untuk memahaminya, sekaligus memaafkannya. Sama seperti aku mengharapkan agar orang lain mahu memaafkan aku, saat aku menghadapi situasi kritikal melawan antara nafsu marah yang serakah dan akal waras yang rasional.  

Tapi suatu hal yang perlu diakui ialah; samada kita suka atau tidak, nyatanya, peluru yang sesat itu pasti akan mencederakan orang lain. Memahami atau tidak, si mangsa tetap merasa kesakitan yang sama. Sengaja atau tidak, yang pasti kita sudah keburu menjadi pesalah. 

Jangan biarkan peluru sesat mengembara tanpa kemudi. 
Tuesday, August 7, 2012 | By: Luna Biru

Sebaik-baik amalan

...lalu aku pun mengimbas kisah sejarah 3 pemuda yang terkurung di dalam gua. Ditolak sekuat apapun pintu gua namun batu yang menutup langsung tak mahu berganjak. Lalu ketiganya pun duduk bertafakur dan menyerah seluruh diri kepada Tuhan. Mengharap belas dan ehsan agar Dia yang Kuasa mahu menggeser sedikit batu besar itu dari terus menghadang pintu gua. 

Masing-masing pun bertelekulah...mengingat kembali akan sebaik-baik amalan yang pernah mereka lakukan di bumi selama ini sebagai jalan menuju ehsan Allah. Pengakuan demi pengakuan akhirnya meringankan ujian maka sampai akhirnya pintu gua pun terbuka. Mereka pun berjaya lolos dari kesengsaraan itu dengan selamat. 

Kisah itu begitu membekas dalam diriku meski ia diceritakan saat usia masih merah jambu, Ia kemudiannya menjadi inspirasiku untuk terus berlaku pasrah saat kemelut menyelubung. Namun hari ini aku tertanya diriku; apakah ada lagi sebaik-baik amalan yang ada aku lakukan sejak akhir-akhir ini? Puas kugali ternyata aku cuma menemukan dua kebaikan yang seikhlas-ikhlasnya kulakukan. Cuma dua...untuk seribu ratus kesalahan yang telah aku lakukan...

Oh...kalaulah dua amalan yang ikhlas itu (kononnya), dapat mengubah apa-apa yang dipanggil keterlanjuran. 

Nawaitu

Pernah kutanyakan pada abah kenapa manusia itu solatnya cukup, zikirnya panjang-panjang, ngajinya sering malam-malam, muzakarahnya lebar-lebar, tapi hatinya masih busuk? Kenapa segala amalan-amalan baik itu, tidak mampu mengubah individu itu menjadi manusia yang takwa dalam ertikata sebenar? Padahal, kalau dihisab duluan tentang solat, antara aku dan mereka, pasti aku yang tertinggal di dinding neraka.


Lalu abah menjawab bahawa "Setiap amalannya itu bergantung pada niat,". Ia bersesuaian dengan hadis Rasullullah dan abah pun mulai menterjemahinya. Akhir sekali abah menutupnya dengan sebuah persoalan untuk aku kupas sendiri;

Hukuman

...lalu aku pun menerima natijah atas kesalahan telingaku yang gagal menafsir suara.
Celaka benar telinga itu patut kupotong saja ia biar ia yang menerima hukuman atas kegagalannya mendengar. Atau patut kukeluarkan saja otakku kerana otak itulah yang lewat menafsir pesanan yang dihantar oleh telinga. Atau patut kubuang saja hatiku kerana hati itulah yang mudah tersentap hingga gagal menjadi pemaaf.
Ketiga-tiganya adalah pesalah besar maka mereka sudah selayaknya untuk dihukum.

Pasti malam ini kan kutoreh ketiganya keluar dari anggotaku
lalu kuletakkan di atas dulang putih jernih berbunga merah muda
Kan kuhantar semuanya masuk penjara
biar mereka dihukum gantung sampai mati.

Tanpa rasa

Sabarku sudah seletih pokok-pokok tua yang renta di dusun sana.
Amarahku juga sudah berpaling dari neraka ke muka jannah
Ataukah sebenarnya semua itu bukan sabar atau takwa
Hanya lelah menggendong amuk di bahu kiri
hingga warasku sudah tersedia sekaku kayu dan batu.
Atau hatiku sudah lali dengan bius-bius kecaman
sampaikan aku tak tahu kalau ia telah kebal atau tersedia untuk mati.

Gampang nian mempersenda sumpah
membiar nafsu jadi serakah pada marah yang bergentayangan
bagai roh-roh sesat tak bertuan
tak tahu ke langit mahupun ke bumi
tergantung tanpa tali.

Terawang-awang
Saturday, August 4, 2012 | By: Luna Biru

Raya-rayaku...1998-2011

Ni koleksi gambar-gambar raya sepanjang 14 tahun bergelar isteri dan ibu. Best juga bila ditenung-tenung. Nampak kronologi perubahan dari segi usia, wajah dan peserta dalam keluarga. Paling ketara juga adalah perubahan dari kamera klasik yang berfilem kepada kamera digital.

Err...setakat ni, ini saja dulu yang ada. Nanti carik lagi yang lain sebab semuanya ntah di mana-mana. Kalau aku kasi negatif filem di kedai, ada lagi ke orang nak cuci?
Thursday, August 2, 2012 | By: Luna Biru

Jemputan ke rumahMu

Sedetik rasa muncul dan aku cuba menahan-nahannya dalam degup waktu yang lama.

Tapi keinginan itu bagai membelah-belah jantung membuat aku celaru dalam mencari makna.
Aku tahu aku belum layak menjadi tetamuNya. Namun setiap malam seluruh jiwaku bagai di seru-seru di atas langit mengurai seluruh air mata yang meremangkan tiap helai bulu roma.

Kalau sudah sampai waktunya, aku dijemput ke sana, kan kusahut jemputan itu dengan tangan yang merentang.

Terima kasih Allah...